Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini – Siri 2

Oleh: A. Amri

Pertembungan Budaya Timur & Barat

Perubahan sikap dari rasa rendah diri dan pemalu kepada sikap yang lebih agresif akibat penindasan penjajah adalah satu transformasi yang normal dan berlaku kepada masyarakat di Negara-negara lain juga. Namun, kebangkitan kali kedua ini berbeza berbanding kebangkitan zaman Kesultanan Melayu Melaka kerana budaya masyarakat Melayu telah diadun dengan budaya Barat kesan dari penjajahan selama beratus-ratus tahun. Pertembungan budaya masyarakat Melayu dengan kuasa-kuasa Barat telah meninggalkan kesan mendalam terhadap cara hidup dan sistem nilai orang Melayu.

Selama lebih 50 tahun merdeka, identiti Melayu kini lebih parah berbanding sebelum merdeka. Melayu zaman ini telah sedikit sebanyak berubah kepada perwatakan yang lebih destruktif dan mementingkan diri. Saban hari terpampang di surat khabar berita-berita tentang bagaimana orang Melayu memperkosa, merompak dan membunuh. Hampir setiap hari berita sebegini berulang. Orang Melayu yang terkenal dengan sifat kesantunan mereka kian terhakis dalam arus pemodenan.

Tidak cukup dengan jenayah seks dan keganasan, orang Melayu turut memegang ‘title’ penagih dadah nombor wahid Negara. Menurut Jabatan Statistik Negara, sehingga 2005 penagih Melayu mencatat angka tertinggi iaitu sebanyak 22,344 orang atau 68.1 peratus daripada keseluruhan penagih. Jumlah anak luar nikah yang didaftarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara dari 1999 hingga 2003 mencatatkan 30,978 daripadanya adalah di kalangan orang Islam yang rata-rata orang Melayu.

Golongan menengah Melayu pula kian tamak dan tidak tahu prioriti hidup. Yang atas tidak mempedulikan golongan bawah. Ini menyebabkan kemiskinan menjadi masalah utama kepada bangsa Melayu. Walaupun Dasar Ekonomi Baru (DEB) diwujudkan pada tahu 1971 bagi membantu mengurangkan jurang perbezaan dengan kaum lain, perbezaan jurang kekayaan sesama kelas Melayu pula semakin melebar. Dalam kata lain, orang Melayu sendiri tidak mahu menolong orang Malayu. Kesedaran kian pudar untuk membantu bangsa sendiri. Ini diakui sendiri oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz. Menurut beliau, orang Melayu kini tidak mengamalkan slogan masyarakat penyayang, hatta kepada alam sekitar. Berbeza dengan masyarakat Eropah atau Jepun yang mempunyai kesedaran sivik yang tinggi.

Dari segi pemikiran pula, secara amnya orang Melayu masih mundur cara berfikirnya berbanding masyarakat di negara-negara maju yang lain. Contohnya, orang Melayu masih berfikiran reaktif dan tidak proaktif. Ertinya kita hanya akan bertindak selepas sesuatu perkara berlaku dan tidak tahu mengambil langkah pre-amptive. Orang Melayu juga tidak berfikiran saintifik dan rasional. Emosi masih dijadikan panduan bertindak. Tidak hairanlah kes mengamuk saban tahun terdiri daripada orang Melayu juga. Kita juga tidak memikirkan tentang orang lain sebagaimana orang jepun. Ungkapan ‘kubur sendiri-sendiri’ memang telah melekat kuat dalam pegangan orang Mealyu.

Orang Melayu kini juga disifatkan sebagai tidak sangup bekerja keras dan tidak bersungguh dalam menuntut ilmu. Mungkin ‘tongkat’ yang sentiasa membantu tuannya selama ini telah menyebabkan kaki tuannya sendiri menjadi lemah. Sama ada orang Melayu memang tidak tahu berdiri dengan dua kakinya sendiri atau orang Melayu suka mengambil jalan selamat, tidak berani mengambil ambil risiko. Sistem meritokrasi yang diperkenalkan oleh kerajaan akan berkesudahan dengan dua kemungkinan: kecemerlangan Melayu atau kejatuhan Melayu.

Gelombang Reformasi

Dalam kemelut sosial dan budaya ini, sekurang-kurangnya kesedaran politik orang Melayu menampakkan peningkatan yang positif. Jika selama ini sebahagian besar masyarakat Melayu menganggap urusan politik terserah kepada orang politik sahaja, kini orang Melayu lebih kritis dan prihatin dengan persoalan kenegaraan. Gelombang reformasi yang dibawa oleh bekas Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim lewat tahun 1998 sedikit sebanyak mempengaruhi tingkah laku politik bangsa Melayu. Orang Melayu sekali lagi turun beramai-ramai di jalan-jalan utama untuk meluahkan perasaan mereka. Suatu yang hanya terjadi sewaktu sebelum merdeka iaitu ketika orang Melayu menolak cadangan Malayan Union.

Gelombang kesedaran politik ini berkekalan sehingga Pilihanraya Umum Ke-12 baru-baru ini yang menyaksikan lima negeri dikuasai Pakatan Rakyat (PKR-PAS-DAP). Fenomena politik yang belum pernah disaksikan ini melambangkan bahawa orang Melayu dari golongan atasan hinggalah peringkat bawahan telah celik dalam soal politik. Kemenangan Pakatan Rakyat (sebelum ini Barisan Alternatif) di negeri-negeri yang majoriti orang Melayu seperti Kelantan dan Kedah menunjukkan bahawa orang Melayu telah berani mengambil risiko dalam politik.

Kekalahan UMNO yang merupakan parti utama orang Melayu di lima negeri tersebut tidak bermakna kuasa politik orang Melayu sudah susut. Malah, tsunami politik pada Mac 2008 yang lalu membuka jalan kepada kebangkitan Raja-Raja Melayu. Raja-Raja Melayu yang sekian lama mendiamkan diri dari pentas politik tanah air telah membuka mata para ahli politik bahawa titah DiRaja masih berbisa. Ini berlaku di Terengganu, Perak dan Perlis.

Faktor-faktor Perubahan Tingkah Laku

Pemimpin dan cendekiawan Melayu tdak boleh selamanya menyalahkan Barat di atas kebejatan sosial yang melanda. Pembongkaran demi pembongkaran permasalahan yang dihadapi oleh golongan belia Melayu perlu diambil tindakan serius dan segera. Antara faktor dominan yang dikenal pasti mempengaruhi tingkah laku remaja adalah media massa. Pakar perunding psikiatrik kanak-kanak dan remaja, Profesor Dr. Kasmini Kassim mendapati melalui penyelidikan, media mempunyai pengaruh kuat dalam pembentukan sikap ganas remaja yang terjebak dalam salah laku jenayah. Program berbentuk keganasan dan lambakan majalah berunsur lucah di pasaran pastinya merosakkan usaha menyemai nilai-nilai murni dalam diri remaja kita.

Keruntuhan institusi kekeluargaan juga mempunyai impak yang besar dalam pembentukan sistem nilai masyarakat. Rata-rata golongan menengah Melayu yang hidup mewah tidak dapat lagi membezakan antara kasih-sayang dan wang ringgit. Mereka menganggap dengan memberi kemewahan hidup dapat menggantikan kasih sayang. Tanpa disedari mereka sendiri menyemai sifat materialistik dalam diri anak-anak mereka. Ini akhirnya mengundang bencana kerana menurut ahli psikologi, masyarakat yang tidak diberikan kasih-sayang tidak akan tahu memberikan kasih saying.

Budaya apakah yang telah melanda orang Melayu abad ke-21 ini? Bagaimanakah bentuk masyarakat Melayu 20 tahun dari sekarang? Inilah dilemma dan halangan yang harus difahami dan diatasi oleh pemimpin, cendekiawan dan masyarakat Melayu sekarang. Bangsa Melayu tidak boleh asyik bercakaran sesama sendiri dan membiarkan martabat bangsa berkubur. Pemimpin Melayu harus merenung sejarah dan mengenalpasti faktor utama mengapa bangsa Melayu mundur dan bagaimana ia boleh kembali menyinar. Jika gelombang ketamadunan pertama dan kedua ditunjangi oleh kehadiran Islam, mungkinkah pembentukan personaliti kelas pertama juga perlu kepada kehadiran sinar Islam? Hanya orang Melayu yang dapat menentukan survival bangsanya.

Psikologi Bangsa Melayu: Dulu dan Kini Siri 1

Oleh: A. Amri

Asal Usul Perwatakan Melayu

Apabila berbicara perihal psikologi bangsa Melayu, kita harus membicarakan dua perkara pokok, iaitu identiti asal orang Melayu serta faktor-faktor yang mempengaruhi pembentukannya, dan faktor-faktor yang telah mengubah atau yang akan mengubah perwatakan bangsa Melayu. Perbincangan ini cuba mengupas pandangan beberapa cendekiawan Melayu berkenaan permasalahan dan cabaran orang Melayu dalam pembentukan personaliti ‘Melayu Kelas Pertama’.

Melayu tradisional adalah satu bangsa yang amat menekankan nilai-nilai sosial. Nilai-nilai ini dipupuk sejak di peringkat kanak-kanak bagi memastikan kelakuannya bersesuaian dengan kehendak masyarakat. Konsep ‘malu’, ‘harga diri’ dan ‘maruah’ mempunyai kepentingan sosial dan nilai-nilai ini dipertahankan habis-habisan.

Orang Melayu dahulu juga dikenali sebagai bangsa yang berbudi bahasa dan hormat menghormati, terutamanya terhadap orang yang lebih tua dan pemimpin mereka. Penekanan terhadap adab dan kesopanan dapat diperhatikan dalam kehidupan beraja. Dalam Sejarah Melayu, dinukilkan betapa pentingnya seorang Sultan atau anak Raja memiliki akhlak yang mulia.

Bakal Sultan dilatih dan dididik agar berketrampilan di mata masyarakat. Di samping meneruskan satu imej sejak turun-temurun, maruah juga dipertaruhkan. Persepsi masyarakat ketika itu, seorang Sultan yang baik adalah Sultan yang mempunyai adab di samping sifat kebijaksanaan.

Budaya dan identiti masyarakat Melayu ketika itu dipengaruhi oleh beberapa faktor, dan yang paling utama adalah kedatangan Islam ke alam Melayu. Kedatangan Islam ke Asia Tenggara pada kurun ke-14 telah membawa perubahan ketara dalam peradaban masyarakat Melayu. Menurut Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas, agama Islam sebenarnya telah mewujudkan identiti bangsa Melayu yang tersendiri.

Meneliti sejarah Kesultanan Melayu Melaka, kita akan mendapati permulaan satu bangsa Melayu yang bertamadun. Bermula dengan Islamnya pemimpin Melayu ketika itu, dan tindakan itu kemudiannya diikuti oleh sekalian rakyat jelata. Orang Melayu juga amat menyanjung dan menghormati golongan alim ulama dan tokoh agama. Guru-guru di zaman awal kemerdekaan dianggap sebagai profesion yang amat mulia dan disanjung tinggi.

Kehalusan budi orang Melayu yang disulam dengan keiklasan iman turut diabadikan di dalam perkataan ‘budiman’ yang mencantumkan makna budi dan iman. Budaya dan tradisi bangsa Melayu bukan sekadar disesuaikan dengan ajaran Islam, bahkan budaya itu sendiri dibina berasaskan nilai-nilai Islam. Tidak keterlaluan jika dikatakan sistem nilai orang Melayu hampir keseluruhannya dibentuk oleh Islam.

Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mengakui pengaruh Islam terhadap nilai dan etika Melayu melalui buku kontroversi beliau, The Malay Dilemma. Namun, menurutnya, interpretasi yang salah terhadap agama telah menyebabkan orang Melayu terjebak dengan sikap-sikap yang lari daripada landasan agama seperti tidak berani mengambil risiko, tidak tahu merancang dan berpada dengan hidup yang sederhana. Menurutnya lagi, budaya juga merupakan antara sebab orang Melayu kian mundur berbanding bangsa lain. Budaya yang dimaksudkannya ini berpunca daripada faktor persekitaran dan bukan sifat semulajadi orang Melayu.

Antara sikap yang diperincikan Tun Dr. Mahathir adalah sikap ‘easy going’ atau sikap ‘tak mengapa’ yang menyebabkan bangsa Melayu terkebelakang dalam bidang perniagaan berbanding bangsa Cina. Sikap ini juga menyebabkannya mudah dieksploitasi dan menyerah kalah. Orang Melayu juga sering mahukan keuntungan segera serta tidak tahu menilai wang. Perkara yang sama telah diungkapkan oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz iaitu orang Melayu hanya tahu sesuatu perkara itu banyak atau sedikit tetapi tidak tahu nilai nombor tersebut.

Dalam buku The Way Forward, Tun Dr. Mahathir telah menyalahkan penjajah di atas sikap negatif orang Melayu. Dasar pecah dan perintah British telah melemahkan masyarakat Melayu dari segenap penjuru. Berbeza pula dengan pandangan Datuk Dr. Hassan Ahmad, bekas Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, yang percaya sikap malas bekerja, suka berpesta dan berpoya-poya orang Melayu adalah ciptaan penjajah Barat yang memandang rendah terhadap masyarakat Melayu atau dalam istilah mereka ‘the natives’ yang merujuk kepada masyarakat yang tidak bertamadun. Persepsi negatif terhadap orang Melayu ini pula terus dipegang oleh orang Melayu sendiri sehingga hari ini.

Menurut Dr. Sidek Fadzil, rasa tidak selamat terhadap kuasa Barat turut mendorong orang Melayu menjadi lebih Islamik. Maka sekitar 1950-an muncul nama-nama seperti Dr. Burhanuddin al-Helmi, Pendeta Za’ba dan Profesor Zulkifli Muhammad, cendekiawan Melayu berfahaman Islam moderat yang menyemarakkan kebangkitan semula orang Melayu. Mereka adalah antara tokoh-tokoh orang Melayu yang menentang kehadiran British di Tanah Melayu ketika itu. Kesedaran untuk mengubah nasib bangsa ini sekali lagi disemarakkan oleh sentimen kebangkitan Islam selepas kejatuhan Khalifah Turki Uthmaniah.

Peranan Intelek dalam Pembangunan Masyarakat

Oleh: A. Amri

Setelah setengah abad Malaysia mengharungi zaman kemerdekaan, tidak kurang dari dua puluh institusi pengajian tinggi awam naik megah bertaburan di seluruh negara. Perkembangan ini tentunya turut disokong oleh para sarjana dan pemegang PhD dalam pelbagai kepakaran. Secara logiknya kehadiran para cendekiwan ini dapat mendorong budaya ilmu dan perubahan minda di kalangan masyarakat, khususnya di kalangan orang Melayu Muslim yang agak terkebelakang dari sudut pencapaian akademik.

Namun, secara umumnya budaya ilmu di kalangan masyarakat di negara ini belum banyak berubah. Kadar pembacaan buku ilmiah di kalangan masyarakat Melayu Muslim setiap tahun masih rendah. Fenomena ini mungkin sekali disebabkan oleh kesan penjajahan selama lebih 400 tahun yang masih menebal. Hal ini turut disebut oleh Profesor DiRaja Ungku Aziz. Menurutnya, sikap, persepsi dan kaedah berfikir kita ditanam oleh penjajah British sejak tahun 1920-an. Pemikiran orang Melayu sering dihalang daripada bercambah agar tidak menimbulkan penentangan terhadap penjajah.

Hasil semaian budaya yang menjauhkan masyarakat Melayu dari mencintai ilmu masih dapat diperhatikan pada hari ini. Kebanyakan pelajar-pelajar dari peringkat sekolah hinggalah ke universiti kurang budaya bertanya. Perasaan rendah diri yang sebati dengan jiwa orang Melayu menambah parah situasi tersebut. Selagi ada sikap rendah diri dan malu bertanya, masyarakat Melayu akan terus berada di bawah tempurung kejumudan.

Golongan intelek khususnya perlu turun padang dan mengubah cara pemikiran sedemikian. Mereka tidak sepatutnya merasa selesa menganalisis permasalahan masyarakat di sebalik bilik atau makmal sahaja. Keadaan ini menyebabkan golongan intelek di persada gading sering digelar sebagai ‘pensyarah kangkung’ oleh sesetengah pihak yang menuntut mereka sama-sama menyelami permasalahan masyarakat secara ‘hands-on’.

Sikap sesetengah pensyarah ini diburukkan lagi dengan halangan menyuarakan pendapat secara kritis, terutamanya apabila melibatkan pandangan yang bertentangan arus dengan pihak pemerintah. Namun, sikap ‘berani kerana benar’ masih dipegang oleh segelintir pensyarah dan intelek yang masih ada harga diri dan integriti.

Pengkhianatan goloangan intelek lebih ketara apabila teori-teori yang digagaskan gagal diaplikasikan bagi menambahbaik keadaan dalam masyarakat. Perbincangan demi perbincangan dilakukan dalam seminar dan konvensyen, namun resolusi tersebut kebanyakannya tidak sampai ke bawah. Kitaran ilmu di kalangan intelektual melalui jurnal dan buku berindeks kebolehbacaan yang tinggi tidak dapat dimanfaat oleh masyarakat kebanyakan. Maka perasaan ‘syok sendiri’ dengan teori dan falsafah yang diformulakan menyelubungi para profesor kita.

Abdollah Vakily, melalui tulisannya dalam The American Journal of Islamic Social Sciences menyatakan bahawa Ilyas Ba-Yunus dan Farid Ahmad mencadangkan agar masalah sosial perlulah dilihat dari sudut fitrah manusia sebagaimana termaktub dalam Al-Quran. Seterusnya pelan startegik harus direncanakan melalui pengetahuan sains sosial agar penyelewengan tingkah laku dapat diperbetulkan. Jelas di sini, Islam menggariskan syarat bahawa ilmu dan kepakaran yang diterima harus digunakan bagi membaiki kepincangan manusia yang melencong dari jalan yang lurus.

Pendeta Za’ba dalam bukunya ‘Perangai Bergantung Kepada Diri Sendiri’ menyatakan bahawa nasib orang Melayu Melayu bergantung kepada persepsinya terhadap diri dan persekitarannya. Worldview atau pandangan hidup orang Melayu harus diubah dan cendekiawan Muslim adalah pemangkin perubahan tersebut. Mampukah intelek Muslim mengubah apa yang ada dalam diri mereka untuk mengubah masyarakat?

Integriti Melonjak Kualiti Hidup

Oleh: A. Amri

Cabaran keempat yang terkandung di dalam Wawasan 2020 ialah membentuk sebuah masyarakat yang kukuh ciri-ciri moral dan etikanya, dengan para warganya mempunyai nilai keagamaan dan kerohanian yang utuh, dan diitunjangi oleh budi pekerti yang luhur.” Selain iman dan taqwa yang tinggi, integriti merupakan rencah utama dalam mewujudkan masyarakat idealistik seperti yang terkandung dalam cabaran tersebut.

Menurut Brian Tracy dalam bukunya ‘Principles of Success’, integriti adalah kualiti yang memegang nilai dan menyebabkan anda hidup konsisten dengan nilai tersebut. Menurut beliau, hanya mereka yang hidup secara konsisten bersama nilai dan visinya, akan hidup dalam integriti. Apabila anda hidup dalam integriti, anda akan dapati bahawa ‘standard’ anda akan meningkat.

Bagaimana anda hendak mengukur integriti diri anda? Jawapan kepada persoalan ini terungkap dengan melihat perkara-perkara yang anda lakukan dalam kehidupan seharian anda. Contohnya, anda boleh ketahui paras integriti anda melalui mutu kerja anda. Apabila mutu kerja anda tinggi bermakna integriti diri anda juga tinggi.

Apabila anda hadir kerja lebih awal atau kerja lebih masa secara ikhlas, anda sebenarnya telah menzahirkan integriti dalam kerja anda. Sedar atau tidak, paras integriti anda pada pandangan mata orang di sekeliling anda meningkat. Adakah anda rasa anda memiliki paras integriti yang tinggi?

Sesetangah ahli psikologi berpendapat secara umumnya, teras personaliti seseorang banyak bergantung kepada nilai diri yang dipegang. Oleh itu, apa yang anda yakini menjadi sebahagian karakter dan personaliti anda. Tanya pada diri anda: Apakah nilai-nilai yang paling penting dalam hidup anda? Adakah anda sanggup berkorban, menderita atau mati demi nilai-nilai tersebut? Setelah anda tentukan nilai-nilai tersebut, senaraikan ia mengikut keutamaan.

Jawapan anda akan mendefinisikan diri anda.

Integriti dan Kepercayaan

Aset anda yang paling berharga juga adalah bagaimana anda dikenali oleh orang lain. Misalnya, pelanggan meletakkan kejujuran sebagai faktor utama dalam urusan perniagaan. Maka, apabila anda adalah seorang yang jujur di mata pelanggan, anda akan menjadi pilihan mereka. Ini kerana kepercayaan adalah berdasarkan integriti.

Kajian di Universiti Harvard mendapati bahawa aset yang paling berharga dipunyai oleh sesebuah syarikat adalah bagaimana reputasinya di mata pelanggan mereka. Individu dan syarikat yang paling berjaya di Amerika adalah mereka yang mempunyai reputasi berintegriti tinggi.

Membangun Integriti Anda

Langkah untuk membangunkan integriti anda adalah dengan mengkaji mereka yang mempunyai karakter yang hebat dan melaluinya berupaya mengubah dunia. Pilih seseorang yang anda sanjungi dari aspek keberanian, kejujuran, kebijaksanaan atau kerohanian. Bayangkan mereka sebagai penasihat peribadi anda. Tanya diri anda apa yang akan dilakukan jika tokoh tersebut berada dalam sitiuasi anda?

Selain itu, anda juga perlu merancang pendekatan anda berdasarkan psikologi manusia. Sesetengah ahli psikologi percaya bahawa kita bertindak mengikut apa yang kita mahu rasa. Manusia boleh membentuk tabiatnya apabila sesuatu tingkah laku diulang-ulangi, walaupun pada mulanya hanya secara paksaan. Kaedah yang sama juga dicadangkan oleh Imam Al-Ghazali dalam bukunya Ihya Ulumuddin, merujuk kepada kaedah membiasakan diri berzikir.

Jika anda bertingkah laku seperti seorang yang berintegriti, lama- kelamaan anda akan mewujudkan dalam mental anda suatu struktur yang mendorong tabiat tersebut. Anda akan membentuk imej diri yang selari dengan aspirasi anda.

Ahli psikologi telah kenalpasti bahawa kebanyakan stress dan sifat negatif datang dari gaya hidup yang tidak selari dengan nilai hidup. Apabila anda bertekad untuk menjadi individu yang berintegriti, tindakan pertama yang anda perlu lakukan adalah berdepan dengan orang yang nilai hidupnya bertentangan dengan nilai hidup anda.

Namun, untuk berkata jujur dengan orang lain, anda perlu jujur dengan diri anda dahulu. Sentiasa berpegang pada janji anda. Jadilah seseorang yang dikenali sebagai orang yang boleh dipercayai walau apa pun keadaan. Apabila anda telah meningkatkan kualiti dan kekuatan karakter anda, setiap sudut kehidupan anda yang lain pasti akan bertambah baik.

Matlamat Hidup

j0321179.jpg

Oleh: A. Amri

Kebanyakan orang tidak mengetahui apa yang diingininya dalam hidup. Mereka tiada satu matlamat yang dituju dalam hidup. Sesetengah yang lain pula mempunyai matlamat tetapi kabur. Matlamat amat penting bagi mereka yang inginkan kejayaan. Ia mentakrifkan dengan jelas apa yang mahu dicapai dalam jangka masa yang spesifik.

Matlamat hidup umpama tiang gol di dalam sebuah permainan bola sepak. Tanpanya, anda tidak fokus dan bermain tanpa tujuan. Anda akan hanya menghabiskan masa sembilan puluh minit berlari-lari di dalam padang. Begitulah juga dengan manusia. Manusia yang tidak tahu matlamat hidupnya umpama menghabiskan masa hayatnya di dunia tanpa tujuan.

Menurut Maxwwell Maltz, di dalam tubuh manusia terdapat satu sistem atau mekanisma dalaman yang berfungsi memandu kita mencapai matlamat yang telah ditetapkan. Untuk mekanisma tersebut berfungsi, ia perlu kepada satu sasaran untuk ia capai. Oleh itu, kita perlu menetapkan satu matlamat spesifik yang boleh dicapai.

Tanpa matlamat hidup yang berkesan, mungkin anda tidak akan mencapai matlamat yang ditetapkan. Apabila anda tidak melihat kepentingan menetapkan matlamat, anda hilang semangat untuk berusaha mencapainya. Keyakinan diri juga diperlukan bagi memastikan anda terus bersemangat.

Musuh anda yang paling besar apabila anda mahu mencapai matlamat adalah perasaan takut mencuba. Ia akan menguburkan potensi dan bakat yang anda miliki. Anda harus menerima kenyataan bahawa hidup ini penuh dengan halangan dan orang yan g berjaya adalah mereka yang berdepan dengan halangan-halangan hidup.

Apa yang dikatakan matlamat hidup yang berkesan? Satu matlamat yang berkesan boleh dikenalpasti dengan menggunakan akronim ‘SMART’.

‘S’ - Spesifik. Matlamat yang spesifik ada kayu ukur yang boleh diukur. Contohnya, “Saya akan mendapat 8A dalam PMR pada tahun 2008”. Bilangan A boleh diukur dan ditentukan pencapaiannya.

‘M’ – Measurable (boleh diukur).

‘A’ - Attainable (boleh dicapai).

‘R’ - Realistik. Pastikan matlamat yang anda tetapkan bertepatan dengan keupayaan dan kemahiran anda. Ini kerana kegagalan mencapai matlamat yang tidak realistik akan hanya menyebabkan anda berasa hamapa dengan diri sendiri. Namun, matlamat mestilah mencabar kerana kajian telah menunjukkan bahawa matlamat yang mencabar akan menghasilkan prestasi yang lebih tinggi.

‘T’ - Time-bounded (punyai batasan waktu). Apabila sesuatu matlamat tiada batasan waktu, ia akan hanya melengahkan anda daripada mencapainya. Penetapan suatu jangka waktu akan menjadi motivasi kepada anda untuk mencapainya dalam jangka waktu yang ditetapkan.

Panduan Mencapai Matlamat

  1. Tetapkan matlamat-matlamat utama anda berasaskan misi peribadi anda. Tuliskan matlamat tersebut di atas kertas. Tampalkan atau letakkan di tempat yang anda mudah lihat.

  1. Pecahkan matlamat-matlamat anda kepada matlamat jangka panjang(lima tahun atau lebih), matlamat-matlamat jangka sederhana (antara 1-5 tahun) dan matlamat-matlamat jangka pendek(kurang daripada setahun).
  2. Susun matlamat-matlamat anda mengikut keutamaan. Tanyalah diri anda, “Matlamat manakah paling genting untuk membantu saya mencapai tujuan saya yang utama?”. Tumpukan usaha anda untuk mencapai matlamat yang lebih penting dahulu.
  3. Sediakan pelan-pelan tindakan untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Kata orang bijaksana, “Orang yang gagal merancang, merancang untuk gagal.”
  4. Hidupkan keinginan yang berkobar-kobar untuk mencapai matlamat-matlamat anda. Bayangkan matlamat-matlamat itu sebagai sudah tercapai dari semasa ke semasa. Fikirkan selalu tentang manfaat atau kepuasan yang anda akan nikmati hasil daripada pencapaian matlamat-matlamat anda.
  5. Semak semula kemajuan ke arah pencapaian matlamat-matlamat anda dari semasa ke semasa. Buat pembaikan di mana perlu agar anda terus konsisten mencapai matlamat yang telah anda tetapkan.