Karisma Seorang Pemimpin

Oleh: A. Amri

Adakah anda seorang Ketua Jabatan? Ketua Bahagian? Ketua Unit? Sebaik sahaja anda berada di posisi seorang ketua, anda sebenarnya dinilai oleh orang lain. Penilai mungkin terdiri dari rakan anda atau pesaing anda. Anda mahu orang lain melihat anda sebagai pemimpin yang bagaimana?

Seorang pemimpin yang hebat mempunyai karisma. Karisma mampu memberi kesan kepada organisasi. Seorang pemimpin yang berkarisma membezakannya antara pemimpin yang hebat dengan pemimpin yang biasa. Bak kata orang, “satu dalam seribu.”

Anda mempunyai pilihan sama ada untuk menjadi seorang pemimpin yang hebat atau tidak. Karisma tidak hadir semata-mata melalui bakat semulajadi. Malah ia boleh diasah dan dipelajari. Berikut adalah ciri-ciri pemimpin berkarisma. Adakah anda tergolong sebagai seorang yang berkarisma?

Saya senaraikan di sini sembilan ciri pemimpin yang berkarisma:

1. Tajam pemikiran.

Pemimpin yang berkarisma dapat membaca masa hadapan berdasarkan pemahamannya terhadap suasana semasa. Dia mampu memahami isu-isu semasa dengan baik dan membuat persiapan terhadap sebarang kemungkinan. Pujangga Islam ada menyebut, “Orang yang tajam pemikirannya memahami perkara sebelum ia berlaku dan orang awam memahami perkara setelah ia berlaku”.

2. Pandangan helang.

Pemimpin yang berkarisma mempunyai kuasa maklumat di hujung jari-jemarinya. Ia adalah seorang pendengar yang baik dan mampu mengenalpasti punca masalah dengan cepat. Biasanya dia boleh menganalisis persekitaran dan menyesuaikan tindakannya dengan persekitaran tersebut umpama seekor helang yang melihat ke bawah dari langit yang tinggi.

3. Kreatif dan inovatif

Kreatif bermaksud mencetus sesuatu idea yang baru, manakala inovatif bermaksud melaksanakan pembaharuan kepada sesuatu yang sedia ada. Pemimpin yang kreatif adalah pemimpin yang memimpin dan bukan dipimpin. Ia mendahului dan mempunyai wawasan. Pemimpin sebegini biasanya diikuti kerana dia berjaya mengukir imej dan persepsi yang jelas dalam minda pengikutnya tentang matlamat yang hendak diperjuangkan.

4. Berani mengambil risiko.

Peluang sentiasa muncul di depan mata. Tetapi tidak semua yang berupaya membezakan antara peluang dan ancaman. Pemimpin yang biasa hanya melihat ancaman dalam sesuatu krisis. Namun pemimpin yang hebat dapat melihat peluang dalam sesuatu krisis. Sifat bijak mengeksploitasi peluang untuk mendapatkan hasil yang maksimum dan berani berhadapan risikonya adalah ciri-ciri seorang pemimpin berkarisma.

5. Tahu keutamaan.

Berfikir secara sistematik amat penting apabila seseorang berhadapan dengan pilihan sedangkan ia perlu dilakukan dengan pantas dan tepat. Pemimpin yang berkarisma tidak mudah melatah. Dia tahu mendahulukan apa yang utama. Di samping itu dia tidak mengenepikan hal yang remeh.

6. Keperibadian yang tinggi.

Keperibadian atau akhlak yang tinggi adalah tunjang kepercayaan orang lain kepada kita. Antara sifat-sifat keperibadian yang tinggi adalah sabar, tegas, berani dan bertimbang rasa. Pemimpin yang memiliki keperibadian yang tinggi dilihat sebagai pemimpin yang berkarisma. Kata Imam Al-Ghazali, “tongkat yang bengkok tidak mungkin menghasilkan bayang-bayang yang lurus.”

7. Kemahiran berinteraksi

Kebanyakan pemimpin yang hebat adalah orang yang bijak berkomunikasi. Kehadiran mereka sentiasa menjadi tumpuan ramai. Pemimpin yang hebat bukan sahaja bijak berinteraksi secara lisan, malah bahasa badan mereka juga menonjolkan karisma pada diri mereka.

8. Keimanan yang teguh

Karisma juga dapat dilihat pada wajah orang yang dekat dengan Allah. Mereka dikatakan mempunyai ‘nur’ atau cahaya pada wajahnya. Keimanan yang teguh di dalam hati mereka terpancar pada rupa fizikal mereka. Kebiasaannya mereka kelihatan tenang dan meyakinkan.

9. Melebarkan kepimpinan

Sifat ini termasuk dalam kebijaksanaan seorang pemimpin, iaitu mengatur pengganti-penggantinya. Jika dia seorang yang berpengetahuan, dia berkongsi dengan pengikutnya. Jika dia mempunyai kemahiran, dia menurunkan kepada anak buahnya. Dalam kata lain, dia menyediakan barisan pelapis yang sama hebat atau lebih hebat daripadanya. Dengan yang demikian, sesebuah organisasi tidak hanya bergantung pada seseorang dan akan bertambah cemerlang selangkah dengan peredaran masa.


2 thoughts on “Karisma Seorang Pemimpin

  1. adakah betul jika seotang ketua kalau dengar aduan daripada anak buah dan tanpa usuk periksa dan pemerhataian lanjut terus membuat tindakan dan menjatuhkan hukuman keatas orang yang diadu itu. adakah cara untuk menegur seorang ketua yang berperangai sedemikian. ada kata2 hikmah boleh ditujukan kepada beliau?

    • Seorang ketua, apabila mendapat aduan tentang salah laku sub-ordinat di bawahnya perlulah menyiasat terlebih dahulu dari sumber yang boleh dipercayai. Kemudian, beliau juga perlu memanggil sub-ordinat tersebut untuk mendengar penjelasan dan memberi nasihat jika perlu. Seterusnya, setelah nasihat diberi, barulah dikeluarkan surat amaran atau tunjuk sebab jika ia berulang lagi. Akhir sekali, pekerja tersebut harus dirujuk kepada kaunselor untuk tindakan kaunseling.

      Seorang ketua hendaklah boleh menerima teguran. Seorang anak buah tidak seharusnya takut untuk menegur tetapi haruslah bijak menggunakan peluang dan melalui cara berhikmah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s