Archive for February, 2012


Oleh A. Amri

Awal abad ke -21 mungkin akan diingati dalam lipatan sejarah sebagai zaman kebangkitan rakyat. Di Amerika Syarikat, buat pertama kalinya seorang Presiden berkulit hitam telah dipilih rakyat, walaupun telah beratus tahun negara itu mendabik dada sebagai negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan kesaksamaan. Di negara sekular Turki pula, seorang Perdana Menteri pro-Islam dipilih rakyat bagi memerintah buat penggal ketiga berturut-turut, mencipta sejarah sebagai antara pemimpin yang paling lama memegang kuasa sebegitu lama sejak zaman Kamal Attaturk.

 

Dalam pada itu, negara-negara Arab tumbang satu-persatu kepada kuasa rakyat. Fenomena yang digelar sebagai ‘Arab Spring’ turut menggoncang jiwa para diktator lain di rantau itu. Asia tidak ketinggalan juga menyaksikan rakyat negara Jepun berubah sokongan setelah lebih 50 tahun diperintah oleh parti bertuankan perasuah. Thailand pula mendapat ‘wake up call’ apabila himpunan gelombang merah rakyat memaksa pemimpin yang korup lari meninggalkan negara tersebut.

 

Kesemua peristiwa di atas adalah cerminan tingkah laku sosial yang dipengaruhi oleh corak pemikiran alaf baru hasil ledakan teknologi maklumat. Generasi Y yang membesar dengan bertemankan google, emel, blog dan facebook berbanding congkak dan batu seremban, terdedah dengan maklumat tanpa sempadan. Melihat kepada tindak-tanduk masyarakat yang digerakkan oleh golongan muda ini, satu pola yang dapat dikenalpasti adalah kesedaran masyarakat terhadap kesan negatif penguasa yang korup serta kesan solidariti dan mobiliti rakyat.

 

Maka, antara pengajaran-pengajaran yang harus diambil oleh seseorang pemimpin hari ini adalah jangan mengabaikan pandangan orang bawahan, terutamanya pandangan golongan muda. Kedua, perjuangan untuk kepentingan peribadi akan berakhir dengan penghinaan. Ketiga, kuasa adalah amanah rakyat dan bukan hak atau keistimewaan. Pengajaran-pengajaran ini bukan hanya perlu diambil perhatian oleh pemimpin-pemimpin negeri atau negara, malah pemimpin-pemimpin organisasi di peringkat mana sekalipun.

 

Pemikiran ‘new school’ menuntut kepada kebersamaan, keadilan dan integriti sang penguasa. Berlalu sudah pemikiran ‘old school’ bahawa ‘orang tua lebih banyak makan garam’ atau ‘usah digigit tangan yang menyuap’. Organisasi alaf baru kini tidak akan pergi jauh tanpa ‘esprit de corp’ atau semangat berpasukan. Islam telah lama menekankan kebersamaan dalam organisasi melalui konsep syura dalam pentadbiran, agar kuasa tidak tertumpu kepada seorang penguasa sahaja. Pandangan majoriti perlu dihormati, pandangan minoriti perlu dikaji.

 

Keadilan pula adalah teras kepada keharmonian dalam organisasi. Hukum alam menyatakan bahawa dalam setiap tindakan, akan ada tindakan balas yang setara. Semakin kuat seseorang ditindas, semakin kuat pulalah tentangan yang akan diberikan, umpama spring yang dimampat akan melantun kembali dengan daya yang cukup kuat. Bahkan, inilah antara yang paling ditakuti oleh Sun Tzu dalam peperangan iaitu serangan terhadap musuh yang terkepung sehingga memaksanya mempertahankan diri bermati-matian.

Akhir sekali, integriti meruapakan teras kepada amanah. Ia adalah ciri yang diharapkan oleh setiap rakyat kepada pemimpin. Matinya kepercayaan rakyat apabila terkuburnya integriti pemimpin. Tidak kira sebesar manapun sesebuah organisasi, lambat-laun akan terkesan dengan ketiadaan kebersamaan, keadilan dan integriti. Silent protest boleh bertukar menjadi revolusi berdarah kerana fitrah manusia tidak akan selamanya dapat dibisukan.

Azam Baru 2012

Oleh: M. Fauzi

Tahun 2012 telah hampir  dua bulan membuka tirainya..Adalah penting bagi semua orang, agar langkah pertama untuk memenuhi azam tahun baru sepatutnya telah dilaksanakan. Salah satu daripada azam saya tahun 2012 ini adalah untuk menyumbangkan artikel secara tetap seperti sebelumnya untuk tatapan pembaca yang dikasihi. Sudah lebih dari 20 bulan saya tidak mengemaskini blog uniprof ini. Apa alasan saya ye..?

Sibuk..

Tiada  masa..

Banyak kerja..

Kesuntukan waktu..

Itu adalah alasan lumrah yang dikemukakan oleh semua orang apabila tidak dapat memenuhi dateline tugasan mahupun tidak dapat memenuhi janji waktu yang perlu ditunaikan. Benarkah masa tidak mencukupi? Atau mungkin saya dan mereka yang seperti saya tidak mampu menguruskan masa dengan baik? Malah mungkin sikap negatif kita seperti suka menangguh kerja, melaksanakan hanya perkara yang kita suka dan gemar kepada kerehatan dan berpeleseran turut menyumbang kepada kegagalan menguruskan masa.

Sudah menjadi lumrah alam yang Allah Ta’ala aturkan, sejak ribuan tahun dahulu sehari tetap mempunyai 24 jam atau 1440 minit atau 86400 saat. Setahun disusun mengikut kalendar Gregory mempunyai 365 hari. Jadi semua orang mempunyai agihan masa yang sama rata. Jika ada manusia yang merasakan waktu yang diperuntukkan adalah mencukupi, mengapa pula kita merasakan tidak? Adakah dengan peruntukkan masa lebih dari 24 jam sehari menjadikan masa  mencukupi?

BUSY..Sibuk atau ….

Ungkapan busy atau sibuk adalah ungkapan yang mudah disebut, tetapi tidak sedap didengar, terutama apabila orang berharap kita dapat meluangkan masa untuknya. Adakah kita benar-benar busy hingga tiada masa yang boleh diperuntukkan untuk perkara yang lain? Atau mungkin sibuk itu dijadikan alasan yang dianggap terbaik oleh si penutur tetapi amat menyakitkan hati si pendengar.

Dan mungkin kerana kurang senang dengan perkataan ‘busy’ agaknya seorang kenalan rapat saya pernah mengungkapkan b.u.s.y adalah akronim kepada ‘Be Under Satanic Yolk’.

Jadi apakah masalah sebenarnya..?

Apakah tugasan harian kita semakin banyak, selaras dengan tahap kemodenan dalam hidup di zaman sekarang? Namun,dunia moden sekarang memperkenalkan kita kepada banyak teknologi canggih. Salah satu dari sebab popular penerimaan orang ramai terhadap peralatan canggih ini adalah kerana faktor penjimatan masa. Contoh mudah, ada orang lebih memilih untuk membeli mesin basuh automatik berbanding mesin basuh semi automatik kerana faktor penjimatan masa. Suri rumah lebih selesa dengan cerek elektrik automatik, blender, pencuci hampagas dan seumpamanya. Tugasan di pejabat pula disokong dengan pelbagai peralatan seperti komputer, tablet, printer, scanner dan lain-lain.

Bidang pengangkutan dan automatif juga semakin canggih. Kebanyakan golongan muda memiliki kenderaan sendiri. Jarak dan lokasi sudah tidak menjadi soal lagi. Pengenalan mesin dan peralatan seumpama dengannya memboleh manusia menjalankan pelbagai tugas dalam satu masa.

Jadi, dimanakah masalah sebenarnya?

Jawapannya sungguh mudah. Jawapannya ada pada kita sendiri. Jawapannya adalah kegagalan menguruskan masa dengan berkesan. Kegagalan pengurusan masa dengan baik menyebabkan kita sentiasa merasakan kesempitan masa. Sedangkan tanpa kita sedar, ada banyak masa yang berharga terbuang begitu sahaja.

Kegagalan pengurusan masa didorong oleh pelbagai faktor. Faktor utama adalah sikap negatif yang ada pada diri kita sendiri. Tidak kurang juga kegagalan pengurusan masa berpunca dari keadaan sekeliling, seperti beban tugas yang banyak, kekurangan sumber manusia yang mencukupi di tempat kerja, masalah dalam sistem pengurusan di tempat kerja dan lain-lain.

Tidak kurang juga kegagalan pengurusan masa disebabkan oleh kurangnya pengetahuan dalam pengurusan masa. Bahagian kedua nanti, Insya Allah saya akan kongsikan teori dan kaedah pengurusan masa dari dari sudut konvensional Barat dan pengurusan masa dari perspektif Islam..

 

Follow

Get every new post delivered to your Inbox.