Ciri-ciri Pemimpin yang Baik

Oleh: M. Fauzi

Sejak dari awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Pada awalnya ciri-ciri pemimpin biasanya di kaitkan dengan ‘teori orang besar’. Orang besar biasanya di kaitkan dengan bentuk fizikal yang pastinya dikaitkan dengan kekuatan fizikal. Maka lahirlah prinsip ‘orang kuat mengatasi orang yang lemah dan menjadi pemimpinnya’ dan ini biasanya di kaitkan dengan pemimpin di zaman Greek, Rom dan zaman-zaman kerajaan awal. Selaras dengan perkembangan masa ‘teori orang besar’ berkembang dengan mentakrifkan ‘orang besar’ sebagai orang yang mempunyai kekuatan dan kecerdesan asal dan kemampuan dari segi kekayaan.

Beberapa orang tokoh yang mengkaji bidang sains pengurusan samada sarjana Barat atau sarjana Islam memberikan pernyataan yang lebih spesifik apabila memperkatakan tentang ciri-ciri pemimpin. Ciri-ciri pemimpin mengikut pandangan para tokoh berkenaan adalah seperti berikut:-

Al Mawardi

1.Seorang yang adil

2.Mempunyai ilmu agama yang tinggi

3.Anggota tubuh badan yang sempurna

4.Pancaindera yang sempurna

5.Fikiran yang matang dan berani berijtihad

Ishak Mohd Rejab

1.Beragama Islam

2.Lelaki

3.Merdeka

4.Berilmu

5.Adil

6.Mampu dan berani

7.Mengasihi

8.Kuat

9.Kesempurnaan pancaindera

Ralph M. Stogdill

1.Sifat fizikal – penampilan, tenaga dan ketinggian.

2.Sifat kecerdasan dan kemampuan – bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal dll.

3.Sifat keperibadian – kebolehsuaian, agresif dan keyakinan diri.

4.Sifat pelaksana tugas – daya pencapaian, kesungguhan dan inisiatif

5.Sifat sosial – daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan kebolehan untuk bermasyarakat.

Edwin Ghiselli

1.Keselarasan di antara sifat kecerdasan dengan kemampuan mengurus dan memimpin.

2.Ada kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri

3.Kecerdasan yang terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin.

Pemimpin & Kepimpinan: Teras Kepada Kesinambungan Organisasi

Oleh: M. Fauzi

Kehidupan manusia sejak zaman berzaman tidak dapat dipisahkan dengan salah satu elemen terpenting iaitu kehidupan berkomuniti. Melalui kehidupan berkomuniti ini lahirnya bentuk penyatuan komuniti seperti adanya keluarga, kabilah, puak, perkampungan, daerah, wilayah, negara dan empayar. Dari sekecil komuniti seperti keluarga hinggalah kepada pembentukan empayar, ia harus mempunyai ketua – yakni seorang pemimpin yang akan membentuk budaya, aspek pemikiran, penyatu kepada pelbagai bangsa dan ideologi, menegak dan melaksana undang-undang, ketua tentera dan pelbagai peranan lagi.

Dalam dunia moden hari ini, terdapat pelbagai organisasi samada ia berbentuk formal atau bukan formal atau yang berbentuk perniagaan, kumpulan seminat (NGO), badan kerajaan yang diketuai oleh pemimpin yang diberi pelbagai jenis gelaran seperti Presiden, Perdana Menteri, CEO, Naib Canselor, Menteri, Pengarah dan lain-lain.

Kepelbagaian organisasi dan pemimpin ini telah mendorong banyak para pengkaji sains sosial dan ahli akademik untuk membuat kajian bagi melihat dinamika sesebuah organisasi dan gaya pemimpin atau adakalanya ditakrifkan sebagai kepimpinan dan bagaimana kedua aspek ini mempunyai saling kaitan antara satu sama lain.

Pemimpin

Mengikut Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 menyatakan, pemimpin adalah orang yang memimpin dan difahamkan bertindak sebagai juru tunjuk. Wikipedia (Ensiklopedia Bebas) Edisi Bahasa Melayu mentakrifkan pemimpin merupakan individu yang boleh memberi pengaruh kepada individu lain di dalam satu pertubuhan.

Secara umumnya pemimpin boleh ditakrifkan sebagai individu yang dilantik secara formal atau tidak formal oleh satu kumpulan orang atau organisasi yang berusaha menjayakan matlamat atau objektif yang dipersetujui bersama. Pemimpin ini diberikan mandat untuk memandu arah kumpulan atau organisasi yang melantiknya bagi mencapai objektif dan matlamat penubuhan kumpulan atau organisasi tersebut.

Kepimpinan

Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 menyatakan secara ringkas, kepimpinan adalah keupayaan memimpin melalui teladan. Secara umumnya kepimpinan ditakrifkan sebagai satu seni atau pendekatan bagi mempengaruhi orang lain di dalam kumpulan atau organisasi agar mereka melakukan aktiviti-aktiviti yang di arahkan secara rela bagi mencapai matlamat kumpulan atau organisasi.

Ralph M. Stoghill pula menyatakan bahawa kepimpinan dalam pengurusan adalah sebagai proses mengarah dan mempengaruhi aktiviti-aktiviti para anggota yang berkaitan dengan tugas.

Harold Koontz & Heinz Weihrich pula mendefinisikan kepimpinan sebagai satu pengaruh seni atau proses mempengaruhi orang lain supaya mereka akan berjuang dengan rela hati dan penuh semangat ke arah pencapaian matlamat kumpulan dan definisi ini dipersetujui bersama oleh Cyril O’Donnel.

Manakala Robert Tannenbaum, Irving R. Weschler dan Fred Massarik melihat kepimpinan sebagai satu pengaruh antara personal yang dilaksanakan dalam sesuatu situasi menerusi proses komunikasi ke arah pencapaian satu matlamat yang khas.

Organisasi

Kamus Dewan Edisi Ketiga Tahun 2000 mendefinisikan organisasi sebagai satu kesatuan yang terdiri dari bahagian-bahagian dalam sesuatu pertubuhan (perkumpulan, perbadanan dan lain-lain) untuk tujuan tertentu (kepentingan bersama dan sebagainya). Secara umumnya organisasi dapat didefinisikan sebagai satu perkumpulan bersifat sosial yang mana ahlinya akan melakukan aktiviti bersama dan saling bergantungan dan bekerjasama bagi mencapai matlamat yang dipersetujui bersama.

Chester I.Barnard telah memberi definisi yang mudah tentang maksud organisasi – ‘organisasi adalah sistem kerja yang dianggotai oleh dua orang atau lebih.’ James D. Mooney mentakrifkan organisasi sebagai sebarang bentuk permuafakatan atau kerjasama untuk mencapai tujuan bersama.

Manakala Max Weber pula mendefinisikan organisasi sebagai satu pendekatan bagi perhubungan sosial yang bersifat tertutup dan tidak terbuka secara meluas kepada semua orang untuk menganggotainya melalui peraturan keanggotaan yang telah digariskan terlebih dahulu.

Wan Azmi Ramli mentakrifkan organisasi atau pertubuhan ditubuhkan untuk kepentingan masyarakat dan ia dikelolakan dengan rapi, tersusun dengan baik, teratur agar perhubungan dan tindakan mudah dilaksanakan.

Konsep Pemimpin dan Kepimpinan

Apabila kita memperkatakan tentang pemimpin dan kepimpinan secara umumnya kita memahami bahawa pemimpin ini haruslah memimpin suatu kelompok manusia dan ia melibatkan paling kecil pihak kedua sehinggalah kepada kumpulan atau kelompok yang lebih besar.

Apabila pemimpin dilantik oleh kelompok atau kumpulan, ia akan diberikan kuasa ataupun mandat bagi memudahkannya memimpin dan mandat ini biasanya diberikan dalam bentuk kuasa menggubal dan menguatkuasakan perintah, peraturan dan undang-undang.

Dengan adanya kuasa ini, pemimpin akan dapat mengawal dan mempengaruhi subordinatnya secara rela-paksa dan subordinat haruslah menuruti arahan dan kehendak pemimpin selagi ia tidak melanggar peraturan teras atau kadangkala ia disebut perlembagaan yang dipersetujui bersama sebelum itu.

Kepimpinan ataupun disebut ‘the way to lead’ secara asasnya mempunyai tiga (3) komponen utama iaitu sifat, perilaku dan kebolehan menghadapi perkara-perkara luar jangka. Memandangkan kebiasaannya di dalam organisasi , para pemimpin diletakkan di puncak hierarki sesebuah organisasi, maka pemimpin haruslah mempunyai perawakan yang ‘extra-ordinary’ berbanding individu lain di dalam sesebuah organisasi.

Antara perawakan yang bersifat asas tetapi wajib dihayati dan diamalkan oleh pemimpin adalah seperti butiran berikut:-

1. Kemampuan untuk menggunakan kuasa dengan berkesan dan dengan cara bertanggungjawab.

2. Berkemampuan untuk memahami bahawa manusia mempunyai kuasa dorongan yang berlainan pada masa-masa yang berlainan dan dalam situasi yang berlainan – pemahaman tentang perawakan manusia.

3. Kemampuan untuk memberikan inspirasi dan mampu diteladani – keupayaan memotivasi.

4. Kemampuan untuk bertindak dengan berdasarkan pengetahuan, bakat, keterbukaan dan kemahuan pemimpin itu sendiri untuk mewujudkan suasana yang memberi ruang kepada sebarang maklum-balas dan ruang runding-cara dengan para pengikut – komunikasi dalam konotasi positif.