Ulang Tahun Ke-60 Penjajahan Israel

Bersempena ulang tahun ke-60 penjajahan Israel ke atas negara Palestin pada 15 Mei ini, kami di Universiti Profesional menyeru agar umat Islam di seluruh dunia berdoa agar pemimpin-pemimpin negara umat Islam bersatu dan bertegas dengan memerangi Israel dengan apa cara yang termampu.

Moga-moga saudara-saudara kita di sana diberikan ketabahan oleh Allah s.w.t. Amin.

Gelora Asia Barat – Krisis Yang Tiada Noktahnya (Siri 1)

Oleh: Mohammad Fauzi

Mukadimah

Asia Barat atau kadangkala juga dikenali sebagai wilayah Timur Tengah yang majoritinya negara-negara Arab dan beragama Islam tidak putus-putus dilanda gelora sejak zaman keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah pada akhir abad ke-19. Keadaan semakin parah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid. Usaha-usaha baginda untuk menyelamatkan keutuhan empayar dan institusi Khilafah Uthmaniyyah sering menemui kegagalan berikutan usaha negara-negara Barat untuk menghancurkan benteng terakhir umat Islam ini. Sultan Muhammad V yang menggantikan Sultan Abdul Hamid dan penggantinya selepas itu, Sultan Abd Al-Majid juga tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan institusi Khilafah Uthmaniyyah. Akhirnya empayar tersebut musnah secara rasminya pada 13 Mac 1924.

Ketika itu, Asia Barat bergelora dengan tuntutan ‘kemerdekaan’ oleh pemimpin wilayah-wilayah Arab yang telah ‘dibantu’ oleh kuasa-kuasa Barat. Malah terdapat wilayah-wilayah Arab yang dijajah secara langsung oleh kuasa Barat seperti British dan Perancis. Negara-negara Barat ini telah merampas wilayah tersebut dari tangan Empayar Turki Uthmaniyyah yang digelar oleh Barat pada waktu itu sebagai ‘Orang Sakit Eropah’. Slogan Pan-Arabisme dilaungkan di seluruh dunia Arab ketika itu dan sekaligus mematikan kesedaran umat Islam untuk bersatu dibawah satu Negara. Sistem khilafah turut lenyap bersamanya. Fahaman nasionalis mekar dan semakin kuat berakar umbi, walaupun pergerakan Islam yang ditubuhkan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam khasnya dan dunia Arab amnya bangun dan gugur silih berganti.

Pembentukan wilayah-wilayah Arab menjadi negara-negara Arab seperti Iraq, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Yaman, Jordan, Syria dan lain-lain tidak menamatkan penderitaan umat Islam Arab. Pembentukan negara haram Israel di atas tanah Arab Palestin pada 15 Mei 1948 akibat dari tipu helah British dan kelicikan pertubuhan haram Zionis antarabangsa, merupakan ‘Nakbah’ atau ‘bencana’ yang membawa lebih penderitaan bukan sahaja kepada umat Arab tetapi ia juga menghiris hati umat Islam di seluruh dunia sehingga ke hari ini. (Maszlee Malik – 40 Tahun Naksah).

Negara haram Israel bukan sahaja dibentuk di atas wilayah dan tanah orang Arab yang membentuk Ha’aretz Israel pada tahun 1948, malah bermula pada tahun 1967, kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh dunia Arab dalam siri peperangan Arab-Israel yang bermula pada 5 hingga 11 Jun 1967 menambahkan keluasan bumi haram Israel sehingga kini. Tebing Barat dirampas dari Jordan, Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai dari Mesir dan Bukit Golan dari Syria telah menjadi tanah jajahan Israel.

Tambah memeritkan apabila Baitul Maqdis, kiblat pertama umat Islam dan kota suci yang ketiga umat Islam jatuh ke tangan Israel dan umat Islam Arab menamakannya sebagai ‘Naksah 1967’ yang membawa maksud ‘kekalahan’ (Maszlee Malik – 40 Tahun Naksah).

Dengan tamatnya Perang Yom-Kippur atau dikenali sebagai Perang Ramadan yang berlaku pada 6 Oktober (Hari Yom Kippur) sehinga 22 Oktober 1973 dan termeterainya perjanjian Kem David pada tahun 1978, Semenanjung Sinai akhirnya dipulangkan semula kepada Mesir dengan imbalan terjalinnya hubungan diplomatik secara rasmi di antara Mesir-Israel. Peristiwa ini membawa kepada pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada 1981 dan pemulauan ke atas Mesir oleh negara-negara Arab ketika itu. Wilayah-wilayah rampasan yang lain masih kekal ditangan Israel sehingga ke hari ini.

Perang saudara di Lubnan yang bermula pada 13 April 1975 turut meninggalkan parut yang dalam dan masih meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Perang saudara yang turut dicatur bersama oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Israel berjaya memporak-perandakan politik Lubnan dan berjaya menjadikan kawasan selatan Lubnan sebagai zon penampan untuk menghalang sebarang serangan oleh pejuang Palestin, Islam Sunnah dan rangkaian pejuang Islam Syiah yang dipimpin oleh Hezbollah dan AMAL ke atas wilayah Israel.

Perang saudara yang melibatkan pelbagai pihak seperti Hezbollah & AMAL di satu pihak, puak Kristian Maronite dan Druze di satu pihak yang lain dan turut melibatkan SLA yang disokong Israel dan kumpulan Islam Sunnah & pejuang-pejuang Palestin. Pada Jun 1976, Presiden Lubnan ketika itu, Suleiman Franjieh telah memohon bantuan Syria untuk campur tangan. Syria atas permintaan kerajaan Lubnan telah bertindak menghantar tenteranya bagi membantu menstabilkan keseimbangan dalam perang saudara Lubnan di samping mengekang pengaruh Israel melalui proksinya. Perang tersebut berakhir pada awal 1990 hasil inisiatif rundingan oleh Liga Arab yang diketuai oleh Kuwait dan di anggotai oleh Arab Saudi, Algeria & Maghribi.

Dalam perang saudara di Lubnan, dengan penuh licik dan tipu daya, Israel telah memberikan bantuan langsung berupa wang, latihan dan peralatan senjata kepada South Lebanon Army (SLA) yang diketuai oleh Major Jeneral Saad Haddad. South Lebanon Army (SLA) majoritinya dianggotai oleh golongan Kristian Phalangist dan amat aktif beroperasi membantu Israel mengawal kawasan penampan di selatan Lubnan yang ditawan dan diduduki oleh Israel. South Lebanon Army ini turut bertanggungjawab dalam peristiwa berdarah Shabra & Shatilla di Beirut dengan penglibatan kira-kira lebih 1 000 orang tentera SLA yang diketuai oleh Komander Elie Hobeika. Mereka bertindak membunuh hampir 4 000 pelarian Palestin yang tidak bersenjata tanpa mengira usia dan jantina.

Kawasan selatan Lubnan akhirnya berjaya dibebaskan dari cengkaman Israel secara rasminya pada Mei 2000 oleh Hezbollah yang dipimpin oleh Sayyid Hassan Nasrallah dan ulama-ulama Islam Syiah yang lain setelah dijajah oleh negara haram Israel selama lebih dari 22 tahun.

Rantau Asia Barat tidak akan aman selagi bumi Palestin tidak dibebaskan, negara haram Israel tidak dibubarkan dan penduduk Yahudi tidak pulang semula ke Eropah atau mana-mana pelusuk dunia yang merupakan penempatan mereka sebelum ini. Isu penjajahan ke atas wilayah Arab Palestin dan Baitul Maqdis ini bukannya isu untuk umat Palestin sahaja, tetapi ia merupakan isu dan maruah umat Islam secara keseluruhannya. Selagi negara haram Israel berdiri tegak, pasti akan ada pemimpin dan pejuang-pejuang Islam di merata dunia yang bertekad untuk menghalau Israel keluar dari bumi Arab Palestin.

Sejarah telah menunjukkan sejak kebangkitan Islam sehinggalah ke hari ini, pejuang-pejuang Islam tidak putus-putus dan zaman ke zaman dan di pelbagai pelusuk dunia bangun dengan pelbagai cara bagi membela agama dan maruah agama Islam yang suci ini. Ikutilah bahagian seterusnya artikel “Gelora Asia Barat – Krisis Yang Tiada Noktahnya”.

Pengurusan: Definisi, Sejarah dan Konsep Siri 3

Oleh: Mohammad Fauzi

Pentadbiran @ Pengurusan Atau Pentadbiran vs Pengurusan?

Dalam kebanyakan buku-buku yang berkaitan dengan pengurusan tidak menggariskan dengan jelas perbezaan antara pengurusan dan pentadbiran. Menurut Boles & Davenport (1976) menyatakan bahawa pentadbir dan pengurus memainkan peranan dan fungsi yang sama meliputi aktiviti-aktiviti seperti merancang, menghimpun maklumat, membuat analisis dan menyebarkannya, mengawal selia kakitangan dan menggerakkan aktiviti bagi mencapai matlamat dan objektif organisasi seperti yang ditetapkan.

Wilfrid Brown menyatakan bahawa pentadbir dan pengurus memainkan peranan memberikan arahan, mengawal dan memantau kerja-kerja yang diagihkan kepada subordinat yang akan melaksanakan segala tugasan berpandukan arahan yang diberikan dan diakhir proses kerja tersebut pentadbir dan pengurus akan membuat penilaian ke atas kualiti dan kuantiti kerja yang dihasilkan.

Definisi-definisi yang diutarakan oleh para sarjana seperti yang dinyatakan sebelum ini dapat membantu kita memahami gambaran konsep asas pengurusan dan pentadbiran. Dalam memperkatakan tentang pentadbiran dan pengurusan dari segi takrifan terdapat juga beberapa pendapat dan maklumat umum yang menunjukkan dengan jelas terdapat adanya perbezaan antara pentadbiran dan pengurusan seperti berikut:-

Pentadbiran dari secara umumnya boleh ditakrifkan sebagai ‘satu proses yang melibatkan proses penyelenggaraan, pengawalan dan penggunaan pelbagai sumber samada dari sumber kewangan, tenaga mahir dan material yang digerakkan secara bersepadu bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan’.

Pengurusan pula dari segi definisi umum ditakrifkan sebagai ‘satu proses atau sistem yang direkabentuk, diolah dan disusun bagi membentuk persefahaman yang menyumbang kepada kerjasama dan penglibatan semua ahli dalam kumpulan atau organisasi bagi mencapai sasaran yang telah ditetapkan’.

Perbezaan di antara pentadbiran dan pengurusan dapat dilihat dengan jelas seperti berikut:-

Pentadbiran

  1. Pematuhan secara mutlak kepada peraturan & prosedur.

  1. Keputusan – ‘One man decision’

  1. Aliran komunikasi , arahan dan penugasan adalah bersifat dari atas (hirarki) ke bawah (hirarki) dan ia bersifat vertical

  1. Bureaucratic stance

  1. Pemusatan Arahan Kerja & Kuasa

  1. Subordinat melaksanakan tugas dengan kuasa yang terhad.

  1. Pematuhan konsep hirarki yang ketat.

Pengurusan

  1. Peraturan & prosedur hanya sebagai garis panduan dan pematuhan adalah bersifat pilihan.

  1. Keputusan dicapai melalui persetujuan bersama.

  1. Aliran komunikias, arahan dan penugasan adalah bersifat mendatar dan pengagihan secara saksama mengikut fungsi unit dan ia bersifat horizontal.

  1. Entrepreneur stance

  1. Pengagihan Arahan Kerja & Kuasa

  1. Penugasan disertakan dengan ‘autonomy within the boundary’

  1. Konsep hirarki digunapakai sebagai formaliti namun pasukan kerja mengandungi ahli dari hirarki yang pelbagai.

Perbezaan-perbezaan ini, walaupun dapat dilihat secara jelas dan nyata tetapi ia tidak memberikan perbezaan yang menjejaskan konsep umum tentang pengurusan dan pentadbiran itu sendiri. Oleh kerana perkara-perkara yang menjadi asas dalam ilmu sains sosial seperti definisi, teori dan kaedah adalah sesuatu yang bersifat subjektif dan boleh diterima pakai dan dibahaskan.

Dalam memahami konseo asas pengurusan, teori P.O.S.C.O.R.B adalah salah satu pendekatan yang paling popular untuk memahami konsep asas pengurusan. P.O.S.C.O.R.B dianggap sebagai satu bentuk rantaian pengurusan yang perlu difahami dan perlu dilengkapkan agar pengurusan sesuatu organisasi itu berjalan dengan lancar. Di dalam pentadbiran, P.O.S.C.O.R.B dianggap sebagai perkara-perkara yang perlu pentadbir tahu dan ia sering dianggap sebagai tugas-tugas teras seorang pentadbir.

Akronim P.O.S.C.O.R.B boleh diterjemahkan seperi berikut :-

P – Planning

O – Organizing

S – Staffing

CO – Coordinating

R – Reporting

B – Budgeting

Konsep P.O.S.C.O.R.B ini akan diterangkan dengan lebih lanjut dalam keluaran yang seterusnya.

Rujukan

  1. Pengantar Pengurusan (2000) – Jaafar Muhammad, Mohd Hizam Hanafiah, Zaffir Mohd Makhbul ( Leeds Publication)

  1. Tamadun Dunia (1999) – Sivachandralingan Sundara Raja / Ayadurai Lecthumanan (Fajar Bakti)

  1. Pengurusan Terkini (2001) – Wan Azmi Ramli (Golden Books Centre Sdn. Bhd)

  1. Management (Third Edition) – James A.F Stoner & Charles Wienkel

  1. Management – Harold Koontz & Heinz Weihrich

  1. Ensiklopedia Pengurusan (2002) – Golden Books Centre

  1. Ensiklopedia Bebas Wikipedia

  1. http://members.tripod.com/nifah/urus.htm

Mengupayakan Profesional di Institut Pengajian Tinggi

Oleh: A. Amri

Dalam usaha mengupayakan profesional di institusi pengajian tinggi, pihak pengurusan tertinggi universiti harus memainkan peranan sebagai pencatur yang berkesan. Ini kerana seorang pemimpin yang berkesan harus bijak memimpin mengikut suasana semasa dan keupayaan yang dimiliki. Dalam konteks sebuah universiti, pentadbir diterdedah dengan suasana ilmiah dan intelektual. Justeru, pentadbir di universiti tidak wajar hanya dilihat sebagai kakitangan kelas kedua selepas pensyarah.

Memetik petua bekas Ketua Pustakawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Putri Saniah Megat Abd. Rahmah yang kini adalah seorang Felo Utama di USIM, kecemerlangan seseorang pegawai adalah kesan daripada budaya cintakan ilmu, kehadiran ke seminar dan bengkel serta galakan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi mendalami sesuatu ilmu.

Pihak pengurusan atasan juga harus bijak mencatur dan merancang penempatan kakitangan pentadbiran di universiti selaras dengan keupayaan dan kepakaran masing-masing. Penempatan berdasarkan kepakaran sebenarnya dapat melonjakkan hasil kerja dan memberi manfaat yang optimum kepada kakitangan dan majikan. Kepakaran kakitangan bukan akademik adalah juga aset kepada sesebuah universiti kerana pengalaman secara hands-on tidak boleh disamakan dengan pengetahuan teori di bilik kuliah.

Di samping itu, usaha membimbing pegawai-pegawai baru oleh pegawai-pegawai senior perlu dijadikan budaya. Adalah satu kerugian yang amat besar sekiranya pegawai senior menganggap pegawai baru sebagai saingan dan bukan sebagai pelapis. Konsep protege’-apprentice banyak membawa kebaikan kepada organisasi kerana pemimpin yang cemerlang adalah pemimpin yang melebarkan kepimpinan dengan melatih pengganti yang lebih baik daripada dirinya. Ia meletakkan kepentingan organisasi di hadapan kepentingan dirinya.

Pengurusan universiti juga harus menerapkan budaya kerja cemerlang di kalangan kakaitangannya. Budaya kerja yang cemerlang tidak terhad kepada faktor kualiti dan komitmen terhadap kerja serta kesediaan menerima perubahan, malah kekuatan spiritual juga adalah unsur yang penting tetapi sering dikesampingkan. Kekuatan jiwa merupakan benteng dalam menghadapi tekanan beban kerja dan godaan materialistik di persekitaran tempat kerja.

Pengurusan: Definisi, Sejarah dan Konsep Siri 2

Oleh: Mohammad Fauzi

Tokoh-tokoh lain dan sumbangan mereka secara umum dapat dilihat dari ringkasan berikut :-

  1. Hugo Munsterberg (1912)Penggunaan aplikasi berdasarkan pendekatan psikologi dalam kajian terhadap pekerja yang terlibat dalam industri perkilangan dan pengurusan.

  1. Walter Dill Scott (1911) – Memperkembangkan aplikasi berdasarkan pendekatan psikologi yang digunakan ke atas pekerja yang terlibat dalam sektor pengiklanan, pemasaran dan personel.

  1. Max Weber (1946) – Memperkenalkan Teori Birokrasi

  1. Vilfredo Pareto (1917) – Digelar ‘Bapa Pendekatan Sistem Sosial’ kepada organisasi dan pengurusan.

  1. Elton Mayo & F.J Roethlisberger (1933) – Kajian yang terkenal di loji Howthorne milik Syarikat Western Electric. Kajian yang dibuat adalah berkenaan saling kaitan anatara pengaruh sikap dan hubungan sosial kumpulan kerja ke atas prestasi.

  1. Chester Barnard ( 1938 ) :

· Antara karya yang terkenal adalah The Functions of Executives.

· Menurut beliau tugas pengurus ialah untuk memelihara sistem usaha kerjasama dalam organisasi formal.

· Beliau menyarankan pendekatan sistem social yang komprehensif kepada pelanggan.

  1. Laurence Peter (1969) – Meneliti dan membuat rumuasan berdasarkan pemerhatiannnya yang mendapati bahawa kebanyakan orang dinaikkan pangkat akan diberikan tugas baru di tahap yang mereka tidak cekap.

  1. William Ouchi (1981) – Membincangkan amalan pengurusan Jepun yang terpilih dan disuai guna dalam persekitaran Amerika Syarikat.

  1. Thomas Peters & Robert Waterman (1982) - Mengenalpasti ciri-ciri syarikat yang mereka anggap unggul

Sumber : Pengurusan –

Harold Koontz & Heinz Weirich (Terjemahan DBP)

Pentadbiran

Definisi Dari Segi Takrifan

Menurut Haji Wan Azmi Ramli di dalam bukunya ‘Pengurusan Terkini’ – Pentadbiran adalah satu cara untuk menjayakan dasar-dasar kerajaan melalui penyelarasan serta penyeliaan segala pekerjaan yang dibuat disamping tindakan yang diambil.

Haji Wan Azmi Ramli turut menyatakan bahawa ‘pentadbiran ialah sesuatu yang ditadbirkan dan ini merangkumi bidang batasan yang amat luas seperti menelah (meramal), merancang, mengelola, mengawal, menasihat, menyelaras, menyelia, melatih dan kadangkala ,meniru dan menurut. Segala ini diuruskan, secara sedar atau tidak sedar mengikut dasar tertentu agar matlamatnya tercapai dan kerja berjalan lancar yang boleh dimanfaat oleh semua.’

Para sarjana Barat mempunyai takrifan yang tersendiri mengenai definisi pentadbiran dari sudut takrifan. Sebagai contohnya Mayo (1954) – mendefinisikan pentadbiran adalah satu fungsi untuk menetapkan, menentukan, dan memperjelaskan sesuatu, menggubal dasar dan peraturan serta memberikan kepercayaan kepada kakitangan untuk menyelesaikan penugasan terutama penugasan yang berprestij tinggi..Selain daripada penekanan turut diberikan agar pentadbir diberikan autonomi untuk membuat sebarang pilihan, penyediaan dan pengelolaan ke atas segala kemudahan yang bersesuaian.

Bagi Newman (1963) pula, beliau mentakrifkan pentadbiran sebagai satu garis panduan yang berpandukan gaya kepimpinan yang mampu menyelia dan mengawal segala usaha yang dijalankan bersama oleh individu di dalam sesebuah organisasi yang mempunyai matlamat yang sama. Menurut pendapatnya lagi kerja-kerja pentadbiran mempunyai perkara-perkara asas seperti perancangan, pengelolaan, mengatur, mengumpul, membuat penyeliaan dan membuat pengawalan.

Definisi Dari Segi Konsep

Woodrow Wilson melalui bukunya ‘ The Study Of Administration’ menyatakan konsep dan pemahaman tentang pentadbiran dapat dipelajari dengan lebih mudah sekiranya seseorang itu mempelajari dan memahami sepenuhnya konsep sains politik. Menurutnya terdapat dua persoalan yang utama apabila memperkatakan tentang konsep pentadbiran iaitu :-

  1. Siapakah yang paling sesuai menggubal undang-undang dan apakah rasional disebalik penggubalan undang-undang tersebut?

  1. Bagaimanakah kaedah yang terbaik untuk melaksanakan undang-undang yang digubal dengan jelas, nyata dan tanpa meninggalkan apa-apa fakta penting yang berkaitan?

Charles A. Beard berpandangan bahawa pentadbiran adalah satu dari cabang ilmu sains. Melalui kajian beliau yang dijalankan melalui ‘The Bureau Of Municipal Research’, beliau dikatakan dapat mengggariskan perbezaan yang nyata konsep pentadbiran dalam sektor kerajaan dan sektor swasta. Beliau juga berpendapat bahawa terdapat elemen hubungan manusia dalam pentadbiran.

Sumber : Konsep Asas Pentadbiran Awam

K. Ramanathan