Oleh: M. Fauzi

Semua jawatan yang berada di puncak hierarki mempunyai keistimewaan-keistimewaan tertentu yang tidak dimiliki oleh lapisan lain dalam organisasi. Salah satu dari keistimewaan yang diperolehi adalah kuasa. Kuasa amat penting bagi pemimpin di pelbagai lapisan bagi membolehkan pemimpin mengemudi organisasi ‘secara keseluruhan’. ‘Secara keseluruhan, ini membawa maksud mengendalikan dan menguasai segala aset organisasi berupa material, sumber manusia dan keupayaan organisasi.

Kuasa meliputi pelbagai jenis dan peringkat seperti kuasa untuk membuat keputusan, kuasa untuk mengeluarkan arahan, kuasa untuk mengurniakan ganjaran dan hukuman, kuasa untuk melaksanakan apa jua perkara malah kuasa untuk menetapkan hala tuju sesebuah organisasi. Apabila menyebut tentang konsep kuasa, kuasa secara umumnya terbahagi kepada dua.

Kuasa yang pertama di gelar ‘authorisation power’ atau kuasa autoriti. Kuasa ini dinikmati apabila seseorang itu menduduki jawatan pemimpin utama. Dengan adanya kuasa ini pemimpin mampu melakukan apa yang dia mahu, mengendalikan kuasa berdasarkan apa yang dirasakannya sesuai dan buruk baik organisasi itu bergantung pada kemampuannya menggunakan kuasa untuk tujuan yang bermanfaat ataupun sebaliknya.

Dalam memimpin organisasi, kewujudan perkara-perkara yang meliputi kerjasama, kesetiaan , ‘obligation of the subordinate to present the best’ dari subordinat dan perkara-perkara yang berkaitan bergantung kepada baik atau buruknya pemimpin dalam mengendalikan kuasanya. Jika organisasi dipimpin dengan baik dan kuasa digunakan pada tempat sewajarnya, soal di atas tidak akan timbul, tetapi jika kuasa dan organisasi tidak diurus dengan baik, maka pemimpin masih tetap boleh memimpin tetapi ‘ketundukan menyeluruh subordinat’ tidak akan diperolehinya.

Kuasa yang kedua di gelar sebagai ‘legitimate power’ atau kuasa keabsahan. Bagaimana seorang pemimpin dapat memperolehi kuasa keabsahan ini? Kuasa keabsahan adalah satu bentuk kuasa yang bersifat menyeluruh. Selain dari kuasa yang diperolehi dari jawatan yang disandang, kuasa keabsahan hanya mampu diperolehi sekiranya seorang pemimpin mempunyai pengetahuan, mempraktikkan ilmunya dan dikongsi bersama, iman yang menjaga kaki dan tangan pemimpin, karisma yang terbentuk dari pelbagai elemen seperti perwatakan, keikhlasan, ketenangan, penampilan peribadi secara keseluruhan dan pelbagai lagi.

Dengan kuasa keabsahan ini, pemimpin tidak sukar untuk mengendalikan organisasi kerana mendapat kesetiaan menyeluruh berdasasrkan rasa hormat, kagum dan keinginan seluruh organisasi untuk memberikan khidmat yang terbaik kerana subordinat amat mengerti bahawa mereka dipimpin oleh orang yang benar-benar berwibawa. Kuasa keabsahan ini hanya diperolehi oleh pemimpin yang menjadikan elemen-elemen yang disebutkan di atas sebagai amalan sepanjang kehadirannya di sesebuah organisasi .

About these ads