Pesan Hamka

HAMKA

“Barangsiapa yang telah menanam jasa, satu saat kelak dia akan beroleh hasil dari jasanya itu. Kemuliaan akan menjadi pengiringnya ke mana pun dia pergi. Kalau orang yang sama hidup dengan dia melupakan, namun setelah matinya orang yang kemudian akan membongkar kemuliaan itu kembali dan menyatakannya ke muka khalayak. Orang yang berjasa tidak boleh gamang dan kecewa jika di masa hidupnya dilupakan orang. Orang tidak boleh menyesal jika tinggal di sebuah gubuk yang buruk. Tidak boleh kecewa jika makan minumnya dan pakaiannya tidak semewah orang lain. Sebab kelak buah tangannya akan menjadi modal kemajuan angkatan yang akan datang.”

~Hamka

Gelora Asia Barat Siri 9: Keupayaan Republik Islam Iran

Oleh: M. Fauzi

khomeini dalam timesRepublik Islam Iran pasca revolusi Islam Iran pada tahun 1979 telah menghadapi pelbagai jenis tohmahan ,tekanan dan sekatan yang dipelopori oleh Imperialis Amerika Syarikat dengan sokongan negara-negara Kristian Barat yang nyata fobia dengan imej Islam yang ditonjolkan oleh Republik Islam Iran. Imej Islam ini bukan sekadar slogan untuk menarik sokongan rakyat Iran dan perhatian umat Islam seluruh dunia, tetapi ia diterjemahkan dengan tindakan Republik Islam Iran ’mengeksport’ semangat dan ideologi revolusi Islam-nya keseluruh dunia Islam.

Lebih malang lagi tekanan dan sekatan ini turut disokong oleh kebanyakan negara-negara Arab di Asia Barat. Rata-ratanya melihat Republik Islam Iran bukan sebahagian dari dunia Islam, tetapi melihat Iran dengan pandangan assabiyah dan semangat Pan-Arabisme. Kebanyakan pemimpin Arab melihat Republik Islam Iran sebagai satu kelompok bangsa Parsi yang cuba mengancam pengaruh, kekuasaan, kekayaan dan ia dilihat menggugat sempadan wilayah Arab sehingga mendorong negara-negara Arab memberikan sokongan luar biasa dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan, pembiayaan peralatan ketenteraan dan maklumat perisikan kepada Presiden Saddam Hussein dari Iraq yang berperang dengan Republik Islam Iran selama hampir lapan tahun.

Sejak Revolusi Islam Iran berjaya menumbangkan kezaliman rejim Syah Pahlevi, para pemimpin Revolusi Islam Iran menghadapi pelbagai cubaan untuk menghancurkan Republik Islam Iran dengan pengkhianatan beberapa tokoh Iran yang bersekongkol dan didalangi oleh Amerika. Ini  disusuli dengan tekanan dan sekatan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Kristian Barat serentak dengan Perang Iran-Iraq yang dicatur oleh Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Kristian Barat. Bahkan ia disokong oleh negara-negara Arab.

Puluhan tahun telah berlalu dan hakikatnya kini Republik Islam Iran masih kekal dan kukuh selaras dengan keazaman dan keluhuran para pemimpinnya. Malah ia didokong oleh sokongan rakyat Iran keseluruhannya. Hingga kini, prinsip dan ideologi Republik Islam Iran masih tidak berubah, malah budaya revolusinya masih kuat bertapak di sanubari rakyat Iran. Pengurusan ekonominya tetap stabil dan berjalan lancar walaupun menerima sekatan dan tekanan dalam pelbagai bentuk dengan sandaran kekuatan ekonominya kepada industri minyak dan gas.

Dari segi kekuatan tentera, Republik Islam Iran adalah antara yang terkuat di Asia Barat dan menjadi ancaman kepada kewujudan negara haram Israel. Perkara ini semakin nyata dan jelas, iaitu selepas era kejatuhan Presiden Saddam Hussein dan lumpuhnya angkatan tentera Iraq, pengaruh dan segi sandaran kekuatan ketenteraan Republik Islam Iran merupakan imbangan bagi mengekang kerakusan negara haram Israel di Asia Barat.

Dalam Siri Akhir ini akan mengupas tiga faktor yang menjadi tunjang kepada kekuatan Republik Islam Iran. Yang pertama adalah sistem politik dan kaedah pentadbiran negara yang mantap. Kedua, adalah kekuatan angkatan tentera Republik Islam Iran. Akhirnya yang ketiga adalah keupayaan berdikari oleh  industri pertahanan Republik Islam Iran.

Faktor Pertama – Sistem Politik Dan Pemerintahan Republik Islam Iran

Sistem politik Republik Islam Iran adalah satu sistem yang bersifat kompleks, sistematik dan mempunyai sistem ’check and balance’ yang jelas. Dalam struktur pemerintahan Republik Islam Iran, secara umumnya Pemimpin Agung (Supreme Leader) dilihat berada di puncak piramid dalam sistem pemerintahan Republik Islam Iran, walaupun pada hakikat sebenarnya, ia tidak berlaku sebegitu. Di Iran,  Pemimpin Agung bertanggungjawab untuk memelihara dasar utama Republik Islam Iran dan mengawasi kelicinan pelaksanaannya. Pemimpin Agung turut bertindak sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera serta berkuasa menentukan corak perisikan ketenteraan dan operasi ketenteraan. Malah sebagai pemimpin tertinggi dalam angkatan tentera, beliau berkuasa mengeluarkan pengisytiharan perang.

Beliau juga bertindak mengetuai pengawalan ke atas sistem kehakiman, siaran radio dan televisyen milik kerajaan dan bertindak sebagai komander tertinggi angkatan bersenjata yang terdiri dari pasukan polis dan pasukan tentera. Pemimpin Agung lebih berkuasa dan lebih tinggi dari Presiden Iran jika dilihat dari sudut  hierarki. Selain itu,  Pemimpin Agung bertanggungjawab melantik enam (6) dari dua belas (12) ahli Majlis Pengawal Kuasa.

Antara Peranan Pemimpin Agung adalah :

1. Membuat pengishtiharan mengenai pelaksanaan dasar-dasar utama Republik Islam Iran selepas mendapat nasihat dan pandangan dari Majlis Pakar.

2. Mengawal dan mengawasi pelaksanaan dasar-dasar utama ini agar ia dilaksanakan dengan berkesan.

3. Mengeluarkan dekri bagi melaksanakan referendum terutama yang melibatkan dasar-dasar negara.

4. Menandatangani dekri yang membolehkan pilihanraya umum bagi memilih Presiden Republik Islam Iran.

5. Bertindak sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Republik Islam Iran.

6. Berkuasa mengeluarkan pengisytiharan perang, menandatangani perjanjian damai dan bertanggungjawab terhadap sebarang arahan utama bagi sebarang mobilisasi (pergerakan) ketumbukan tentera.

7. Berkuasa memecat Presiden  dengan bersandarkan kepada kepentingan dan keselamatan negara. Tindakan ini hanya boleh dilakukan apabila Mahkamah Agung Iran memutuskan bahawa Presiden telah didapati melanggar Perlembagaan Iran atau Parlimen Iran berjaya memenangi undi tidak percaya kepada Presiden Iran berdasarkan Artikel 89 Perlembagaan Republik Islam Iran.

Disebalik kuasa begitu besar yang dimiliki oleh Pemimpin Agung dalam menentukan arah tuju Republik Islam  Iran, segala keputusan, tindakan malah prestasi dan keupayaan Pemimpin Agung ini dipantau dan dikawal ketat oleh Majlis Ulama.  Majlis Ulama bertanggungjawab mengawal dan  memantau prestasi kerja Pemimpin Agung dalam perlaksanaan dan pengawalan ke atas badan kehakiman. Majlis Ulama berkuasa memilih dan memecat Pemimpin Agung berdasarkan kelayakan dan prestasi kerja yang dipamerkan oleh Pemimpin Agung.

Struktur yang kompleks dalam pemerintahan Republik Islam Iran dapat diterangkan dan diterjemahkan melalui Perlembagaan Republik Islam Iran. Perlembagaan Republik Islam Iran dirangka dan dilaksanakan selepas Revolusi Islam Iran pada bulan Disember 1979 dan terdapat pindaan yang dilaksanakan pada tahun 1989. Berikut diterangkan secara ringkas badan-badan yang terlibat dalam dalam penetapan, pelaksanaan dan pemantauan bagi pelaksanaan dalam Republik Islam Iran :

Presiden Republik Islam Iran

Perlembagaan Republik Islam Iran menyatakan bahawa Presiden adalah orang yang kedua berkuasa selepas Pemimpin Agung. Presiden dilantik melalui pilihanraya umum yang diadakan empat (4 tahun) sekali. Warga Iran yang berumur 15 tahun dan ke atas adalah layak mengundi. Sebelum pertandingan, setiap calon Presiden, haruslah diperakukan oleh Majlis Pengawal Kuasa.

Presiden Iran hanya boleh bertanding dan berkhidmat paling maksimum adalah selama dua (2) penggal sahaja iaitu lapan tahun walaupun mempunyai prestasi yang baik, cemerlang dalam mentadbir negara dan mempunyai populariti yang tinggi. Ini bagi mengelakkan berlaku penyelewengan dan kemungkinan, Presiden akan bertindak secara diktator untuk terus mempertahankan kuasanya. Presiden bertanggungjawab melaksanakan perkara-perkara  yang termaktub di dalam perlembagaan Republik Islam Iran dan melaksanakan semua kuasa eksekutif kecuali kuasa yang tertakluk sepenuhnya dibawah Pemimpin Agung.

Presiden juga bertanggungjawab melantik dan mengawasi tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Jemaah Menteri dan menyelaras pelaksanaan keputusan keputusan kerajaan. Seramai sepuluh (10) orang Timbalan Presiden dilantik untuk bertugas dibawah Presiden dan terdapat 21 orang menteri yang mengetuai kementerian berbeza  dan bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar Republik Islam Iran di seluruh wilayah. Walaupun Presiden  bertanggungjawab melantik menteri bagi perisikan dan keselamatan serta menteri pertahanan, namun pelantikan bagi kedua-kedua jawatan yang sensitif ini haruslah mendapat persetujuan dari Pemimpin Agung.

Parlimen Republik Islam Iran

iran mengundi

Parlimen Republik Islam Iran dikenali Majlis Syura Islam mengandungi 290 ahli parlimen yang dipilih dalam pilihanraya umum yang diadakan pada setiap empat (4) tahun. Semua rakyat Iran dari pelbagai golongan boleh bertanding bagi merebut kerusi Parlimen secara terbuka tanpa bergantung kepada mana-mana parti. Semua calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan sebagai ahli parlimen haruslah mendapat kebenaran dari Majlis Pengawal Kuasa. Kaedah ini penting bagi mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh menimbulkan huru-hara akibat dari pertentangan parti-parti politik yang bertanding di negara-negara demokrasi yang masih kurang matang.

Parlimen atau lebih dikenali sebagai ’Majlis’ ini bertanggungjawab merangka draf perundangan, menyemak dan membetulkan draf bagi sebarang perjanjian peringkat antarabangsa serta bertindak membahas, menyemak dan memperaku atau mengesahkan belanjawan negara.

Majlis Pengawal Kuasa

Majlis Pengawal Kuasa terdiri daripada 12 orang juri yang antara lain mengandungi 6 orang ulama yang dilantik oleh Pemimpin Agung dan baki 6 orang lagi dilantik oleh Parlimen. Lantikan oleh Parlimen ini biasanya terdiri daripada juri yang dicalonkan oleh Ketua Hakim dan dipersetujui oleh Parlimen. Majlis ini bertanggungjawab menjaga keutuhan Perlembagaan Republik Islam Iran dan berkuasa menolak sebarang draf undang-undang dari Parlimen yang bertentangan dengan Perlembagaan Republik Islam Iran. Majlis Pengawal Kuasa juga berkuasa untuk membuat pengesahan yang merupakan sebahagian dari syarat dan kebenaran untuk membolehkan bakal-bakal calon untuk melayakkan diri bertanding dalam pilihanraya Republik Islam Iran bagi merebut jawatan Presiden dan kerusi-kerusi Parlimen.

Majlis Pengawal Kuasa juga mempunyai kuasa untuk melantik ketua dan ahli-ahli Majlis Ulama. Perlantikan ini dibuat dengan menggunakan gabungan kaedah peperiksaan berdasarkan modul tertentu dan prosedur-prosedur pemilihan dengan kriteria khas.

Majlis Pakar

Majlis Pakar mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai perantara antara Parlimen dan Majlis Pengawal Kuasa. Majlis Pakar turut bertindak sebagai penasihat kepada Pemimpin Agung terutama apabila melibatkan keputusan penting yang berkaitan dengan dasar, perlembagaan dan hubungan antarabangsa.

Badan Kehakiman

Pemimpin Agung mempunyai kuasa untuk melantik Ketua Hakim. Ketua Hakim Republik Islam Iran mempunyai kuasa melantik Ketua Mahkamah Agung dan Ketua Pendakwaraya. Terdapat pelbagai jenis mahkamah seperti mahkamah awam yang bertindak mengendalikan kes sivil dan jenayah serta mahkamah revolusi yang mengendalikan kes-kes yang bersifat ancaman kepada keselamatan negara. Keputusan-keputusan mahkamah revolusi adalah bersifat muktamad dan tidak boleh dicabar atau diubah secara perundangan.

Terdapat mahkamah khas yang dikhususkan bagi para ulama yang bertanggungjawab mengendalikan kes-kes yang melibatkan para ulama. Mahkamah ini bertanggungjawab terus kepada Pemimpin Agung. Keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau diubah secara perundangan.

Majlis Ulama

Majlis Ulama biasanya akan bersidang sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun dan setiap persidangannya akan mengambil masa dua (2) hari. Keahlian Majlis Ulama adalah terdiri daripada 86 orang ulama kanan yang dipilih dalam tempoh 8 tahun sekali. Pemilihan dan perlantikan bagi keahlian Majlis Ulama ini ditentukan oleh Majlis Pengawal Kuasa melalui kaedah peperiksaan dengan modul dan formula tertentu.

Tanggungjawab utama Majlis Ulama ini bertanggungjawab memilih atau memecat Pemimpin Agung. Oleh yang demikian semua perkara dan butiran mesyuarat Majlis Ulama ini diklafikasikan sebagai amat sulit.

Jika struktur pemerintahan Republik Islam Iran ini diterjemahkan dalam bentuk gambarajah, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas betapa kompleks dan tersusunnya corak pentadbiran Republik Islam Iran. Corak pentadbiran Republik Islam Iran ini mempunyai sistem ’semak dan imbang (check & balance)’ paling sistematik di dunia. Malah jika dikaji dengan lebih mendalam, ia adalah lebih demokratik dari negara Barat yang kononnya mengamalkan, memperjuangkan dan menjuarai prinsip demokrasi.

Struktur pemerintahan Republik Islam Iran adalah struktur politik yang paling hampir dengan konsep dan struktur pemerintahan bercorak Islam. Jika diteliti dan diperincikan, tiada siapa atau pihak yang benar-benar mempunyai kuasa mutlak dalam Republik Islam Iran walaupun tokoh yang sentiasa dipertontonkan sebagai ‘public figure’ adalah Pemimpin Agung & Presiden.

parlimen iranMalah, dalam sistem pemerintahan Iran, presiden dan ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai parti-parti atau kumpulan tertentu seperti negara-negara demokrasi acuan Barat. Semua individu yang bertanding memenangi kerusi masing-masing berdasarkan karisma individu itu sendiri, dan apakah komitmen yang dijanjikan kepada seluruh rakyat Iran sekiranya beliau dipilih. Oleh yang demikian, perpecahan dalaman negara disebabkan perbezaan ideologi kepartian dapat dielakkan dan pilihanraya dilaksanakan dengan aman, tenteram dan dibuat lebih dalam bentuk bai’ah yang diterjemahkan dalam bentuk kertas undi.

Oleh kerana itu, kecaman-kecaman antarabangsa samada ke atas negara Iran itu sendiri, mahupun ke atas pemimpin-pemimpinnya dilihat oleh kebanyakan warga Iran sebagai penghinaan ke atas maruah dan pilihan mereka. Malah pertentangan antara golongan ulama konservatif dan golongan pembaharuan yang diperbesar-besarkan oleh media Zionis dan Kristian Barat setiap kali musim pilihanraya Parlimen dan Presiden, menambahkan lagi keazaman rakyat Republik Islam Iran untuk mempertahankan sistem pemerintahan yang sedia ada dan memperlihatkan kepada dunia tentang keterbukaan, keseimbangan dan keteguhan sistem pemerintahan negara mereka.

Peribadi Seorang Muallim

berfikirHari ini, ramai orang yang mengaku alim, namun hakikatnya mereka tertipu dengan ilmu sendiri. Ada pula yang tidak tahu bahawa mereka tahu. Namun, bijak pandai ada mengatakan bahawa orang yang berilmu umpama padi, lebih banyak ilmu yang dimilikinya, lebih tunduk ia ke bumi. Maksud yang cuba disampaikan di sini ialah, apabila seseorang manusia memperolehi lebih banyak ilmu, secara automatik dia akan dapati bahawa banyak lagi yang belum diketahuinya dan istilah ‘tunduk ke bumi’ adalah perumpamaan merendah dirinya orang yang berilmu itu.

Hari ini ada sebilangan profesor dan sarjana yang merungkai sesuatu permasalahan seolah-olah mereka tahu serba-serbi. Sifat mereka pantang dicabar dan akan mempertahankan bermati-matian pandangan masing-masing. Bukankah Islam menggalakkan manusia berfikir dan berijtihad? Untuk sesuatu pengetahuan berkembang, ruang perdebatan dan perbincangan hendaklah dibuka seluas-luasnya. Pelajar hendaklah diajar supaya berfikir, bukan menghafal. Justeru, seorang ilmuwan perlulah berlapang dada dan berfikiran terbuka.

Bahkan, seorang yang bijaksana juga tidak perlu banyak berbicara, tetapi perlu banyak mendengar. Nabi s.a.w. ada menyebut bahawa lebih baik diam daripada berkata yang sia-sia. Namun, jangan pula terlalu banyak berfikir sehingga lupa menegur!

Tinjauan Ke Bukit Gantang

Oleh: A. Amri

Beribu kemaafan harus kami sampaikan kepada pengunjung-pengunjung blog UniProf kerana sepanjang Mac 2009, kami tidak dapat menukilkan apa-apa catatan di dalam blog kami kerana kami terlalu sibuk melakukan tinjauan dan kajian di Parlimen Bukit Gantang sempena Pilihanraya Kecil P059.

penamaan-calon-bukit-gantang

Dalam tempohlebih  sepuluh hari kami berkampung di sana, beberapa kesimpulan telah kami buat terhadap lanskap politik di negeri Perak Darul Ridzuan khususnya dan Malaysia amnya. Pertama, dengan mengambil pengundi Bukit Gantang sebagai sampel, secara tidak langsung ia mencerminkan kehendak rakyat dalam politik, iaitu PERUBAHAN. Perubahan yang kami maksudkan adalah perubahan dari segi kepimpinan. Rata-rata rakyat mahukan seorang pemimpin yang melangkaui batas-batas perkauman, amanah dan berintegriti.

perubahan-di-bukitgantang

Kedua, rakyat telah menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan melalui peti undi dan rakyat tidak takut untuk melakukannya jika kepimpinan tidak peka dengan kehendak rakyat. Masyarakat Cina di Kuala Sepetang misalnya memberi blok undi yang jitu kepada Dato’ Seri Nizar kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perak BN yang baru.

cina-pun-sokong

Ketiga, rakyat menolak politik wang yang sinonim dengan UMNO. Bahkan Perhimpunan Agong UMNO yang selesai sebaik sahaja kempen pilihanraya kecil bermula dilihat oleh rakyat sebagai medan menyuburkan politik wang, terutamanya apabila Ketua Pemuda yang baru, Khairy Jamaluddin dikatakan kononnya menabur jutaan ringgit untuk memenangi jawatan tersebut. Ini adalah suatu petanda bahawa rakyat kini benar-benar muak dengan gejala rasuah.

kjumno

Keempat, sokongan golongan belia banyak berpihak kepada Pakatan Rakyat. Ini terbukti apabila saluran pengundi yang paling banyak memberi undi kepada Dato’ Seri Nizar adalah daripada saluran di bawah umur 40-an. Secara tidak langsung, ini adalah petunjuk kepada BN bahawa mereka perlu melakukan reformasi dalam pendekatan terhadap pembangunan belia. Jika tidak, dikhuatiri Pilihanraya Umum Ke-13 kelak, BN boleh terkubur.

Kepada Dato’ Seri Nizar yang memenangi kerusi Parlimen tersebut, kami berharap beliau akan memikul beban amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Ingatlah bahawa rakyat memerhatikan anda dan rakyat tidak takut untuk menggunakan kuasa undi jika anda tidak membawa aspirasi rakyat.

Perak Ada Dua Menteri Besar?

Oleh: A. Amri

nizar_perak

Apa yang sedang berlaku di Perak? Pergolakan politik di negeri Perak adalah satu contoh natijah apabila prosedur dan peraturan yang telah termaktub dibelakangkan semata-mata kerana terlalu banyak campur tangan politik. Apabila ada orang cuba jadi ‘above the law’, satu negara boleh huru-hara. Pada pandangan saya, ada beberapa pengajaran boleh diperolehi daripada kemelut politik ini:-

Pertama: Dalam pentadbiran, kita hendaklah merujuk kembali kepada undang-undang sedia ada untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Walaupun undang-undang adalah buatan manusia dan tidak sempurna seperti hukum Allah, tetapi ia diwujudkan untuk kesejahteraan bersama.

Kedua: Sentiasalah ambil kata majoriti. Pulangkan kembali kepada siapa yang layak mengundi, bukan buat keputusan sendiri. Luahan kehampaan rakyat Perak di Masjid Ubudiyah tempoh hari adalah menifestasi ketidakpuasan hati terhadap individu tertentu dan ia boleh dielak jika keputusan adalah suara majoriti.

Ketiga: Biarlah berpolitik hanya semasa pilihanraya. Di antaranya, kita haruslah bersikap profesional. ‘Serve the government of the day.’ Selagi pemimpin tidak menyeru kepada kemungkaran, tunggu saja hingga pilihanraya yang berikutnya.

Keempat: Kuasa boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan. Apabila kuasa dianggap satu keistimewaan dan bukan amanah, lihatlah saja kesannya. Maka, berhati-hatilah memilih pemimpin. Pilihlah pemimpin yang bertaqwa.

Boikot Produk Yang Menyokong Yahudi

Kami, pihak pentadbiran Universiti menyeru semua umat Islam khususnya dan masyarakat amnya memboikot produk-produk berikut sebagai tanda sokongan agar pihak Amerika dan Israel menghentikan peperangan dan penindasan ke atas rakyat Palestin:

1. Coca-cola coke

2.Starbuckstarbucks

3.Maybellinemaybelline

4.Calvin Kleinck

5.Timberlandtimberland

Kata-kata Hikmah Prof. Zulkifli Muhammad

prof_zulkifli

“Kita tidak kurang tukang angguk,kita tidak kurang tukang geleng, tapi kita kurang orang yang nak membuat apa yang sudah diangguk, orang yang mencegah apa yang sudah digeleng.”

Gelora Asia Barat Siri 8: Nasib Imperialis Amerika Syarikat Di Afghanistan

Oleh: M. Fauzi

budak-lapar

Impian Amerika Syarikat dan sekutu-sekutu Baratnya di dalam NATO yang berhasrat untuk menyerang Iran dari arah sempadan Afghanistan dijangka akan turut berhadapan dengan jalan sukar apabila terpaksa menghadapi pejuang Hezb-i-Wahdat dari puak Hazara yang bermazhab Syi’ah. Puak Hazara adalah puak yang ketiga besarnya di Afghanistan dengan jumlah komunitinya sebanyak 2 870 000 orang dan kebanyakannya menetap di sempadan Iran & Pakistan dengan Afghanistan.

Walaupun tidak mempunyai hubungan yang baik dengan Taliban, ini tidak bermakna sebarang serangan oleh penjajah Amerika Syarikat ke atas Iran akan dipandang sepi oleh Hezb-I-Wahdat. Hezb-I-Wahdat mempunyai sejarah yang manis apabila turut menyertai pejuang Mujahidin Afghanistan menghalau tentera Soviet Union dan seterusnya menumbangkan rejim Najibullah di Kabul. Walaupun mendapat tempat dalam parlimen Afghanistan, ia tidak bermakna Hezb-I-Wahdat bersetuju dengan semua tindakan presiden boneka Hamid Karzai dan tunduk kepada tekanan penjajah Amerika Syarikat. Hubungan yang rapat antara Hezb-I-Wahdat dengan Teheran disertai dengan sentimen Syi’ah dan ketaatan mereka kepada perintah ulama pastinya mengundang masalah kepada penjajah Amerika Syarikat.

Walaupun Amerika Syarikat telah menempatkan seramai 32 000 orang tenteranya termasuk tentera elit dan dibantu oleh 37 000 orang tentera NATO, mereka masih terkial-kial menghadapi serangan bersepadu dari Taliban, Hezb-I- Islami dan Al-Qaeda. Penentangan terhadap kehadiran penjajah Amerika dan NATO turut ditentang hebat oleh pasukan-pasukan Mujahidin Afghanistan yang lain seperti Hizbi-I-Islami pimpinan Jallaludin Haqqani serta kumpulan Mujahidin dari Pakistan seperti Lashkar e-Tayyiba dan Jaish e-Mohamed yang merupakan sekutu rapat Taliban. Pejuang Taliban turut mendapat sokongan dari dua kumpulan pejuang baru yang telah membantu dan menyertai Taliban dalam beberapa operasi wilayah timur Afghanistan.

Kumpulan pertama adalah ’Jamaatul-Dawa-Al-Sunna’ yang dianggotai oleh pejuang Mujahidin berbangsa Uzbek dan mendapat sokongan dari Tahir Yuldashev, pemimpin Gerakan Islam di Uzbekistan dan kumpulan kedua dikenali sebagai ’Ahadis’ yang dianggotai oleh Mujahidin berbangsa Arab. Keperitan ini pun masih menjadi masalah besar yang dihadapi oleh penjajah Amerika di Afghanistan.

Tidak ada apa yang boleh dijadikan sandaran bagi menguatkan kehadiran penjajah Amerika Syarikat dan NATO di Afghanistan. Kerajaan boneka Hamid Karzai, sesuai dengan gelaran kerajaan boneka Amerika, tidak mampu memberikan bantuan apa-apa malah kesinambungan rejim Hamid Karzai pun ditentukan dengan belas ihsan penjajah Amerika Syarikat dan NATO. Walaupun Hamid Karzai berasal dari keturunan Pashtun, beliau tidak mendapat sokongan dari etnik Pashtun yang merupakan 42% dari keseluruhan populasi masyarakat Afghanistan. Puak Pashtun lebih selesa dan memberikan sokongan kepada Taliban dan kumpulan pejuang Mujahidin lain bagi menentang Amerika Syarikat dan NATO.

Perkembangan terbaru yang di Afghanistan seperti yang dilaporkan oleh akhbar bebas Kavkaz Center pada 16 Julai 2008 menggambarkan keadaan genting yang di hadapi oleh kerajaan boneka Hamid Karzai dan penjajah Amerika dan sekutunya, NATO di Afghanistan. Laporan menyatakan bahawa pejuang Taliban telah melancarkan serangan bersepadu ke atas empat daerah di wilayah Kunar. Tentera kerajaan boneka Afghanistan telah meminta bantuan dari kerajaan pusat di Kabul tetapi rejim Hamid Karzai gagal menghantar bantuan yang diharapkan. Akhirnya pejuang Taliban telah berjaya menguasai empat daerah iaitu Bargi Matal, Ghaziabad, Langham dan Chappa Dara.

Dalam laporan yang sama, menyatakan bahawa pertempuran sengit antara pejuang Taliban dan tentera kerajaan boneka Afghanistan di wilayah Nuristan telah berlaku hampir seminggu. Malah pejuang Taliban telah menyerang pengkalan tentera penjajah Amerika Syarikat di wilayah Nuristan dengan peluru berpandu darat-ke-darat. Malah jurucakap NATO mengesahkan bahawa lima orang tentera penjajah Amerika terkorban dan 15 lagi mengalami kecederaan.

Pejuang Taliban turut bergerak bebas di wilayah Helmand dan melancarkan operasi ketenteraan di sana. Pejuang Taliban dikatakan telah bergerak secara taktikal di wilayah Loghar, Maidan wardak, Kapisa, Parwan dan Laghman serta cuba menghampiri Kabul melalui wilayah-wilayah berkenaan.

Dengan keadaan sebegini, impian Amerika Syarikat untuk menjadikan Afghanistan sebagai salah satu pangkalan dan medan garis hadapan bagi usahanya menyerang Iran akan menghadapi kesulitan yang amat besar dan berisiko tinggi.

Usaha Amerika Syarikat untuk menghapuskan penentangan ke atas kehadirannya bersama sekutu dan rejim bonekanya telah melebihi enam tahun, namun tiada sebarang kejayaan mutlak tercapai melainkan penentangan ke atas mereka oleh seluruh pasukan Mujahidin semakin hebat dari hari ke hari.

Jika penjajah Amerika masih angkuh dengan rancangan mereka untuk menyerang Iran, ia dianggap menjolok sarang tebuan. Keangkuhan dan rancangan nekad Amerika Syarikat menyerang Iran dari Afghanistan akan mengundang kemungkinan serangan balas oleh pejuang Hezb-I-Wahdat. Keadaan ini tentu tidak dipersiakan oleh Taliban, Al Qaeda, Hezb-I-Islami pimpinan Gulbuddin Hekmatyar, Hizbi-I-Islami pimpinan Jalaludin Haqqani, Lashkar e-Tayyiba dan Jaish e-Mohamed untuk memporak-perandakan kedudukan tentera Amerika Syarikat dan NATO. Sekiranya perkara ini menjadi kenyataan, kedudukan penjajah Amerika Syarikat di Afghanistan akan menjadi telur di hujung tanduk.

Kata-kata Hikmah Mahatma Ghandi

ghandi

“Orang yang lemah tidak berupaya untuk memaafkan. Pemaaf adalah ciri orang yang kuat.”

Gelora Asia Barat Siri 7: Cadangan Imperialis Amerika Untuk Menyerang Iran

Oleh: M. Fauzi

Merujuk kepada petikan artikel yang dipetik dari yang menyatakan bahawa berdasarkan sumber dari agensi berita Rusia, Novosti melaporkan perisikan Rusia telah menerima maklumat bahawa Amerika Syarikat hampir menyempurnakan persiapannya untuk operasi ketenteraan ke atas Iran. Malah menurut Novosti, Kolonel General Leonis Ivashov, seorang staf kanan tentera Rusia menyatakan bahawa Pentagon sedang merancang untuk melaksanakan serangan udara besar-besaran ke atas infrastruktur ketenteraan Iran tidak lama lagi.

Saudara Ezli Meshut di dalam artikelnya menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menghantar dua armada kapal pengangkut iaitu USS Stennis dan USS Eisenhower ke Teluk Parsi dan ini merupakan tambahan kepada kekuatan 4 buah armada yang sudah bersedia kini iaitu USS Kitty Hawk, USS Ronald Reagen, USS Enterprise dan kapal pengangkut berkuasa nuklear, USS Nimitz. Malah terdapat ura-ura negara haram Israel berusaha mendapatkan kebenaran untuk melintasi ruang udara beberapa buah negara Teluk yang bersekutu dengan penjajah Amerika Syarikat dan membentuk laluan serangan udara yang selesa. Melihat kepada senario sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, kemungkinan serangan ke atas Iran tidak dapat disangkal lagi.

Penjajah Amerika Syarikat dan negara haram Israel melalui agensi perisikan CIA & Mossad telah mengumpul maklumat dan membuat analisis dan kajian yang mendalam tentang kesan serangan Amerika Syarikat ke atas infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran. Secara umumnya berdasarkan senario yang telah diterangkan sebelum ini, sebarang serangan ke atas Iran berkemungkinan mengundang tindakbalas ketenteraan dari sekutu Iran yang utama iaitu Syria dan proksi-proksi Iran di Timur Tengah.

Tindakan Balas Sekutu Iran Ke Atas Israel

Syria pasti akan menggunakan alasan ini untuk menggerakkan tenteranya bagi merampas semula Bukit Golan yang merupakan kunci kepada maruahnya. Syria pastinya tidak bersendirian kerana Hezbollah pasti akan turut melancarkan serangan ke atas negara haram Israel bagi membalas dendam atas kematian komandernya , Hj Imad Moghniyeh. Malah Hezbollah bertekad untuk membebaskan anggota-anggotanya serta warga kerja diplomat Iran yang ditahan di kem-kem negara haram Israel.

Seperti sebelum ini pertembungan ketenteraan antara tentera pengganas Israel dan pejuang Hezbollah turut mendapat sokongan dari parti Amal dan sayap ketenteraannya. Serangan Hezbollah ini akan turut melegakan tekanan atas sekatan dan serangan yang dikenakan oleh negara haram Israel ke atas Semenanjung Gaza.

HAMAS pasti akan mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan usahanya memecahkan kepungan ke atas Semenanjung Gaza dan melancarkan serangan roket ke atas Sderot dan wilayah-wilayah Israel yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza. Dan usaha HAMAS ini seperti sebelum ini bukanlah satu operasi yang di gerakkan oleh pejuang-pejuang HAMAS sahaja , tetapi operasi ke atas negara haram Israel ini akan turut disertai oleh PFLP, serpihan-serpihan pejuang Fatah dan pasukan Jihad Islam.

Nasib Imperialis Amerika Syarikat Di Iraq

Jika Israel dijangka bergelut dengan dengan Syria, Hezbollah, Hamas dan fraksi-fraksi pejuang Palestin, penjajah Amerika Syarikat di Iraq turut mengalami igauan yang sama. Serangan ke atas Iran pasti mengundang tindakbalas ketenteraan yang lebih mengerikan dari Iran. Dengan sempadan Iran-Iraq sepanjang 1 400 km, Iran boleh memilih untuk menyerang tentera penjajah Amerika Syarikat dari mana-mana lokasi yang sukar dijangka. Malah kedudukan Zon Hijau yang merupakan pusat pemerintahan kerajaan boneka dan ibu pejabat penjajah Amerika Syarikat di Baghdad terletak hanya 90 minit perjalanan berkenderaan dari sempadan Iran-Iraq. Kira-kira 90% kawasan yang menempatkan tentera penjajah Amerika Syarikat dan negara-negara Barat adalah dalam lingkungan 200 km dari sempadan Iran. Tentera Iran dengan mudah menerbangkan roket-roket milik mereka dan meledakkan Kem Bushmaster berhampiran Najaf, Kem Anaconda di selatan Tikrit dan Zon Hijau di Baghdad turut menjadi sasaran mudah.

Namun begitu ancaman terbesar yang dihadapi oleh tentera penjajah Amerika Syarikat adalah musuh-musuhnya yang berada di keliling pinggangnya di Iraq. Kebanyakan penduduk Iraq yang menganut mazhab Syi’ah amat menghormati Ayatollah Ali Sistani yang menetap di Najaf, Iraq. Ayatollah Ali Sistani yang berasal dari wilayah Sistan, Iran mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat Syi’ah di Iraq. Seorang lagi tokoh ulama Syi’ah yang berpengaruh adalah Ayatollah Moqtada Al Sadr yang lebih radikal. Kedua-dua Ayatollah Iraq ini mempunyai hubungan yang erat dengan Majlis Ayatollah yang berpusat di Kota Qom, Iran yang merupakan pusat bagi ulama mazhab Syi’ah di seluruh dunia.

Majlis Ayatollah ini pula mempunyai pengaruh yang besar dalam Majlis Pakar yang menjadi antara pihak paling berpengaruh dalam sebarang pembuatan keputusan yang penting dalam Republik Islam Iran. Majlis Pakar yang diketuai oleh Ayatollah Ali Akbar Hashemi Rafsanjani ini merupakan majlis syura yang mempengaruhi sebarang keputusan oleh Pemerintah Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan dilaksanakan oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Hubungan yang erat sebegini sudah cukup menggambarkan bahawa sebarang usaha untuk menyerangkan dan memusnahkan Iran pasti mengundang tindakan balas dari masyarakat Syi’ah di Iraq.

Penentangan Jaish Al Mahdi pimpinan Ayatollah Moqtada Al-Sadr terhadap kehadiran tentera penjajah Amerika Syarikat sebenarnya masih belum mendapat penglibatan sepenuhnya warga Syi’ah di Iraq. Warga Syi’ah di Iraq masih belum mengangkat senjata sepenuhnya kerana masih belum mendapat lampu hijau dari Ayatollah Ali Al-Sistani.

Sekiranya lampu hijau ini diperolehi, tentera Amerika Syarikat pasti lemas di asak oleh pejuang Syi’ah yang merupakan majoriti penduduk Iraq. Kesempatan ini pasti di ambil oleh pejuang Islam Sunnah dan pejuang Mujahidin Iraq yang lain untuk sama-sama mengganyang tentera Amerika Syarikat yang bertaburan di seluruh Iraq.