Gelora Asia Barat – Krisis Yang Tiada Noktahnya (Siri 2)

Oleh: M. Fauzi

Nasib Negara-Negara Islam Yang Dilihat Sebagai Ancaman Kepada Amerika Syarikat & Israel

Negara-negara Islam yang lantang ataupun dilihat sebagai berpotensi untuk menjadi ancaman kepada Amerika Syarikat dan sekutu kesayangannya Israel akan ditundukkan secara halus mahupun secara kasar. Negara-negara Arab seperti Mesir, Jordan, Arab Saudi dan lain-lain negara yang terlibat dalam Perang Arab-Israel 1967 berjaya dijinakkan dengan pujukan mahupun percaturan politik dalaman. Akhirnya kerajaan-kerajaan tersebut berjaya dikuasai secara sistematik dan terancang. Namun begitu masih terdapat beberapa negara Islam yang dikuasai pemimpin yang secara jelas menentang hagemoni Israel dan mengancam kepentingan Amerika Syarikat di Timur Tengah dan wilayah Islam yang lain.

Negara-negara ini amat tegas mempertahankan prinsip dan dokongan terhadap usaha mempertahankan maruah Islam. Pada mata Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya terutama Israel, negara-negara ini merupakan ancaman kepada cita-cita Zionis mereka dan harus dihapuskan atau setidak-tidaknya dilemahkan. Pelbagai tindakan dengan aneka alasan yang direka mahupun yang perbesar-besarkan dihalalkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang dikuasai Amerika Syarikat.

Libya – Singa Islam Di Afrika Utara

Libya umpamanya ditekan dan dipulaukan bertahun-tahun lamanya dengan alasan yang sangat remeh – dituduh melindungi dua orang rakyatnya yang didakwa terlibat memasang bahan letupan dalam kapal terbang Pan Am, Penerbangan 103 yang terhempas di Lockerbie, Scotland pada tahun 1990. Sekatan antarabangsa oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu telah ditarik balik pada tahun 1999 berikutan kesediaan Presiden Muammar Gaddafi menyerahkan dua rakyatnya untuk dibicarakan di Belanda mengikut undang-undang Scotland. Namun begitu, Amerika Syarikat masih meneruskan tindakan kejinya mengenakan sekatan ke atas Libya dengan pelbagai alasan yang tidak munasabah.

Malah lebih memeritkan Libya apabila Amerika Syarikat sebelum itu dengan terang-terangan melancarkan pelbagai operasi pengeboman seperti yang berlaku dalam Krisis Teluk Sidra dengan serangan ke atas kapal-kapal peronda milik Libya pada Januari – Mac 1986. Kemuncak provokasi Amerika Syarikat ini adalah siri pengeboman ke atas Tripoli dan Benghazi dengan hanya satu sasaran – ingin mensyahidkan pemimpin ulung Libya – Leftenan Kolonel Muammar Gadaffi. Pengeboman ini dilaksanakan melalui Operasi El Dorado Canyon yang membunuh 45 orang pegawai dan tentera Libya serta mengorbankan 15 orang awam, termasuk anak perempuan Presiden Muammar Gaddafi, Hannah. Libya bertindakbalas dengan melancarkan dua peluru berpandu Scud ke atas pangkalan Tentera Amerika Syarikat di Pulau Lampedusa, Itali tetapi didakwa oleh Amerika Syarikat tidak mengenai sasaran dan tersasar ke laut.

Leftenan Kolonel Muammar Gadaffi sendiri tidak pernah tinggal dengan tetap di satu-satu tempat. Beliau selesa dengan cara hidup Arab Badwi, tinggal di khemah dan berpindah-randah dari satu tempat ke tempat lain. Itu adalah cara paling selamat untuk melindungi nyawa pemimpin Libya ini.

Dasar luar Libya kini lebih kendur dari segi kecaman terhadap Barat. Ia amat ketara setelah kerajaan Parti Ba’ath Iraq pimpinan Presiden Saddam Hussien digulingkan dengan cara keji oleh Amerika Syarikat dan sekutunya pada perang Teluk Kedua. Malah demi menyelamatkan masa depan negara dan rakyatnya, Libya telah mengisytiharkan mempunyai sejumlah senjata pemusnah secara besar-besaran dan bersedia membuka pintu untuk sebarang pemeriksaan dan kesediaan untuk melupuskannya.

Namun begitu, disebalik dasar luar anti Amerika Syarikat yang kendur, Libya masih berusaha meluaskan pengaruhnya untuk menjadi salah satu kuasa regional yang berpengaruh dikalangan pemimpin Afrika terutamanya Afrika Utara.

Pakistan Benteng Islam Yang Kian Retak

Wilayah Pakistan sekarang adalah salah satu wilayah hadapan benua kecil India yang mula-mula dibuka oleh Muhammad Bin Al Qasim, menantu kepada Al Hajjaj Bin Yusuf Al Thaqafi, panglima perang Islam di zaman Dinasti Muawiyah pada 712M.

Dengan pembentukan negara Pakistan oleh Mohamad Ali Jinnah pada 14 Ogos 1947, Pakistan secara beransur-ansur membangun dan memajukan bidang ketenteraannya sebagai langkah untuk menjamin kesinambungan negara ini. Pertentangan dengan musuh tradisinya iaitu India bukan sahaja melibatkan soal sempadan dan isu wilayah seperti isu Kashmir, malah ia turut membabitkan motif agama. Pertentangan dengan India telah membawa kepada peperangan sempadan dengan India beberapa kali dan kali terakhir berlaku selama 55 hari antara Mei – Julai 1999 yang lebih dikenali sebagai Perang Kargil.

Sumbangan Pakistan dalam membantu mempertahankan kesucian Islam tidak dapat disangkal walaupun ia jarang diketengahkan. Juruterbang-juruterbang Pakistan terlibat menerbangkan pesawat Arab Saudi pada Perang Arab-Israel pada tahun 1967. Malah hingga sekarang juruterbang-juruterbang Pakistan masih lagi memberikan khidmat untuk menerbangkan pesawat-pesawat pejuang Tentera Udara Di Raja Arab Saudi.

Dalam perang Afghanistan, Pakistan telah bertindak sebagai pintu masuk bagi pejuang-pejuang Mujahidin dari serata dunia yang berjuang membantu umat Islam Afghanistan menentang tentera Soviet Union dan kerajaan bonekanya di Kabul. Bantuan yang dihulurkan untuk membantu perjuangan Mujahidin di Aghanistan bukan setakat bertindak sebagai laluan pintu masuk melalui Peshawar, tetapi bantuan kewangan, peralatan senjata dan latihan turut diberikan kepada para pejuang yang mencari perlindungan dan membentuk kem-kem latihan dan madrasah agama di Peshawar dan kawasan sekitarnya.

Dalam perang Balkan, Pakistan bersama Iran telah menghulurkan bantuan kewangan dan peralatan senjata buatan Pakistan kepada pejuang Bosnia. Bantuan yang sangat diperlukan oleh pejuang Islam Bosnia ini, telah memberikan suntikan moral yang membantu pejuang Bosnia merampas semula wilayah mereka yang diduduki oleh pengganas Serbia.

Pakistan adalah salah sebuah negara Islam yang mempunyai industri ketenteraan yang membanggakan. Kebanyakan peralatan ketenteraan dihasilkan sendiri di dalam negara dan mutakhir ini, terdapat beberapa peralatan senjata buatan Pakistan berjaya dipasarkan di Arab Saudi, Albania, Malaysia, Indonesia dan Thailand. Malah Pakistan adalah satu-satunya negara Islam yang mempunyai senjata nuklear dan diterima secara rasmi sebagai anggota kelab kuasa nuklear.

Kemajuan Pakistan dalam bidang industri ketenteraan adalah dengan bantuan nasihat, tenaga pakar dan pemindahan teknologi oleh sekutu rapatnya, China. Kemajuan dan pencapaian Pakistan dalam bidang ketenteraan tidak disenangi oleh Amerika Syarikat dan sekutu-sekutunya.

Amerika Syarikat menyedari bahawa musuh ketat Pakistan iaitu India turut tidak menyenangi apa jua pencapaian yang dikecapi oleh Pakistan dan perlu disaingi. Oleh yang demikian selain dari hubungan diplomatik yang istimewa, pelbagai bantuan telah dihulurkan kepada India bagi mengimbangi kuasa ketenteraan Pakistan.

Walaupun pada satu masa, Pakistan diisytiharkan sebagai sekutu Amerika Syarikat dalam menentang keganasan dan bersekongkol memburu pejuang Al Qaeda dan menekan rakyatnya yang menyokong perjuangan Al Qaeda & Taliban, disebaliknya Pakistan tetap tidak terlepas dari pelbagai ugutan dan tekanan. Malah Pakistan telah beberapa kali dikenakan sekatan bagi perolehan dan penghantaran alatan senjata buatan Amerika Syarikat yang telah dipesan walaupun bayaran bagi perolehan tersebut telah dibuat terlebih dahulu.

Politik Pakistan di huru-harakan oleh tangan-tangan yang tersembunyi sejak kematian Jeneral Zia Ul Haq dalam nahas kapal terbang yang dipercayai disabotaj hinggalah ke zaman Presiden Pervez Musharraf. Dengan alasan kegagalan Presiden Pervez Musharraf mengambil tindakan menghapuskan pejuang Al Qaeda & Taliban yang mencari perlindungan di sempadan Pakistan-Afganistan, Amerika Syarikat mula cuba menggoyangkan dan menggelincirkan Presiden Pervez Musharraf dari takhtanya.

Malah tindakan Presiden Pervez Musharraf yang membuat pendedahan penglibatan dan ugutan Amerika Syarikat ke atas negara dan rakyat Pakistan melalui beberapa artikel tambah menjengkelkan pentadbiran Bush. Malah pentadbiran Bush percaya, dengan menghuru-harakan iklim politik Pakistan dengan pembunuhan Benazir dan banyak lagi insiden politik dalaman, akan mampu memporak-perandakan Pakistan, memecah-belahkan negara tersebut dan dengan sendirinya akan meruntuhkan industri ketenteraan dan pengembangan kuasa nuklear Pakistan. Malah dengan menghuru-harakan politik Pakistan akan merosakkan ekonominya dan seterusnya akan meninggalkan kesan kepada dana bagi penyelidikan dan pengembangan industri ketenteraan Pakistan.

Apa yang berlaku di Pakistan sekarang, tiada siapa yang tahu bilakah noktah penyelesaian akan tercapai. Negara Islam ini masih lagi dalam keadaan huru-hara dan sekiranya tiada langkah konkrit diambil, ada kemungkinan negara ini akan berada dalam keadaan anarki sepenuhnya dan tempoh yang retak ini pasti akan tersungkur dan hilang dalam lipatan sejarah.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s