Peribadi Seorang Muallim

berfikirHari ini, ramai orang yang mengaku alim, namun hakikatnya mereka tertipu dengan ilmu sendiri. Ada pula yang tidak tahu bahawa mereka tahu. Namun, bijak pandai ada mengatakan bahawa orang yang berilmu umpama padi, lebih banyak ilmu yang dimilikinya, lebih tunduk ia ke bumi. Maksud yang cuba disampaikan di sini ialah, apabila seseorang manusia memperolehi lebih banyak ilmu, secara automatik dia akan dapati bahawa banyak lagi yang belum diketahuinya dan istilah ‘tunduk ke bumi’ adalah perumpamaan merendah dirinya orang yang berilmu itu.

Hari ini ada sebilangan profesor dan sarjana yang merungkai sesuatu permasalahan seolah-olah mereka tahu serba-serbi. Sifat mereka pantang dicabar dan akan mempertahankan bermati-matian pandangan masing-masing. Bukankah Islam menggalakkan manusia berfikir dan berijtihad? Untuk sesuatu pengetahuan berkembang, ruang perdebatan dan perbincangan hendaklah dibuka seluas-luasnya. Pelajar hendaklah diajar supaya berfikir, bukan menghafal. Justeru, seorang ilmuwan perlulah berlapang dada dan berfikiran terbuka.

Bahkan, seorang yang bijaksana juga tidak perlu banyak berbicara, tetapi perlu banyak mendengar. Nabi s.a.w. ada menyebut bahawa lebih baik diam daripada berkata yang sia-sia. Namun, jangan pula terlalu banyak berfikir sehingga lupa menegur!

Tinjauan Ke Bukit Gantang

Oleh: A. Amri

Beribu kemaafan harus kami sampaikan kepada pengunjung-pengunjung blog UniProf kerana sepanjang Mac 2009, kami tidak dapat menukilkan apa-apa catatan di dalam blog kami kerana kami terlalu sibuk melakukan tinjauan dan kajian di Parlimen Bukit Gantang sempena Pilihanraya Kecil P059.

penamaan-calon-bukit-gantang

Dalam tempohlebih  sepuluh hari kami berkampung di sana, beberapa kesimpulan telah kami buat terhadap lanskap politik di negeri Perak Darul Ridzuan khususnya dan Malaysia amnya. Pertama, dengan mengambil pengundi Bukit Gantang sebagai sampel, secara tidak langsung ia mencerminkan kehendak rakyat dalam politik, iaitu PERUBAHAN. Perubahan yang kami maksudkan adalah perubahan dari segi kepimpinan. Rata-rata rakyat mahukan seorang pemimpin yang melangkaui batas-batas perkauman, amanah dan berintegriti.

perubahan-di-bukitgantang

Kedua, rakyat telah menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan melalui peti undi dan rakyat tidak takut untuk melakukannya jika kepimpinan tidak peka dengan kehendak rakyat. Masyarakat Cina di Kuala Sepetang misalnya memberi blok undi yang jitu kepada Dato’ Seri Nizar kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perak BN yang baru.

cina-pun-sokong

Ketiga, rakyat menolak politik wang yang sinonim dengan UMNO. Bahkan Perhimpunan Agong UMNO yang selesai sebaik sahaja kempen pilihanraya kecil bermula dilihat oleh rakyat sebagai medan menyuburkan politik wang, terutamanya apabila Ketua Pemuda yang baru, Khairy Jamaluddin dikatakan kononnya menabur jutaan ringgit untuk memenangi jawatan tersebut. Ini adalah suatu petanda bahawa rakyat kini benar-benar muak dengan gejala rasuah.

kjumno

Keempat, sokongan golongan belia banyak berpihak kepada Pakatan Rakyat. Ini terbukti apabila saluran pengundi yang paling banyak memberi undi kepada Dato’ Seri Nizar adalah daripada saluran di bawah umur 40-an. Secara tidak langsung, ini adalah petunjuk kepada BN bahawa mereka perlu melakukan reformasi dalam pendekatan terhadap pembangunan belia. Jika tidak, dikhuatiri Pilihanraya Umum Ke-13 kelak, BN boleh terkubur.

Kepada Dato’ Seri Nizar yang memenangi kerusi Parlimen tersebut, kami berharap beliau akan memikul beban amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Ingatlah bahawa rakyat memerhatikan anda dan rakyat tidak takut untuk menggunakan kuasa undi jika anda tidak membawa aspirasi rakyat.