Seminar Khas dan Masa Depan PAS

Oleh: Felo Penyelidik UniProf.

Tanggal 7 November 2009, satu lagi sejarah politik tercatat apabila Parti Islam Se-Malaysia (PAS) menjalankan Seminar Khas bagi membuka ruang mengkritik terhadap pimpinan parti itu kepada umum. Dikatakan hampir 1500 orang hadir, kebanyakannya ahli dan pimpinan PAS dari seluruh negara.

Sebagai penganalisis politik, saya turut tidak melepaskan peluang berkunjung ke Taman Melewar untuk menyaksikan gelagat ahli PAS yang begitu bersemangat menghadiri seminar yang mengantikan mesyuarat agong khas sebagaimana yang dicadangkan pada peringkat awal oleh Mursyidul Amnya. Wartawan dari pelbagai media kelihatan mundar-mandir menunggu kesudahan seminar tersebut. “Entah apalah yang bakal tersiar dalam berita malam ini”, terdetik di hati saya. Oleh kerana saya bukan ahli PAS, saya terpaksa mendengar hujahan 2 orang tokoh akademik yang dijemput khas (Prof. Dr. Aziz Bari dan Prof. Madya Dr. Abu Hassan) dari luar dewan sahaja.

Saya sempat mengikuti seminar tersebut sehingga tengah hari sahaja kerana ada temujanji lain yang harus saya penuhi. Walaubagaimanapun 3 jam sudah cukup bagi saya untuk membuat beberapa kesimpulan. Pertama, sebilangan besar ahli PAS masih tidak dapat menerima kritikan, terutamanya terhadap kepimpinan parti. Hal ini bukan sahaja menjadi satu virus dalam kalangan golongan 40-an ke atas, malah dalam kalangan pemuda juga sudah ada yang berfikiran sebegitu. Amat sedih apabila melihat pemuda-pemuda PAS mempersoalkan satu kajian yang valid dengan alasan-alasan picisan seperti sampel yang sedikit dan sebagainya.

abu hassaanKedua, ahli PAS masih tidak sependapat tentang masalah kepimpinan parti terutamanya setelah pembentangan data kajian oleh salah seorang ahli panel, Prof. Madya Dr. Abu Hassan Abdullah yang menyatakan bahawa tuan Presiden telah gagal memimpin PAS dengan baik selepas PRU ke-12. Walaupun tidak dapat dinafikan di bawah kepimpinan beliau, PAS dan PR telah berjaya di dalam 8 pilihanraya kecil termasuk merampas Kuala Terengganu dari UMNO, kemunculan ‘Unity Goverment’ atau UG benar-benar mengubah persepsi pengundi. Ini dimenifestasikan di Bagan Pinang.

Ketiga, PAS perlukan suatu ‘rebranding’ dari segi imej. Menurut kajian Dr. Abu Hassan, PAS mempunyai persepsi yang baik dari segi struktur organisasi namun kepimpinan PAS mempunyai persepsi yang amat negatif dan menyumbang kepada 50% masalah yang dihadapinya sekarang. Mungkin zaman ‘Kepimpinan Ulama’ sudah harus difikirkan kembali selari dengan perubahan zaman. Jika abad ke-21 adalah abad persepsi, maka PAS tidak boleh lagi berpegang kepada imej ’hanya ulama layak memimpin’.

Tinjauan mendapati bahawa watak seperti Anwar Ibrahim dan Ir. Nizar Jamaluddin mampu menjadi faktor-x dalam sebuah masyarakat majmuk seperti Malaysia. Maka, PAS perlu mengkaji dua tokoh ini dan melahirkan lebih ramai klon seperti mereka. Mungkin motto yang lebih ideal buat PAS pada masa ini adalah ’Professional Bertaqwa’ atau ‘Ulama Professional’.

Keempat, sikap pimpinan dan ahli PAS yang tidak tahu membezakan antara isu yang dibincangkan dengan individu yang membincangkannya. Sebagai contohnya, isu yang diutarakan oleh ahli panel adalah persepsi masyarakat tentang PAS dan kebarangkalian punca-punca keyakinan pengundi terhadap parti itu merudum dengan teruknya. Namun, apa yang banyak dibahaskan oleh mereka adalah kesahihan data ahli panel, adab menegur pemimpin PAS oleh ahli panel, kenyataan media ahli panel dan sebagainya. Akibatnya seorang Professor dan pakar rujuk PAS yang telah banyak menyumbang idea kepada PAS terpaksa mempertahankan diri dan bertekad untuk menjauhkan diri dari PAS!aziz-bari2

Kelima, kebanyakan ahli PAS masih dalam ‘self-denial’, iaitu tidak mahu menerima kenyataan terhadap kelemahan diri. Jika melihat kepada statistik PRU ke-12, ramai yang tidak sedar bahawa PAS yeng mempunyai jentera terkuat dalam PR tetapi mempunyai jumlah kerusi terendah di dalam Parlimen dan di peringkat negeri (tak termasuk Pantai Timur) kebanyakan kerusi yang ditandingi di kawasan majoriti Melayu tidak berjaya dimenangi. Ini bermakna kejayaan PAS banyak bergantung kepada undi Cina dan India. Awas pengundi Cina tidak pernah setia kepada satu-satu parti. Fikirkanlah bagaimana DAP dan PKR yang mempunyai jauh lebih sedikit cawangan tetapi menang besar di jaluran Pantai Barat.

Sebagai penyudah tulisan saya kali ini, PAS perlu berubah atau bersedialah menerima perubahan dari tangan pengundi.

Tinjauan Ke Bukit Gantang

Oleh: A. Amri

Beribu kemaafan harus kami sampaikan kepada pengunjung-pengunjung blog UniProf kerana sepanjang Mac 2009, kami tidak dapat menukilkan apa-apa catatan di dalam blog kami kerana kami terlalu sibuk melakukan tinjauan dan kajian di Parlimen Bukit Gantang sempena Pilihanraya Kecil P059.

penamaan-calon-bukit-gantang

Dalam tempohlebih  sepuluh hari kami berkampung di sana, beberapa kesimpulan telah kami buat terhadap lanskap politik di negeri Perak Darul Ridzuan khususnya dan Malaysia amnya. Pertama, dengan mengambil pengundi Bukit Gantang sebagai sampel, secara tidak langsung ia mencerminkan kehendak rakyat dalam politik, iaitu PERUBAHAN. Perubahan yang kami maksudkan adalah perubahan dari segi kepimpinan. Rata-rata rakyat mahukan seorang pemimpin yang melangkaui batas-batas perkauman, amanah dan berintegriti.

perubahan-di-bukitgantang

Kedua, rakyat telah menyampaikan mesej jelas bahawa rakyat mempunyai kuasa untuk melakukan perubahan melalui peti undi dan rakyat tidak takut untuk melakukannya jika kepimpinan tidak peka dengan kehendak rakyat. Masyarakat Cina di Kuala Sepetang misalnya memberi blok undi yang jitu kepada Dato’ Seri Nizar kerana tidak berpuas hati dengan Kerajaan Perak BN yang baru.

cina-pun-sokong

Ketiga, rakyat menolak politik wang yang sinonim dengan UMNO. Bahkan Perhimpunan Agong UMNO yang selesai sebaik sahaja kempen pilihanraya kecil bermula dilihat oleh rakyat sebagai medan menyuburkan politik wang, terutamanya apabila Ketua Pemuda yang baru, Khairy Jamaluddin dikatakan kononnya menabur jutaan ringgit untuk memenangi jawatan tersebut. Ini adalah suatu petanda bahawa rakyat kini benar-benar muak dengan gejala rasuah.

kjumno

Keempat, sokongan golongan belia banyak berpihak kepada Pakatan Rakyat. Ini terbukti apabila saluran pengundi yang paling banyak memberi undi kepada Dato’ Seri Nizar adalah daripada saluran di bawah umur 40-an. Secara tidak langsung, ini adalah petunjuk kepada BN bahawa mereka perlu melakukan reformasi dalam pendekatan terhadap pembangunan belia. Jika tidak, dikhuatiri Pilihanraya Umum Ke-13 kelak, BN boleh terkubur.

Kepada Dato’ Seri Nizar yang memenangi kerusi Parlimen tersebut, kami berharap beliau akan memikul beban amanah ini dengan penuh rasa tanggungjawab. Ingatlah bahawa rakyat memerhatikan anda dan rakyat tidak takut untuk menggunakan kuasa undi jika anda tidak membawa aspirasi rakyat.