Keburukan Arak

Artikel dari www.zaharuddin.net oleh Ustaz Zaharuddin Abdul Rahman:

ARAK DAN STATISTIK KEBURUKANNYA

Sebelum saya menghuraikan ringkas jawapan bagi persoalan Tun Dr Mahathir, izinkan saya meningingatkan pembaca berkenaan arak dan statistik keburukannya, sehingga menyebabkan Islam begitu bersungguh melarang dan meletakkan undang-undang ke atas peminumnya juga. Ia sebenarnya tidak lain kecuali untuk mengutamakan keadilan umum, di atas hak individu.

Menurut statistik rasmi di United Kingdom, Alcohol-related crime adalah seperti berikut :-

* Hampir 45 – 46 % kejadian jenayah, mangsa meyakini bahawa penyerangnya di bawah pengaruh alcohol (arak).

* Angka tadi naik kepada 58% dalam kes serangan oleh individu yang tidak dikenali.

* 39% keganasan dalam rumahtangga melibatkan alcohol (arak)

* Hampir sejuta serangan ganas yang berlaku dalam tahun 2007-2008, dipercayai dilakukan oleh mereka yang sedang mabuk atau separa mabuk.

(Source: British Crime Survey 2007/08)

Manakala di Russia pula, sekitar 72 % kes pembunuhan adalah berkait dengan akibat minuman arak. 42 % pula kes mati bunuh diri hasil dari arak. Menurut Prof Nemtsov, Russia kehilangan (mati) rakyatnya seramai 500,000 ke 750,000 akibat arak. ( sumber )

Tanpa had dan kawalan berkesan, lebih menggerunkan di UK statistik menunjukkan 30% kanak-kanak berumur 11 hingga 15 tahun turut minum arak sekurang-kurangnya sekali seminggu.

Selain penyebab jenayah, arak juga turut memberi impak amat buruk kepada kesihatan.

Seorang doktor di London memaklumkan purata umur pesakit dari kesan arak adalah berumur 20 ke 30 tahun, sebelum ini biasanya mereka yang berumur 50 tahun ke atas sahaja yang kerap ke hospital akibat arak. (rujuk)

Dilaporkan oleh organisasi kesihatan, di United Kingdom jumlah penduduk yang dirawat akibat penyakit dari kesan minuman arak bertambah dua kali ganda sejak sepuluh tahun lepas.

Secara purata rakyat Britain ‘menelan’ arak sebanyak 9.6 liters arak keras dan tulen secara tahunan, ia lebih dahsyat dari Russia yang mencatatkan 8.7 liter sahaja. Sedangkan Russia diwartakan sebagai negara yang terbanyak ‘peminum arak’ sebelum ini.

Hasil dari petikan statistik ringkas ini, adakah masih terdapat pemimpin yang begitu ‘TIDAK BERTANGUNGJAWAB’ sehingga sanggup mempertahankan penjualan arak dengan MELUAS tanpa kawalan dan hanya beriman dengan ‘kawalan diri’?, disamping membawakan hujjah hak kebebasan individu, bangsa, agama tertentu dan hak syarikat?.

Sebenarnya, membenarkan penjualan arak adalah satu pencabulan hak bagi majoriti masyarakat Malaysia yang lain, kerana ia mendedahkan individu lain dalam keadaan bahaya sebagaimana yang berlaku di UK, Russia dalam lain-lain negara aktif arak.

notobeer

HUKUMAN MINUM ARAK DALAM ISLAM

Dalam Islam, arak itu sendiri adalah haram atau dilarang. Sama ada minum sedikit atau banyak adalah sama sahaja larangannya. Demikian juga dadah. Sabda Nabi s.a..w

ما أسكر كثيره فقليله حرام

Ertinya : Apa-apa yang banyaknya memabukkan, maka sedikitnya juga haram ( walaupun belum memabukkan) ( Riwayat Ahmad, Tirmizi, Abu Daud : Ibn HIbban : Sohih )

Ayat al-Quran dan hadis berkenaannya terlalu banyak dan amat biasa kita baca. Islam mengakui wujudnya manfaat kecil dari arak tetapi manfaatnya adalah berdiri di atas kehancuran pihak yang lain. Sama seperti judi, yang menang sememangnya gembira namun ia menang di atas kekalahan pihak yang lain.

Firman Allah swt :

يَسْأَلُونَكَ عَنِ الْخَمْرِ وَالْمَيْسِرِ قُلْ فِيهِمَا إِثْمٌ كَبِيرٌ وَمَنَافِعُ لِلنَّاسِ وَإِثْمُهُمَآ أَكْبَرُ مِن نَّفْعِهِمَا

“Mereka bertanyakan kepada kamu tentang arak dan judi, katakanlah (kepada mereka) pada kedua-duanya terdapat dosa yang besar dan kebaikan kepada manusia, dan dosa pada kedua-duanya lebih banyak dari kebaikan” (Al-Baqarah : 219)

Lagi Allah menegaskan :-

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُواْ إِنَّمَا الْخَمْرُ وَالْمَيْسِرُ وَالأَنصَابُ وَالأَزْلاَمُ رِجْسٌ مِّنْ عَمَلِ الشَّيْطَانِ فَاجْتَنِبُوهُ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Ertinya : Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah perbuatan keji termasuk perbuatan setan. Maka jauhilah ( DIHARAMKAN) perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan ( Al-Maidah : 90)

Terbukti secara teori dalam ilmu Islam dan realiti dari statistik yang diberikan, arak adalah salah satu punca utama jenayah, selagi ruang dan peluang dibuka seluasnya selagi itulah manusia akan melakukan kesalahan mabuk.

Kerana itu nabi menyebut :-

الخمر أم الخبائث

Ertinya : Arak itu adalah ibu kepada kejahatan ( Hadis Hasan : Albani ; Silsilah Ahadith As-Sohihah, 1854)

Gunakan kuasa dengan tepat dan adil, selaras dengan perjuangan kamu. Adil dalam konteks arak adalah mengharamkannya dalam penjualan bebas.

HUKUMAN SEBAT BAGI PEMINUM ARAK

Bagi sesiapa sahaja yang bertanya dari kitab mana, dan buku mana, sumber mana diambil hukuman sebat bagi peminum arak, jawabnya adalah seperti berikut, tindakan mengenakan sebatan bagi peminum arak adalah diambil dari kumpulan hadis-hadis Nabi yang cukup banyak, antaranya :-

1) Hadis Nabi :

إذا شربوا الخمر فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم , ثم إن شربوا فاجلدوهم

Ertinya : Apabila mereka minum arak, sebatlah mereka, dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka dan kemudian jika mereka minum lagi, sebatlah mereka ( Riwayat Abu Daud)

2. Hadis Nabi :

أن النبي أتي برجل قد شرب الخمر , فجلده بجريدتين نحو أربعين

Ertinya : Nabi telah didatangi oleh seorang lelaki yang telah meminum arak, lalu telah disebatnya dengan dua pelepah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [1]

3. Hadis Nabi

كان يضرب في الخمر بالنعال والجريد أربعين

Ertinya : Sesungguhnya dipukul (sebat) bagi arak (peminum) dengan kasut-kasut dan pelapah tamar sebanyak 40 kali (Riwayat Muslim) [2]

4. Hadis Nabi :-

أن النبي صلى الله عليه وسلم : جلد في الخمربالجريد والنعال , ثم جلد أبو بكر أربعين فلما كان عمر ودنا الناس من الريف والقرى , قال : ما ترون في جلد الخمر؟ فقال عبدالرحمن بن عوف : أرى أن نجعلها كأخف الحدود , فجلد عمر ثمانين

Ertinya : Sesungguhnya Nabi s.a.w merotan (sebat) dalam kes arak dengan pelepah tamar dan sepatu, kemudian Abu Bakar ( di zaman pemerintahannya) juga menyebat dengan 40 kali sebatan, di ketika pemerintahan Umar, beliau meminta pandangan orang ramai dari kampong dan desa lalu berkata : Apa pandangan kamu berkenaan sebatan bagi peminum arak?, lalu Abd Rahman Auf berkata : Aku berpandangan kita menjadikannya hudud yang paling ringan (merujuk kepada sebatan qazf) [3], maka Umar membuat keputusan untuk menyebat dengan 80 kali sebatan ( Riwayat Muslim dan Abu Daud)[4]

5. Athar sahabat

قال علي : جلد رسول الله في الخمر أربعين , وأبو بكر أربعين , وعمر ثمانين , وكل سنة وهذا أحب إليّ

Ertinya : Berkata Ali r.a : Rasulullah menyebat peminum arak 40 sebatan, Abu Bakar juga 40 sebatan, Umar menyebat 80 sebatan, semuanya adalah sunnah, dan ini ( merujuk kepada 40 sebatan) adalah lebih aku sukai. ( Riwayat Muslim ) [5]

6. Hadis Nabi

أن رجلا رفع إلى النبي صلى الله عليه وسلم قد سكر ، فأمر قريبا من عشرين رجلا ، فجلدوه بالجريد ، والنعال

Ertinya : Seorang lelaki dibawa ke penghakiman Nabi s.a.w kerana telah mabuk (minum arak), lalu Nabi s.a.w mengarahkan sekitar 20 orang lelaki untuk menyebatnya dengan pelepah tamar dan sepatu ( Al-Bayhaqi)[6]

Jiak dikatakan, itu semua hadis, mana dalil al-Quran yang suruh, jawabnya adalah

وَأَنزَلْنَا إِلَيْكَ الذِّكْرَ لِتُبَيِّنَ لِلنَّاسِ مَا نُزِّلَ إِلَيْهِمْ وَلَعَلَّهُمْ يَتَفَكَّرُونَ

Ertinya : Kami turunkan kepadamu Al Qur’an, agar kamu menerangkan kepada umat manusia apa yang telah diturunkan kepada mereka dan supaya mereka memikirkan ( An-Nahl : 44)

Maka itulah tugas hadis nabi yang bersumber dari kata-kata, perbuatan dan perakuan baginda Nabi s.a.w yang menjadi penjelas kepada Al-Quran.

PERBEZAAN TASFIRAN ULAMA

Ulama telah bersepakat bahawa mesti dijatuhkan hukuman bagi peminum arak, sama ada ia minum banyak atau sedikit. Namun ulama berbeza pandangan dalam sekurang-kurang dua perkara iaitu :-

1) Adakah hukuman sebatan ke atas peminum arak adalah dalam kategori hukuman hudud atau hanya ta’zir.

Kebanyakan mazhab seperti Hanafi, Maliki, Syafie meletakkan hukuman sebat ke atas peminum arak sebagai hukuman hudud.

Namun demikian, sebahagian ulama lain seperti At-Tabari, Ibn Munzir, As-Syawkani, Ibn Qayyim, Al-Qaradhawi, Al-Uthaymin menganggapnya sebagai ta’zir semata-mata, yang mana ia terserah kepada hakim untuk menentukan jumlah sebatan dan keperluan untuk menyebat atau tidak.

Menurut Al-Qaradhawi, ia terbukti sebagai ta’zir kerana wujud pelbagai dalil yang menunjukkan :-

a- Jumlah pukulan berbeza mengikut keadaan peminum. Ada yang dikenakan 40 kali dan ada yang dikenakan 80 kali. Sifat hukuman hudud adalah tetap, namun ini berbeza-beza menunjukkan ia hanyalah dari hukuman ta’zir, yang terserah kepada kebijaksanaan hakim menentukan jumlahnya.

b- Dalam salah satu hadis yang tesebut di atas, Abd Rahman Auf r.a mencadangkan kepada Umar agar diletakkan hukuman yang paling rendah berbanding hudud, ini menunjukkan hukuman ini adalah ta’zir kerana menurut majoriti ulama, hukuman ta’zir tidak boleh melebihi hudud.

c- Cara penjatuhan hukuman juga berbeza, ada yang disebat menggunakan sepatu, ada yang menggunakan tangan, baju dan sebahagian lain menggunakan pelepah tamar[7]. Tidak mungkin hukuman ini dari jenis hudud jika sedemikian kerana hukuman hudud semestinya fixed atau tetap jumlahnya.

Berdasarkan penelitian terhadap dalil dan perbincangan para ulama yang panjang lebar dan mendalam, secara peribadi saya cenderung kepada hukuman ini adalah ta’zir dan bukan hudud. Wallahu’alam.

2) Jumlah sebatan yang perlu dikenakan.

Dalam hal ini, para ulama terbahagi kepada dua kumpulan :-

Pertama : Mazhab Hanafi, Maliki, At-Thawry dan Hanbali : Sebatan sebanyak 80 kali sebatan sama ada lelaki atau perempuan.

Kedua : Mazhab Syafie : 40 kali sebatan sahaja. Namun jika hakim mendapati kesalahannya berat, hakim boleh menambah sehingga 80 kali sebatan, dan lebih dari 40 sebatan itu dikira sebagai ta’zir , manakala 40 sebatan yang awal adalah hudud.

BOLEHKAH PESALAH TIDAK DISEBAT?

Ia bergantung kepada mazhab mana yang dterima pakai oleh Mahkamah Syariah Malaysia, hakim dan negara Malaysia.

Jika Hudud

Jika kesalahan meminum arak diterima sebagai kesalahan hudud sebagaimana pandangan mazhab Syafie. Pesalah tidak boleh dielak dari hukuman sebat tadi kerana hukuman sebat dikira sebagai hak Allah swt. Hak Allah perlu didahulukan dari sekalian hak makhluk dan sesuatu itu termasuk dalam hak Allah apabila kemudaratannya meluas dan umum, seperti zina, riba, murtad dan sebagainya. Namun pelaksanaan hukuman hudud ke atas seseorang pesalah, boleh ditangguh berdasarkan keperluan tertentu.

Dalam kategori ini, semua pesalah walau kali pertama[8] melakukan kesalahan, akan dihukum kerana mudarat ke atas masyarakat umum.

Jika Ta’zir

Jika kesalahan ini dianggap dari jenis Ta’zir, maka hakim mempunyai kuasa untuk mengampun sama ada atas alasan ia kesalahan kali pertama, ia seorang yang lemah, ia seorang tidak sihat dan sebagainya. Demikian menurut mazhab Syafie.

Justeru, sebelum dikritik keputusan hakim, bincangkan terlebih dahulu mazhab mana yang ingin diikuti di Malaysia, khususnya dalam konteks hukum minum arak ini.

Berfikir atau Tersingkir

Oleh: A. Amri

Kita hidup dalam sistem yang tertutup. Kita tidak diajar untuk berfikir di luar kotak. Keberanian kita dilunturkan dengan peraturan yang tiada tolak ansur. Siapa punya peraturan? Tentulah peraturan yang direka oleh tangan manusia itu sendiri.

Kita selalu digesa untuk berfikir secara kreatif dan kritis. Namun, kita sendiri yang tidak menyuburkan budaya berfikiran kreatif dan kritis. Akhirnya kita hanya tahu berfikir dalam kotak yang sempit. Tidak sama orang yang tahu dan orang yang faham. Orang yang tahu hanya menghafal. Orang yang faham boleh mentafsir, menganalisa dan mengaplikasikan pengetahuan secara inovatif.

Satu contoh yang paling jelas dalam pentadbiran awam adalah dalam sesi temuduga perjawatan. Calon yang ditemuduga dianggap berkebolehan apabila ia boleh mengeluarkan kembali fakta-fakta sejarah dan tahu isu-isu semasa. Calon mungkin diminta memberi pandangan berkaitan isu-isu semasa tetapi jawapannya hanya benar dalam kerangka arus perdana. Ini bermakna jawapan yang diharapkan hanya setuju atau tidak.

interbiu

Jika isu yang ditanya adalah berkaitan pembelajaran dalam sains dan matematik. Jawapan selain dari ‘ia baik untuk meningkatkan bahasa Inggeris’ tidak boleh digunapakai. Saya mempunyai pengalaman tersendiri dengan penemuduga dari Kementerian dan Jabatan Pendidikan semasa di bangku sekolah. Saya ditanya berkaitan mengapa orang Melayu mundur. Jawapan saya yang berusia 17 tahun ketika itu adalah kerana orang Melayu tidak diajar berdikari dan tiada satu ‘force’ yang boleh memberi anjakan untuk orang Melayu berusaha lebih gigih seperti bangsa Cina.

Saya melawan arus. Oleh kerana jawapan saya itu, saya ditohmah sebagai pengkhianat bangsa! Selang setahun selepas itu, Tun Dr Mahathir mengumumkan dasar meritokrasi kerana ia perlu untuk mengurangkan kebergantungan orang Melayu kepada ‘tongkat’ Kerajaan. Nah! Di mana pegawai-pegawai yang menggelar saya pengkhianat bangsa itu? Mengapa tidak membantah saranan Tun itu? Semuanya kerana budaya ‘yes bos’. Tidak boleh berfikir tetapi hanya menurut.

Berbalik kepada proses temuduga perjawatan. Selain dari jawapan yang perlu mengikut skrip penemuduga, faktor akademik juga sangat rigid. Adakah jumlah markah dalam sekeping kertas boleh menyimpulkan kebolehan seseorang. Saya kata tidak! Tetapi inilah yang dipegang dengan begitu kuat sehingga tiada unsur timbang-tara. Alasan mencari kualiti bagi saya tidak relevan. Bahkan di barat, syarikat-syarikat gergasi mahukan pekerja yang pernah mengalami kegagalan. Mengapa? Kerana orang yang gagal bisa belajar dari kegagalan dan orang yang tidak pernah gagal belum tentu boleh menghadapi kegagalan.

einsteinBayangkanlah jika Albert Einstein masih hidup, beliau mungkin tidak diterima menjadi pensyarah di mana-mana universiti di Malaysia. Penemuduga akan meneliti rekod sekolah beliau dan mendapati bahawa beliau bukan pelajar yang berdaya maju dalam pelajaran. Benar, kerana beliau hanya banyak berimaginasi. Inilah kekuatan beliau sehingga terciptanya teori E=mc2!

Di barat, majikan tidak meletakkan akademik sebagai faktor pemilihan utama seorang calon. Ia sekadar salah satu faktor. Apa yang dicari adalah seorang yang boleh berfikir dengan kreatif, boleh berdikari, menunjukkan ciri sedia menambahbaik diri dan berani mencuba. Inilah perbezaan dengan sistem yang kita gunapakai. Natijahnya, pentadbiran awam dipenuhi dengan orang yang hanya menurut perintah tetapi kurang orang yang boleh melakukan transformasi.

Gelora Asia Barat Siri 10

Oleh: M. Fauzi

Faktor Kedua – Angkatan Tentera Republik Islam Iran

Perkembangan dekad terakhir ini mula menyaksikan negara-negara Islam seperti Iran, Pakistan, Turki, Sudan, Arab Saudi dan negara jiran Indonesia sudah mula mampu mengeluarkan pelbagai jenis senjata dari senjata api ringan hinggalah pembinaan kapal perang dan kapal terbang pejuang berteknologi sederhana.

Angkatan Tentera Republik Islam Iran dibentuk dengan gabungan tiga (3) organisasi utama iaitu Tentera Republik Islam Iran, Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran dan Pasukan Baseej. Pemimpin Agung Iran, Ayatollah Ali Khameini bertindak sebagai pemimpin tertinggi keseluruhan ketumbukan Angkatan Tentera Republik Islam Iran dengan dibantu oleh Kementerian Pertahanan & Logistik Angkatan Tentera (MODAFL – Ministry of Defence & Armed Forces Logistics).iranian women soldier

Angkatan Tentera Republik Islam Iran adalah angkatan tentera konvensional yang lebih dikenali di Republik Islam Iran sebagai ’Artesh’. ’Artesh’  mengandungi pasukan Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara sebagaimana struktur pasukan tentera konvensional negara-negara lain. Pasukan Tentera Republik Islam Iran ini berjumlah 420 000 orang dengan 350 000 anggota Tentera Darat, 18 000 anggota Tentera Laut dan 52 000 anggota Tentera Udara.

Pasukan Pengawal Revolusi Republik Islam Iran

Pasukan Pengawal Revolusi dianggarkan berjumlah kira-kira 125 000 orang dan mempunyai pasukan tentera laut, tentera darat dan tentera udaranya yang tersendiri. Pasukan Pengawal Revolusi dikenali sebagai IRGC oleh negara-negara Barat atau di Republik Islam Iran ia dikenali sebagai ’Pasdaran’ (Pasdaran-e Enghelab-e Islami) dalam bahasa Parsi. Pasukan Pengawal Revolusi ini adalah tentera elit Republik Islam Iran, amat terlatih dan turut diberikan kuasa untuk mengawal-selia roket-roket dan peluru-peluru berpandu balistik kepunyaan Republik Islam Iran.

Pasukan Pengawal Revolusi ini mempunyai satu pasukan elit yang diberi gelaran Pasukan Al-Quds. Terdapat sumber yang menyatakan bahawa bilangannya tidak melebihi 2 000 orang termasuk 800 orang yang sedang menjalankan operasi. Terdapat sumber lain yang menyatakan bahawa pasukan ini berjumlah 3 000 hingga 5 000 orang.

Los Angeles Times melaporkan bahawa Pasukan Al-Quds adalah antara pasukan yang terbaik di dunia. Mohan Abedin, Pengarah Pusat Penyelidikan bagi Kajian Keganasan yang berpusat di London berpendapat bahawa Pasukan Al-Quds merupakan pasukan khas yang paling berpengalaman dan mempunyai anggota yang mempunyai komitmen, bakat luar biasa dan peralatan bagi peperangan khusus bergantung kepada lokasi operasi.

Pasukan Al-Quds turut dilaporkan memberikan latihan dan menyalurkan bantuan kepada gerakan-gerakan pejuang Islam (yang sering dilabel sebagai pengganas oleh kerajaan Kristian Barat). Sebagai contoh dilaporkan pada tahun 2005, 150 anggotanya bertugas di Lubnan, bertindak sebagai penasihat tentera di Sudan, Eritrea dan Ethiopia.

Pasukan Baseej

Pasukan Baseej adalah pasukan tentera sukarela yang dibentuk oleh Pemimpin Agung Republik Islam Iran yang pertama, Ayatollah Rohullah Khomeini pada bulan November 1979. Keanggotaannya terbuka kepada lelaki dan wanita. Rata-rata anggota Pasukan Baseej berumur antara 18 – 45 tahun.

Semasa peperangan Iran-Iraq, Pasukan Baseej ini telah memainkan peranan penting. Sebagai contoh, pada tahun 1983 iaitu semasa perang Iran-Iraq, pasukan ini telah berjaya merekrut dan melatih sebanyak 2.4 juta orang dan menggerakkan sejumlah 450 000 dari mereka untuk berjuang di barisan hadapan.

Sumber Barat menyatakan bahawa Pasukan Baseej mempunyai keanggotaan di antara 400 000 hingga 3 juta orang. Pusat Kajian Strategik & Antarabangsa pada tahun 2005 menyatakan bahawa dalam keadaan aman, pasukan Baseej dianggotai oleh 90 000 anggota tetap dan 300 000 sukarelawan. Namun begitu jika berlaku peperangan mereka mampu mengumpulkan sejuta anggota dalam jangka waktu singkat.

Berdasarkan sumber agensi berita rasmi Iran, pasukan Baseej dianggotai oleh 11 hingga 12.5 juta orang dan 5 juta darinya adalah wanita. Sekurang-kurang 3 juta anggotanya mampu digerakkan untuk bertempur di medan hadapan peperangan.

Umumnya, walaupun Pasukan Baseej hanya dilengkapkan dengan senjata-senjata ringan seperti raifal AK 47, pelancar roket RPG 7 dan mortar 60 mm yang kesemuanya adalah buatan Iran, namun dengan jumlah yang begitu besar, ia mampu menjadi hujung tombak dalam menghadapi ancaman perang ke atas Republik Islam Iran.

Kelengkapan Angkatan Tentera Republik Islam Iran Secara Umum

Angkatan Tentera Darat

Republik Islam Iran telah mengeluarkan dana yang besar untuk menguatkan dan melengkapi keseluruhan keperluan angkatan tenteranya. Sebagai contoh pada tahun 1997, Republik Islam Iran telah membelanjakan sejumlah $ 4 996 billion dolar Amerika dan jumlah ini meningkat kepada $ 7 310 billion dolar Amerika pada tahun 2007.

Dengan jumlah dana begitu besar yang dibelanjakan oleh Republik Islam Iran telah menimbulkan persoalan tentang aras kekuatan aset senjata Republik Islam Iran yang sebenarnya. Tambahan pula umum mengetahui bahawa 75% aset senjata Republik Islam Iran dibangunkan dan dibina di dalam negara itu sendiri. Jika merujuk kepada sumber-sumber yang dipetik dari negara-negara Kristian Barat, data-data menunjukkan pegangan aset tentera Republik Islam Iran adalah kecil dan lemah. Tambahan kepada data ini didakwa 60% dari aset sedia ada adalah bersifat usang dan tidak berfungsi dengan baik.Iranianmissiles

Sebagai contoh menurut laporan Anthony Cordesman dalam CSIS Report – Conventional Armed Forces In The Gulf yang diterbitkan pada 23 Jun 2008 menyatakan bahawa keseluruhan angkatan darat Republik Islam Iran mempunyai pegagan senjata berat seperti berikut:-

Kereta Kebal Pelbagai Jenis                     – 1 613 buah

Kereta Perisai Pelbagai Jenis                   – 1 365 buah

Pelancar Roket Berganda                           –    876 buah

Meriam Tunda                                                – 2 010 buah

Meriam Berkenderaan (Self Propelled)  –    310 buah

Namun jika dibandingkan dengan maklumat yang diperolehi dari sumber terbuka seperti Wikipedia jumlah kereta kebal Republik Islam Iran adalah sebanyak 4 213 buah.irandefence

Dengan perbandingan yang begitu besar bezanya, kita dapat membuat perkiraan dan anggaran sebenar aset dan senjata berat lain yang dimiliki Republik Islam Iran.

Angkatan Darat Republik Islam Iran turut mempunyai sejumlah kapal terbang pengangkut dan pelbagai jenis helikopter bagi melicinkan lagi operasi ketenteraannya dengan pecahan jenis seperti berikut:-

Kapal Terbang Pengangkut          – 188 buah

Helikopter Pengangkut                 – 356 buah

Helikopter Serbaguna                   – 140 buah

Helikopter Penyerang                    – 150 buah

Angkatan Tentera Laut

Berdasarkan data yang dikeluarkan oleh pihak Barat, pada tahun 2008, Tentera Laut Republik Islam Iran mempunyai seramai 18 000 angota dan jumlah ini tidak termasuk anggota Angkatan Tentera Laut Pasukan Pengawal Revolusi. Angkatan Tentera Laut Republik Islam Iran terdiri daripada jumlah pecahan seperti butiran berikut :

Angkatan Tentera Laut                 – 13 400 orang

Pasukan Marin                                 -   2 600 orang

Pasukan Udara Tentera Laut     -   2 000 orang

Jumlah kapal perang Tentera Laut Republik Islam Iran adalah sebanyak 566 buah dengan pecahan seperti berikut:

Kapal Perang Permukaan            – 468 buah

Kapal Perang Sokongan               -   81 buah

Kapal Selam                                      -   17 buah

Angkatan Tentera Udara

Tentera Udara Republik Islam Iran turut memiliki kapal terbang sebanyak 517 buah dengan 204 helikopter.