Perak Ada Dua Menteri Besar?

Oleh: A. Amri

nizar_perak

Apa yang sedang berlaku di Perak? Pergolakan politik di negeri Perak adalah satu contoh natijah apabila prosedur dan peraturan yang telah termaktub dibelakangkan semata-mata kerana terlalu banyak campur tangan politik. Apabila ada orang cuba jadi ‘above the law’, satu negara boleh huru-hara. Pada pandangan saya, ada beberapa pengajaran boleh diperolehi daripada kemelut politik ini:-

Pertama: Dalam pentadbiran, kita hendaklah merujuk kembali kepada undang-undang sedia ada untuk menyelesaikan sesuatu perbalahan. Walaupun undang-undang adalah buatan manusia dan tidak sempurna seperti hukum Allah, tetapi ia diwujudkan untuk kesejahteraan bersama.

Kedua: Sentiasalah ambil kata majoriti. Pulangkan kembali kepada siapa yang layak mengundi, bukan buat keputusan sendiri. Luahan kehampaan rakyat Perak di Masjid Ubudiyah tempoh hari adalah menifestasi ketidakpuasan hati terhadap individu tertentu dan ia boleh dielak jika keputusan adalah suara majoriti.

Ketiga: Biarlah berpolitik hanya semasa pilihanraya. Di antaranya, kita haruslah bersikap profesional. ‘Serve the government of the day.’ Selagi pemimpin tidak menyeru kepada kemungkaran, tunggu saja hingga pilihanraya yang berikutnya.

Keempat: Kuasa boleh menyebabkan manusia hilang pertimbangan. Apabila kuasa dianggap satu keistimewaan dan bukan amanah, lihatlah saja kesannya. Maka, berhati-hatilah memilih pemimpin. Pilihlah pemimpin yang bertaqwa.

Ciri-ciri Pemimpin Beretika

Oleh: M. Fauzi

Pemimpin yang beretika dianggap pemimpin yang jujur, amanah, sangat dipercayai dan dapat diharapkan bukan setakat untuk memimpin dan melindungi subordinat, tetapi dijadikan sumber rujukan dan contoh tauladan hidup oleh subordinat. Apakah yang dikatakan pemimpin yang beretika?

Pemimpin yang beretika adalah pemimpin yang mengotakan apa yang dilafazkan. Kewibawaan seorang pemimpin terjejas apabila tindakan-tindakan atau keputusan-keputusan yang diambil tidak selaras dengan ikrar, janji atau kata-kata yang pernah dilafazkan. Pihak yang mendengar, melihat dan menyedari tentang perkara ini akan memandang serong kepada pemimpin sebegini dan melihat kepimpinannya dengan sinis.

Pemimpin yang tidak mengotakan kata-katanya akan dianggap sebagai pemimpin yang lemah, tidak perlu ditakuti, tidak boleh dipercayai, dianggap penuh retorik dan penuh dengan budaya propaganda. Lebih malang lagi sekiranya ini berlaku, bukan hanya subordinat tetapi masyarakat sekeliling akan memberikan tafsiran pelbagai dengan konotasi negatif setiap kali pemimpin sebegini melafazkan kata-kata. Kata-katanya tidak diterima sepenuh hati, arahan tugasan olehnya dilaksanakan oleh subordinat dengan separuh hati.

Menjaga Kerahsiaan

Pemimpin yang berada dipuncak hierarki akan biasa berhadapan dengan suasana kerja yang memerlukan kerahsiaan. Rahsia adalah sesuatu yang perlu disimpan dengan cermat dan teliti. Rahsia tidak lagi menjadi rahsia sekiranya terdapat pihak yang tidak berkaitan mengetahui rahsia tersebut. Apabila disebut tentang kerahsiaan, ia pasti akan dikaitkan dengan data, statistik, maklumat terperingkat, perancangan atau perkara-perkara yang bakal dilakukan. Pemimpin haruslah bertanggungjawab sepenuhnya dalam menjaga kerahsiaan. Kegagalan pemimpin untuk memelihara kerahsiaan menimbulkan rasa tidak senang dikalangan subordinat dan masyarakat sekeliling tetapi juga integriti seorang pemimpin tersebut dipertikaikan.

Lebih malang lagi apabila rahsia tersebut bukannya bocor akibat dari kehilangan fail-fail sulit mahupun dokumen terperingkat yang berada di tangan pemimpin atau staf terdekatnya, tetapi rahsia tersebut tiris dari lidah pemimpin itu sendiri dan terus mengalir ke pintu pejabat dan banjir ke seluruh organisasi. Mungkin pada awalnya pemimpin merasakan bahawa dirinya penting di dalam organisasi kerana dianggap sebagai ‘first hand information informer’. Tetapi dihujungnya pemimpin sebegini akan hilang wibawa di mata subordinat dan masyarakat sekeliling.

Berhadapan Konflik

Dalam memimpin sebuah organisasi, seorang pemimpin tidak dapat lari dari risiko bahawa organisasinya berhadapan dengan pelbagai jenis konflik. Konflik adalah salah satu medan yang mengukur kewibawaan dan keupayaan seorang pemimpin dalam usaha menanganinya. Terdapat sesetengah konflik yang kritikal dan perlu diselesaikan serta-merta. Terdapat juga konflik yang memerlukan masa untuk menyelesaikannya.

Pemimpin yang berwibawa tidak mudah melatah dan membuat keputusan yang terburu-buru apabila berhadapan dengan konflik. Apabila organisasi menghadapi konflik, seluruh organisasi akan memberikan tumpuan kepada pemimpin dan warga kerjanya. Segala pernyataan, tindakan dan keputusan pemimpin akan dianggap sebagai arahan yang perlu dilaksanakan sebagai jalan keluar untuk mengatasi konflik. Sekiranya pemimpin terlalu terburu-buru dan sentiasa mengeluarkan kenyataan dan keputusan yang saling bertentangan, kewibawaan pemimpin akan dipertikaikan dan subordinat beranggapan bahawa pemimpin mereka bercakap dahulu baru berfikir.

Ibarat kata Hang Jebat , otak diletak ke empu kaki. Pemimpin yang berwibawa adalah pemimpin yang tidak menuding jari dan meletakkan kesalahan atas kewujudan konflik ke atas subordinat, tetapi mengambil tanggungjawab untuk ke hadapan menyelesaikannya. Malah lebih hilang wibawa seorang pemimpin yang pandai mengambil kredit atas kelebihan subordinat dengan mengecapkannya sebagai usaha pemimpin tetapi apabila timbul masalah, subordinatlah orang yang patut dipersalahkan dan dihukum.

Mengendali Subordinat

Di dalam organisasi, pemimpin tidak dapat dipisahkan dari subordinat. Ia ibarat aur dengan tebing. Pemimpin akan menghadapi kepelbagaian sikap dan mentaliti subordinat. Ada yang berpendirian keras, konservatif, moderat, idealis dan pelbagai lagi. Walaupun terdapat pelbagai teori dan pendekatan yang dikemukakan oleh sarjana dan pengkaji bidang sains sosial, setakat ini tiada pendekatan yang benar-benar dianggap terbaik dalam pengendalian subordinat. Pemimpin harus melihat semula kepada ‘nature of subordinate’. Mengendalikan subordinat adalah subjektif sifatnya dan kaedahnya adalah pelbagai bergantung kepada situasi dan keadaan.

Pemimpin yang berwibawa adalah pemimpin yang turun padang dan bertemu dengan subordinat, hatta pada hierarki yang paling bawah. Jubah dan ego seorang pemimpin harus diletakkan dan digantung disebalik pintu bilik kerja apabila seorang pemimpin turun padang. Pemimpin harusnya berbicara dengan nada dan ‘bahasa’ subordinat agar subordinat menerima kehadiran pemimpin dengan perasaan terbuka. Pemimpin haruslah mencari, mendengar dan menyelami masalah subordinat dan berusaha menyelesaikannya. Pemimpin yang berwibawa harus lebih banyak mendengar dan bertindak.

Pemimpin yang berwibawa adalah pemimpin tidak mudah membuat penilaian negatif terhadap subordinat dan bertindak menghukumnya. Subordinat yang bermasalah wajar dinasihatkan, dibantu dan dibentuk semula agar ia mengikuti jalan yang digariskan dan diingini oleh pemimpin. Subordinat yang dianggap sebagai ‘new blood in the organisation’ pula sepatutnya diberikan pendedahan dan panduan yang lengkap dengan ‘job description’ , ‘standard operation and prosedure’ dan senarai ‘do and don’t’ yang bersesuaian dengan tugas dan diberikan masa yang munasabah untuknya menyesuaikan diri. Penyesuaian diri dengan tugas terutama kepada subordinat baru bukannya perkara yang boleh diselesaikan dalam satu malam atau satu purnama. Sikap pemimpin yang gemar memandang rendah kepada ‘new comers’ ini adalah antara sikap yang menjatuhkan wibawa seorang pemimpin.

Ciri-ciri Pemimpin yang Baik

Oleh: M. Fauzi

Sejak dari awal kajian dibuat tentang sains pengurusan, terdapat beberapa pendekatan yang digariskan dalam membuat penilaian ke atas ciri-ciri pemimpin. Pada awalnya ciri-ciri pemimpin biasanya di kaitkan dengan ‘teori orang besar’. Orang besar biasanya di kaitkan dengan bentuk fizikal yang pastinya dikaitkan dengan kekuatan fizikal. Maka lahirlah prinsip ‘orang kuat mengatasi orang yang lemah dan menjadi pemimpinnya’ dan ini biasanya di kaitkan dengan pemimpin di zaman Greek, Rom dan zaman-zaman kerajaan awal. Selaras dengan perkembangan masa ‘teori orang besar’ berkembang dengan mentakrifkan ‘orang besar’ sebagai orang yang mempunyai kekuatan dan kecerdesan asal dan kemampuan dari segi kekayaan.

Beberapa orang tokoh yang mengkaji bidang sains pengurusan samada sarjana Barat atau sarjana Islam memberikan pernyataan yang lebih spesifik apabila memperkatakan tentang ciri-ciri pemimpin. Ciri-ciri pemimpin mengikut pandangan para tokoh berkenaan adalah seperti berikut:-

Al Mawardi

1.Seorang yang adil

2.Mempunyai ilmu agama yang tinggi

3.Anggota tubuh badan yang sempurna

4.Pancaindera yang sempurna

5.Fikiran yang matang dan berani berijtihad

Ishak Mohd Rejab

1.Beragama Islam

2.Lelaki

3.Merdeka

4.Berilmu

5.Adil

6.Mampu dan berani

7.Mengasihi

8.Kuat

9.Kesempurnaan pancaindera

Ralph M. Stogdill

1.Sifat fizikal – penampilan, tenaga dan ketinggian.

2.Sifat kecerdasan dan kemampuan – bijak, matang, mempunyai harta sebagai modal dll.

3.Sifat keperibadian – kebolehsuaian, agresif dan keyakinan diri.

4.Sifat pelaksana tugas – daya pencapaian, kesungguhan dan inisiatif

5.Sifat sosial – daya kerjasama, kemampuan berkomunikasi dan kebolehan untuk bermasyarakat.

Edwin Ghiselli

1.Keselarasan di antara sifat kecerdasan dengan kemampuan mengurus dan memimpin.

2.Ada kesungguhan dan keyakinan kepada diri sendiri

3.Kecerdasan yang terlalu tinggi atau kecerdasan yang terlalu rendah akan mengurangkan keberkesanan memimpin.

Mengupayakan Profesional di Institut Pengajian Tinggi

Oleh: A. Amri

Dalam usaha mengupayakan profesional di institusi pengajian tinggi, pihak pengurusan tertinggi universiti harus memainkan peranan sebagai pencatur yang berkesan. Ini kerana seorang pemimpin yang berkesan harus bijak memimpin mengikut suasana semasa dan keupayaan yang dimiliki. Dalam konteks sebuah universiti, pentadbir diterdedah dengan suasana ilmiah dan intelektual. Justeru, pentadbir di universiti tidak wajar hanya dilihat sebagai kakitangan kelas kedua selepas pensyarah.

Memetik petua bekas Ketua Pustakawan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Puan Putri Saniah Megat Abd. Rahmah yang kini adalah seorang Felo Utama di USIM, kecemerlangan seseorang pegawai adalah kesan daripada budaya cintakan ilmu, kehadiran ke seminar dan bengkel serta galakan menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi bagi mendalami sesuatu ilmu.

Pihak pengurusan atasan juga harus bijak mencatur dan merancang penempatan kakitangan pentadbiran di universiti selaras dengan keupayaan dan kepakaran masing-masing. Penempatan berdasarkan kepakaran sebenarnya dapat melonjakkan hasil kerja dan memberi manfaat yang optimum kepada kakitangan dan majikan. Kepakaran kakitangan bukan akademik adalah juga aset kepada sesebuah universiti kerana pengalaman secara hands-on tidak boleh disamakan dengan pengetahuan teori di bilik kuliah.

Di samping itu, usaha membimbing pegawai-pegawai baru oleh pegawai-pegawai senior perlu dijadikan budaya. Adalah satu kerugian yang amat besar sekiranya pegawai senior menganggap pegawai baru sebagai saingan dan bukan sebagai pelapis. Konsep protege’-apprentice banyak membawa kebaikan kepada organisasi kerana pemimpin yang cemerlang adalah pemimpin yang melebarkan kepimpinan dengan melatih pengganti yang lebih baik daripada dirinya. Ia meletakkan kepentingan organisasi di hadapan kepentingan dirinya.

Pengurusan universiti juga harus menerapkan budaya kerja cemerlang di kalangan kakaitangannya. Budaya kerja yang cemerlang tidak terhad kepada faktor kualiti dan komitmen terhadap kerja serta kesediaan menerima perubahan, malah kekuatan spiritual juga adalah unsur yang penting tetapi sering dikesampingkan. Kekuatan jiwa merupakan benteng dalam menghadapi tekanan beban kerja dan godaan materialistik di persekitaran tempat kerja.

Karisma Seorang Pemimpin

Oleh: A. Amri

Adakah anda seorang Ketua Jabatan? Ketua Bahagian? Ketua Unit? Sebaik sahaja anda berada di posisi seorang ketua, anda sebenarnya dinilai oleh orang lain. Penilai mungkin terdiri dari rakan anda atau pesaing anda. Anda mahu orang lain melihat anda sebagai pemimpin yang bagaimana?

Seorang pemimpin yang hebat mempunyai karisma. Karisma mampu memberi kesan kepada organisasi. Seorang pemimpin yang berkarisma membezakannya antara pemimpin yang hebat dengan pemimpin yang biasa. Bak kata orang, “satu dalam seribu.”

Anda mempunyai pilihan sama ada untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat atau tidak. Karisma tidak hadir semata-mata melalui bakat semulajadi. Malah ia boleh diasah dan dipelajari. Berikut adalah ciri-ciri pemimpin berkarisma. Adakah anda tergolong sebagai seorang yang berkarisma?

Saya senaraikan di sini sembilan ciri pemimpin yang berkarisma:

1. Tajam pemikiran.

Pemimpin yang berkarisma dapat membaca masa hadapan berdasarkan pemahamannya terhadap suasana semasa. Dia mampu memahami isu-isu semasa dengan baik dan membuat persiapan terhadap sebarang kemungkinan. Pujangga Islam ada menyebut, “Orang yang tajam pemikirannya memahami perkara sebelum ia berlaku dan orang awam memahami perkara setelah ia berlaku”.

2. Pandangan helang.

Pemimpin yang berkarisma mempunyai kuasa maklumat di hujung jari-jemarinya. Ia adalah seorang pendengar yang baik dan mampu mengenalpasti punca masalah dengan cepat. Biasanya dia boleh menganalisis persekitaran dan menyesuaikan tindakannya dengan persekitaran tersebut umpama seekor helang yang melihat ke bawah dari langit yang tinggi.

3. Kreatif dan inovatif

Kreatif bermaksud mencetus sesuatu idea yang baru, manakala inovatif bermaksud melaksanakan pembaharuan kepada sesuatu yang sedia ada. Pemimpin yang kreatif adalah pemimpin yang memimpin dan bukan dipimpin. Ia mendahului dan mempunyai wawasan. Pemimpin sebegini biasanya diikuti kerana dia berjaya mengukir imej dan persepsi yang jelas dalam minda pengikutnya tentang matlamat yang hendak diperjuangkan.

4. Berani mengambil risiko.

Peluang sentiasa muncul di depan mata. Tetapi tidak semua yang berupaya membezakan antara peluang dan ancaman. Pemimpin yang biasa hanya melihat ancaman dalam sesuatu krisis. Namun pemimpin yang hebat dapat melihat peluang dalam sesuatu krisis. Sifat bijak mengeksploitasi peluang untuk mendapatkan hasil yang maksimum dan berani berhadapan risikonya adalah ciri-ciri seorang pemimpin berkarisma.

5. Tahu keutamaan.

Berfikir secara sistematik amat penting apabila seseorang berhadapan dengan pilihan sedangkan ia perlu dilakukan dengan pantas dan tepat. Pemimpin yang berkarisma tidak mudah melatah. Dia tahu mendahulukan apa yang utama. Di samping itu dia tidak mengenepikan hal yang remeh.

6. Keperibadian yang tinggi.

Keperibadian atau akhlak yang tinggi adalah tunjang kepercayaan orang lain kepada kita. Antara sifat-sifat keperibadian yang tinggi adalah sabar, tegas, berani dan bertimbang rasa. Pemimpin yang memiliki keperibadian yang tinggi dilihat sebagai pemimpin yang berkarisma. Kata Imam Al-Ghazali, “tongkat yang bengkok tidak mungkin menghasilkan bayang-bayang yang lurus.”

7. Kemahiran berinteraksi

Kebanyakan pemimpin yang hebat adalah orang yang bijak berkomunikasi. Kehadiran mereka sentiasa menjadi tumpuan ramai. Pemimpin yang hebat bukan sahaja bijak berinteraksi secara lisan, malah bahasa badan mereka juga menonjolkan karisma pada diri mereka.

8. Keimanan yang teguh

Karisma juga dapat dilihat pada wajah orang yang dekat dengan Allah. Mereka dikatakan mempunyai ‘nur’ atau cahaya pada wajahnya. Keimanan yang teguh di dalam hati mereka terpancar pada rupa fizikal mereka. Kebiasaannya mereka kelihatan tenang dan meyakinkan.

9. Melebarkan kepimpinan

Sifat ini termasuk dalam kebijaksanaan seorang pemimpin, iaitu mengatur pengganti-penggantinya. Jika dia seorang yang berpengetahuan, dia berkongsi dengan pengikutnya. Jika dia mempunyai kemahiran, dia menurunkan kepada anak buahnya. Dalam kata lain, dia menyediakan barisan pelapis yang sama hebat atau lebih hebat daripadanya. Dengan yang demikian, sesebuah organisasi tidak hanya bergantung pada seseorang dan akan bertambah cemerlang selangkah dengan peredaran masa.