Gelora Asia Barat – Krisis Yang Tiada Noktahnya (Siri 1)

Oleh: Mohammad Fauzi

Mukadimah

Asia Barat atau kadangkala juga dikenali sebagai wilayah Timur Tengah yang majoritinya negara-negara Arab dan beragama Islam tidak putus-putus dilanda gelora sejak zaman keruntuhan Khilafah Uthmaniyyah pada akhir abad ke-19. Keadaan semakin parah pada zaman pemerintahan Sultan Abdul Hamid. Usaha-usaha baginda untuk menyelamatkan keutuhan empayar dan institusi Khilafah Uthmaniyyah sering menemui kegagalan berikutan usaha negara-negara Barat untuk menghancurkan benteng terakhir umat Islam ini. Sultan Muhammad V yang menggantikan Sultan Abdul Hamid dan penggantinya selepas itu, Sultan Abd Al-Majid juga tidak dapat berbuat apa-apa untuk menyelamatkan institusi Khilafah Uthmaniyyah. Akhirnya empayar tersebut musnah secara rasminya pada 13 Mac 1924.

Ketika itu, Asia Barat bergelora dengan tuntutan ‘kemerdekaan’ oleh pemimpin wilayah-wilayah Arab yang telah ‘dibantu’ oleh kuasa-kuasa Barat. Malah terdapat wilayah-wilayah Arab yang dijajah secara langsung oleh kuasa Barat seperti British dan Perancis. Negara-negara Barat ini telah merampas wilayah tersebut dari tangan Empayar Turki Uthmaniyyah yang digelar oleh Barat pada waktu itu sebagai ‘Orang Sakit Eropah’. Slogan Pan-Arabisme dilaungkan di seluruh dunia Arab ketika itu dan sekaligus mematikan kesedaran umat Islam untuk bersatu dibawah satu Negara. Sistem khilafah turut lenyap bersamanya. Fahaman nasionalis mekar dan semakin kuat berakar umbi, walaupun pergerakan Islam yang ditubuhkan untuk memberi kesedaran kepada umat Islam khasnya dan dunia Arab amnya bangun dan gugur silih berganti.

Pembentukan wilayah-wilayah Arab menjadi negara-negara Arab seperti Iraq, Arab Saudi, Kuwait, Bahrain, Yaman, Jordan, Syria dan lain-lain tidak menamatkan penderitaan umat Islam Arab. Pembentukan negara haram Israel di atas tanah Arab Palestin pada 15 Mei 1948 akibat dari tipu helah British dan kelicikan pertubuhan haram Zionis antarabangsa, merupakan ‘Nakbah’ atau ‘bencana’ yang membawa lebih penderitaan bukan sahaja kepada umat Arab tetapi ia juga menghiris hati umat Islam di seluruh dunia sehingga ke hari ini. (Maszlee Malik – 40 Tahun Naksah).

Negara haram Israel bukan sahaja dibentuk di atas wilayah dan tanah orang Arab yang membentuk Ha’aretz Israel pada tahun 1948, malah bermula pada tahun 1967, kekalahan demi kekalahan yang dihadapi oleh dunia Arab dalam siri peperangan Arab-Israel yang bermula pada 5 hingga 11 Jun 1967 menambahkan keluasan bumi haram Israel sehingga kini. Tebing Barat dirampas dari Jordan, Semenanjung Gaza dan Semenanjung Sinai dari Mesir dan Bukit Golan dari Syria telah menjadi tanah jajahan Israel.

Tambah memeritkan apabila Baitul Maqdis, kiblat pertama umat Islam dan kota suci yang ketiga umat Islam jatuh ke tangan Israel dan umat Islam Arab menamakannya sebagai ‘Naksah 1967’ yang membawa maksud ‘kekalahan’ (Maszlee Malik – 40 Tahun Naksah).

Dengan tamatnya Perang Yom-Kippur atau dikenali sebagai Perang Ramadan yang berlaku pada 6 Oktober (Hari Yom Kippur) sehinga 22 Oktober 1973 dan termeterainya perjanjian Kem David pada tahun 1978, Semenanjung Sinai akhirnya dipulangkan semula kepada Mesir dengan imbalan terjalinnya hubungan diplomatik secara rasmi di antara Mesir-Israel. Peristiwa ini membawa kepada pembunuhan Presiden Anwar Sadat pada 1981 dan pemulauan ke atas Mesir oleh negara-negara Arab ketika itu. Wilayah-wilayah rampasan yang lain masih kekal ditangan Israel sehingga ke hari ini.

Perang saudara di Lubnan yang bermula pada 13 April 1975 turut meninggalkan parut yang dalam dan masih meninggalkan kesan sehingga ke hari ini. Perang saudara yang turut dicatur bersama oleh Amerika Syarikat, Perancis dan Israel berjaya memporak-perandakan politik Lubnan dan berjaya menjadikan kawasan selatan Lubnan sebagai zon penampan untuk menghalang sebarang serangan oleh pejuang Palestin, Islam Sunnah dan rangkaian pejuang Islam Syiah yang dipimpin oleh Hezbollah dan AMAL ke atas wilayah Israel.

Perang saudara yang melibatkan pelbagai pihak seperti Hezbollah & AMAL di satu pihak, puak Kristian Maronite dan Druze di satu pihak yang lain dan turut melibatkan SLA yang disokong Israel dan kumpulan Islam Sunnah & pejuang-pejuang Palestin. Pada Jun 1976, Presiden Lubnan ketika itu, Suleiman Franjieh telah memohon bantuan Syria untuk campur tangan. Syria atas permintaan kerajaan Lubnan telah bertindak menghantar tenteranya bagi membantu menstabilkan keseimbangan dalam perang saudara Lubnan di samping mengekang pengaruh Israel melalui proksinya. Perang tersebut berakhir pada awal 1990 hasil inisiatif rundingan oleh Liga Arab yang diketuai oleh Kuwait dan di anggotai oleh Arab Saudi, Algeria & Maghribi.

Dalam perang saudara di Lubnan, dengan penuh licik dan tipu daya, Israel telah memberikan bantuan langsung berupa wang, latihan dan peralatan senjata kepada South Lebanon Army (SLA) yang diketuai oleh Major Jeneral Saad Haddad. South Lebanon Army (SLA) majoritinya dianggotai oleh golongan Kristian Phalangist dan amat aktif beroperasi membantu Israel mengawal kawasan penampan di selatan Lubnan yang ditawan dan diduduki oleh Israel. South Lebanon Army ini turut bertanggungjawab dalam peristiwa berdarah Shabra & Shatilla di Beirut dengan penglibatan kira-kira lebih 1 000 orang tentera SLA yang diketuai oleh Komander Elie Hobeika. Mereka bertindak membunuh hampir 4 000 pelarian Palestin yang tidak bersenjata tanpa mengira usia dan jantina.

Kawasan selatan Lubnan akhirnya berjaya dibebaskan dari cengkaman Israel secara rasminya pada Mei 2000 oleh Hezbollah yang dipimpin oleh Sayyid Hassan Nasrallah dan ulama-ulama Islam Syiah yang lain setelah dijajah oleh negara haram Israel selama lebih dari 22 tahun.

Rantau Asia Barat tidak akan aman selagi bumi Palestin tidak dibebaskan, negara haram Israel tidak dibubarkan dan penduduk Yahudi tidak pulang semula ke Eropah atau mana-mana pelusuk dunia yang merupakan penempatan mereka sebelum ini. Isu penjajahan ke atas wilayah Arab Palestin dan Baitul Maqdis ini bukannya isu untuk umat Palestin sahaja, tetapi ia merupakan isu dan maruah umat Islam secara keseluruhannya. Selagi negara haram Israel berdiri tegak, pasti akan ada pemimpin dan pejuang-pejuang Islam di merata dunia yang bertekad untuk menghalau Israel keluar dari bumi Arab Palestin.

Sejarah telah menunjukkan sejak kebangkitan Islam sehinggalah ke hari ini, pejuang-pejuang Islam tidak putus-putus dan zaman ke zaman dan di pelbagai pelusuk dunia bangun dengan pelbagai cara bagi membela agama dan maruah agama Islam yang suci ini. Ikutilah bahagian seterusnya artikel “Gelora Asia Barat – Krisis Yang Tiada Noktahnya”.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s