Gelora Asia Barat Siri 5: Nasib Umat Islam Palestin


Oleh: M. Fauzi

Setelah HAMAS yang dipimpin oleh Ismail Haneyya dan sahabat-sahabatnya memenangi pilihanraya umum Palestin, seluruh dunia Barat yang mendokong sistem demokrasi untuk kesekian kalinya menentang prinsip amalan demokrasi itu sendiri dengan tidak mengiktiraf kemenangan HAMAS. HAMAS telah berjaya memenangi pilihanraya umum Palestin dengan mengalahkan parti FATAH yang merupakan legasi dari PLO yang pernah dipimpin oleh Allahyarham Yasser Arafat. FATAH yang kini dipimpin oleh Mahmoud Abbas mengalami kekalahan yang teruk bukan sahaja di Semenanjung Gaza tetapi turut menerima kekalahan di wilayah Tebing Barat.

Keengganan seluruh dunia Barat dan negara-negara Arab mengiktiraf kemenangan HAMAS menimbulkan ketegangan apabila Mahmoud Abbas mengambil kesempatan atas tekanan seluruh dunia untuk memporak-perandakan serta menimbulkan rasa tidak selesa di kalangan rakyat Palestin. Tambah memeritkan apabila keengganan pengiktirafan kedaulatan HAMAS sebagai kerajaan yang sah turut diiringi dengan sekatan ekonomi dan pembekuan dana, sumbangan dan pinjaman kepada kerajaan Palestin pimpinan HAMAS. Ini mengakibatkan kerajaan Palestin pimpinan HAMAS mengalami kesulitan dari segi kewangan sehingga mereka tidak mampu membayar gaji kakitangan awam kerajaan Palestin termasuk pasukan keselamatan Palestin sendiri. Tambah memburukkan keadaan apabila majoriti dari pasukan keselamatan Palestin adalah terdiri dari anggota militia Fatah.

Kesukaran HAMAS akibat dari kekurangan dana ini menimbulkan masalah besar dalam pentadbiran Ismail Haneyya. Walaupun mengalami kesukaran untuk berhubung dengan dunia luar, delegasi kerajaan Palestin pimpinan HAMAS telah mengusahakan pelbagai pertemuan dengan pemimpin-pemimpin Arab yang bersimpati dengan perjuangan mereka. Dengan bantuan dari pemimpin Arab dan jaringan gerakan Islam di luar Palestin, mereka dapat membawa pulang jutaan Dolar Amerika. Dengan bantuan dan dana kewangan inilah, kerajaan Palestin pimpinan HAMAS bertahan dan dapat beroperasi sepenuhnya untuk beberapa bulan. Namun begitu keadaan ini tidak dapat bertahan lama apabila Presiden Palestin, Mahmoud Abbas seringkali cuba mengeruhkan keadaan dan seringkali mengambil keputusan yang bertentangan dan membelakangi Perdana Menteri Palestin, Ismail Haneyya dan kabinet kerajaan HAMAS. Keadaan ini menimbulkan pertentangan yang berpanjangan antara HAMAS dan FATAH hingga hampir mencetuskan perang saudara. Presiden Mahmoud Abbas bukan sahaja mendapat sokongan dari Amerika Syarikat, negara-negara Kesatuan Eropah, dan Liga Arab tetapi beliau dan segelintir pimpinan Fatah terutama penasihat ketenteraanya, Mohamed Dahalan mempunyai hubungan yang amat mesra dengan rejim negara haram Israel.

Kemuncak dari pertentangan ini menyebabkan HAMAS bertekad menguasai Semenanjung Gaza dengan bantuan pasukan bersenjatanya. Hanya Tebing Barat masih dalam penguasaan Presiden Mahmoud Abbas. Penguasaan HAMAS ke atas Semenanjung Gaza menyebabkan sekatan ekonomi diperketatkan ke atas wilayah berkenaan. Negara haram Israel telah menutup sempadannya dengan Semenanjung Gaza dan memutuskan segala saluran kemudahan asas termasuk eletrik.

Tambah memburukkan lagi keadaan, Presiden Mesir, Hosni Mubarak turut bersekongkol dengan dunia Barat dan negara haram Israel dengan mengenakan sekatan yang tidak kurang hebatnya dengan sekatan oleh negara haram Israel. Mubarak bukan sahaja bertindak menutup pintu sempadan Rafah yang menghubungkan Semenanjung Gaza dengan Semenanjung Sinai malah turut memperketatkan kawalan ke atasnya.

Penutupan pintu-pintu sempadan ini, turut menandakan sekatan ekonomi dan sosial ke atas warga Semenanjung Gaza. Makanan, ubat-ubatan, minyak dan segala keperluan asas disekat dari dibawa masuk ke Semenanjung Gaza. Jika di lihat dari atas peta, Semenanjung Gaza boleh diibaratkan sebagai sebuah penjara besar. Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bukan setakat tidak memperdulikan nasib warga Semenanjung Gaza, malah melihat sekatan ini sebagai langkah membalas dendam atas sokongan warga Semenanjung Gaza kepada HAMAS. Malah Mahmoud Abbas berharap warga Semenanjung Gaza yang tertekan dengan sekatan ini akan melancarkan pemberontakan yang akan menumbangkan kerajaan pimpinan HAMAS dan secara automatik keadaan ini akan menghapuskan saingan politiknya.

Sokongan rakyat Palestin kepada HAMAS dalam pilihanraya umum Palestin nyata menimbulkan kebimbangan kepada Israel. Berbeza dengan PLO dan legasinya FATAH yang bersifat nasionalis dan sekular, HAMAS adalah satu gerakan Islam yang bersepadu dan berpengaruh. Doktrin HAMAS secara keseluruhannya berasaskan kepada acuan gerakan Islam, Ikhwanul Muslimin yang terkenal di seluruh dunia Islam dan HAMAS merupakan salah satu dari cabangnya. Ikhwanul Muslimin ini adalah salah satu dari gerakan Islam yang amat dimusuhi dan digeruni oleh Yahudi dan negara-negara Barat yang mendokong gerakan Zionis.

Tambah menggusarkan negara haram Israel dan pendokong-pendokong Zionis, HAMAS bukan setakat satu gerakan parti politik biasa, tetapi ia merupakan satu gerakan Islam yang bersepadu, tersusun dan sistematik. Pendokong-pendokong HAMAS telah bertapak dalam institusi sosial masyarakat Palestin dengan menubuhkan banyak sekolah-sekolah, universiti, hospital-hospital, klinik-klinik serta pusat perlindungan. Malah HAMAS banyak memberikan dana kepada warga Palestin untuk berdikari dalam bidang perniagaan dan turut menguasai pengurusan institusi masjid dan bertindak memakmurkannya.

Disamping itu, HAMAS turut menjalankan tanggungjawabnya melindungi rakyat Palestin dan kesucian Islam dari kekejaman tentera penjenayah Israel secara ketenteraan. HAMAS mempunyai pasukan pejuangnya yang terlatih, profesional serta melalui latihan ketenteraan yang ketat. HAMAS turut mempunyai jabatan yang khusus dalam mengeluarkan senjata api, pelancar roket, bom, peluru anti-kereta kebal dan sistem roket di bengkel-bengkel miliknya.

Walaupun HAMAS seakan terpinggir dan tidak dipedulikan oleh pemimpin-pemimpin Arab pro-Amerika, tetapi HAMAS mendapat bantuan dan sokongan secara tidak langsung dari Iran, Syria, Sudan dan gerakan-gerakan Islam yang beroperasi di pelbagai tempat di seluruh dunia yang menyokong perjuangannya. Manakala hubungan rapat HAMAS dan Hezbollah adalah sesuatu yang istimewa dan tidak dapat disangkal.

Hubungan padu antara dua pertubuhan Islam yang berlainan mazhab ini mempunyai tujuan dan niat yang sama, menghapuskan negara haram Israel dari peta Timur Tengah dan mengembalikan Baitul Maqdis ke tangan penguasaan pemerintah Islam. Hubungan ini bukan hanya hubungan sekadar persefahaman yang termeterai di atas kertas atau hubungan persefahaman biasa, tetapi ia telah banyak dibuktikan dengan tindakan dan pengorbanan. Memetik secara langsung dari artikel yang bertajuk ’Hizbullah : Siapakah Mereka oleh Saudara Maszlee Malik yang berbunyi :-

”Dikala HAMAS dan rakyat Palestin dihukum oleh rejim Zionis, AS dan EU, Hezbollah telah bersikap pro-aktif. Usaha jahat rejim Zionis membunuh orang awam Palestin di Gaza, menculik para pemimpin kerajaan HAMAS, menangkap rakyat yang tidak berdosa pasca operasi ”al Wahm al-Mubaddad’ tidak langsung mengundang reaksi dari kebanyakan pemimpin-pemimpin umat Islam. Bukan setakat tidak membantu, malah mereka bagaikan bisu dan tuli dengan tidak membuat apa-apa usaha mengutuk ataupun menggesa rejim Zionis agar menghentikan keganasan tersebut.’

’Dikala rakyat Palestin bagaikan yatim-piatu yang terbiar disiksa dan disembelih olegh rejim Zionis, pada waktu itulah Hezbollah menunaikan janji persahabatan mereka. Tindakan mereka menyerang tentera Zionis di sempadan Lubnan merupakan usaha suci Hezbollah untuk melarikan tumpuan Zionis daripada terus menyiksa rakyat Palestin, walaupun Hezbollah tahu harga yang terpaksa dibayar, namun demi mengajar puak Zionis dan menyelamatkan nyawa lebih ramai rakyat Palestin di Gaza, mereka terpaksa melakukannya.”

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s