Gelora Asia Barat Siri 6: Perang Lubnan

Oleh: M. Fauzi

Pada tahun 2006, kerajaan HAMAS yang menguasai Semenanjung Gaza dan Tebing Barat bukan setakat menghadapi sekatan ekonomi, tetapi turut menghadapi ancaman serangan ketenteraan oleh tentera pengganas negara haram Israel. Serangan bermula dari awal Julai 2006 telah membunuh hampir seratus warga awam Palestin, mencederakan beratus orang yang lain, merobohkan rumah-rumah, institusi akademik dan pejabat kerajaan HAMAS dengan serangan kereta kebal, roket dan jentolak.

Malah serangan ini disusuli dengan tindakan biadap, bacul dan pengecut dengan tindakan tentera pengganas Israel menculik 24 orang ahli parlimen dan lima orang menteri kabinet Palestin yang dianggotai oleh HAMAS. Tentera pengganas Israel turut menculik lebih dari 40 orang pegawai-pegawai kerajaan HAMAS termasuk Datuk Bandar.

Tentera pengganas Israel telah menyerang Tebing Barat dan Semenanjung Gaza dengan alasan untuk membebaskan prebet Gilad Shalit yang didakwa telah ditahan oleh pejuang HAMAS. Gilad Shalit telah ditawan dalam satu operasi bersepadu yang di namakan Operasi ’Al-Wahm Al-Mubaddad’ ke atas pos tentera pengganas Israel di Kufr Abu Salim yang turut membunuh dan mencederakan beberapa orang tentera pengganas Israel. Serangan bersepadu ini dilaksanakan bersama oleh Briged Al-Qassam (HAMAS), dan gabungan fraksi pejuang Palestin yang lain seperti Al-Jaysh Al-Islami dan Briged Alwiyat Al-Nasir.

Serangan balas tentera pengganas Israel ke atas Tebing Barat dan Semenanjung Gaza pula telah mendapat tentangan sengit semua pejuang Islam HAMAS dan dibantu oleh fraksi Palestin yang lain, tetapi seperti biasa ia turut menyebabkan ramai warga awam Palestin yang turut syahid dan kerosakan ke atas harta-benda awam dan kerajaan HAMAS seperti yang dinyatakan sebelum ini. Malah negara haram Israel bertekad untuk meneruskan serangan ini hingga kerajaan HAMAS tumbang…!!!

Di saat genting inilah, Hezbollah telah menjalankan misi yang serupa dengan kaedah HAMAS. Hezbollah bertindak menyerang konvoi tentera pengganas Israel di sempadan negara haram Israel – Lubnan dan berjaya membunuh beberapa orang tentera pengganas Israel dan menahan sebahagiannya. Negara haram Israel mengambil kesempatan ini, untuk bertindak angkuh seperti sebelum ini – menyerang seluruh Lubnan dengan tumpuan ke atas pengkalan-pengkalan pejuang Hezbollah dan wilayah-wilayah yang dikuasai oleh pejuang Hezbollah di Selatan Lubnan. Jika sebelum ini, serangan negara haram Israel hanya ditumpukan dengan kaedah serangan udara sahaja, tetapi pada kali ini, negara haram Israel menceroboh Selatan Lubnan dengan kekuatan tentera darat dan menggunakan tentera lautnya untuk menyekat sebarang bantuan dihantar kepada Hezbollah melalui jalan laut.

Pertempuran antara dua musuh tradisi ini, merupakan pertempuran yang sengit dengan hasil yang menjatuhkan maruah tentera pengganas Israel. Pertempuran utama yang berpusat di Bint Jbeil mengorbankan dan mencederakan ramai tentera pengganas Israel. Seperti gambar dan berita yang dipaparkan di media massa, sudah cukup menceritakan kegagalan tentera pengganas Israel dalam pertempuran berhadapan dengan pejuang Hezbollah. Laporan yang dipetik dari Pihak Pengurusan Projek Kereta Kebal Merkava Israel, mengesahkan sejumlah 52 buah kereta kebal Merkava telah ditembusi oleh pelbagai jenis peluru berpandu anti-kereta kebal milik pejuang Hezbollah dan 5 darinya musnah serta merta. Ini merupakan satu kejutan kerana kereta kebal Merkava di nobatkan antara kereta kebal paling moden dan ampuh di dunia..!!

Moral tentera dan rakyat negara haram Israel runtuh apabila mendapati serangan bersepadu Israel di Selatan Lubnan tidak berjaya menghentikan, malah menggandakan serangan roket Hezbollah ke atas negara haram Israel. Roket-roket milik Hezbollah telah mendarat di banyak bandar dan daerah negara haram Israel seperti Haifa, Hadera, Nazareth, Tiberias, Nahariya, Safed, Shaghur, Afula, Kiryat Shmona, Be’it She’an, Karmiel dan Maalot. Tambah memeritkan lagi apabila pejuang Hezbollah telah menerbangkan peluru berpandu anti-kapal perang dari pantai Lubnan dan berjaya menimpakan kerosakan yang teruk ke atas kapal perang korvet milik negara haram Israel – INS Hanit dan membunuh empat orang tenteranya.

Malah seluruh negara haram Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga setiap kali Setiausaha Agung Hezbollah , Syed Hassan Nasrallah membuat pengumuman di media massa kerana Syed Hassan Nasrallah sentiasa mengotakan segala kata-kata yang diucapkannya. Lebih malang bagi kerajaan haram Israel, apabila rakyatnya lebih mempercayai ucapan Syed Hassan Nasrallah dan tidak mempercayai pengumuman rasmi dari kerajaan haram Israel.

Serangan nekad dan berterusan oleh Hezbollah ini bukan setakat menyebabkan seluruh negara haram Israel berada dalam keadaan seperti zon perang dan rakyatnya tertekan. Akhirnya, negara haram Israel mengambil keputusan pahit bukan setakat terpaksa berundur dari operasinya di Selatan Lubnan, tetapi terpaksa mengendurkan dan akhirnya berundur dari meneruskan operasinya ke atas Tebing Barat dan Semenanjung Gaza bagi mengurangkan risiko kemalangan jiwa. Seluruh rakyat Palestin merasa lega dan terlepas dari tekanan ketenteraan oleh negara haram Israel ini.

Apakah Sejarah Tahun 2006 Akan Berulang Lagi?

Kini, setelah dua tahun peristiwa bersejarah ini berlalu, negara haram Israel mengulangi kejahatannya sekali lagi dengan mengenakan tindakan sekatan ke atas wilayah Semenanjung Gaza. Namun HAMAS telah mengambil langkah yang drastik dengan meletupkan dan memecah pos kawalan sempadan Rafah. Tindakan HAMAS ini membolehkan warga Palestin membeli barang keperluan mereka di bandar sempadan dengan Mesir memberikan sedikit kelegaan kepada warga Palestin yang terkepung.

Kepungan ke atas Semanjung Gaza turut diiringi dengan siri serangan tentera pengganas Israel yang bertindak menyerang warga Palestin dan memusnahkan kediaman mereka. Walaupun serangan pengganas Israel ini mendapat tentangan dari HAMAS dan fraksi Palestin yang lain, tetapi ia tidak mengendurkan tindakan ganas Yahudi ini.

Namun begitu setiap serangan tentera pengganas Israel dibalas dengan operasi ketenteraan oleh HAMAS dan pejuang Palestin yang lain. Sebagai contoh, Al Manar melaporkan baru-baru ini Briged Al-Quds, Kumpulan Jihad Islam, Briged Salahudin dan Briged Syuhada Al Aqsa telah melancarkan satu operasi bersepadu dengan menyerang dan memusnahkan terminal kawalan tentera pengganas Israel di Nahal Oz. Operasi yang dinama ’Operasi Breaking The Siege’ telah berjaya membunuh dua orang tentera pengganas Israel dan mencederakan ramai yang lain.

Sehingga kini seluruh warga Palestin yang menghuni Semenanjung Gaza di letakkan dalam keadaan berjaga-jaga berikutan dengan ancaman Israel untuk bertindak balas. Isreal telah lama mempunyai pelan cadangan untuk mengguling kerajaan Palestin pimpinan HAMAS dan peristiwa Nahal Oz hanya dijadikan alasan oleh mereka untuk melaksanakan serangan dengan lebih cepat dan berskala lebih besar.

Namun begitu, Israel menjangkakan serangan ke atas Semenanjung Gaza tidaklah semudah yang disangka. Selain terpaksa menghadapi penentangan balas dari fraksi pejuang Palestin dan semua anggota pejuang HAMAS, Israel memahami serangan ke atas Semenanjung Gaza memberikan kesan buruk terhadap negara haram Israel sendiri. Semenanjung Gaza ibarat bom jangka yang akan meninggalkan bekas ledakannya kepada wilayah sekeliling.

Pengepungan dan sekatan ketat negara haram Israel ke atas Semenanjung Gaza dengan tujuan mengenakan tekanan kepada warga Palestin untuk mengguling HAMAS meraih simpati dari bangsa Arab dan umat Islam yang sememangnya mempunyai sentimen kebencian yang mendalam kepada Amerika Syarikat dan anak emasnya, Israel.

Serangan ke atas Semenanjung Gaza hanya mengundang campurtangan dari pejuang Islam yang akan menyusup masuk pada bila-bila masa yang mereka mahu. Selain dari itu, Israel amat bimbang tentang tindakbalas Hezbollah berikutan dengan pengalaman pahit mereka pada tahun 2006. Malah Hezbollah telah beberapa memberikan amaran untuk membalas dendam atas perbuatan ejen-ejen negara haram Israel membunuh komander tenteranya, As-Syahid Haji Imad Moghniyeh beberapa bulan yang lalu. Pembunuhan Haji Imad Moghniyeh dilakukan dengan kaedah yang biasa dilakukan oleh perisik-perisik Mossad sebelum ini.

Setiausaha Agung Hezbollah, Syed Hassan Nasrallah, telah berikrar untuk memberikan pembalasan yang perit kepada pihak yang didakwa bertanggungjawab ke atas kematian Haji Imad Moghniyeh. Berikutan dengan amaran ini, seluruh warga Israel diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga. Berdasarkan pengalaman mereka sebelum ini, amaran dan ingatan oleh Syed Hassan Nasrallah akan diikuti dengan tindakan yang mengotakan kata-katanya samada cepat atau lambat. Kebimbangan negara haram Israel terhadap tindakbalas Hezbollah ini jelas kelihatan apabila negara haram Israel telah melobi Amerika Syarikat agar mempercepatkan tindakan menyerang dan memusnahkan Iran yang merupakan penaung dan penyokong kuat Hezbollah. Malah tindakan Amerika Syarikat yang melengah-lengahkan serangan ke atas Iran, menjengkelkan negara haram Israel, dan dilaporkan bahawa Israel berhasrat agar Iran diserang tahun ini juga.

Dapat difahami serangan ke atas Iran sedikit sebanyak akan dapat mengendurkan sebarang bantuan yang boleh disalurkan kepada Hezbollah dan Syria sekiranya perang Lubnan tercetus lagi. Sikap provokatif Israel ini mengundang rasa kurang senang di kalangan pemimpin Syria. Pada awal April 2008, Al Quds Al Arabi, suratkhabar Arab yang berpusat di London melaporkan bahawa Syria telah menggerakkan sejumlah tentera sebagai persiapan tindakbalas kepada ancaman Israel untuk menimbulkan suasana huru-hara di Timur Tengah. Menurut akhbar tersebut, pegawai Syria mengeluarkan kenyataan bahawa Syria memantau rapi sebarang pergerakan tentera di wilayah utara Israel.

Keadaan ini jelas tegang berikutan lawatan menteri pertahanan negara haram Israel, Ehud Barak ke utara Israel pada April 2008 diikuti dengan rancangan negara haram Israel untuk mengadakan latihan ketenteraan berskala besar selama 5 hari yang dikenali dengan nama ’Nekudat Mifne – Turning Point’ dan ia bermula pada 6 April 2008. Walaupun Ehud Barak menyatakan bahawa latihan berkenaan bukan bermaksud bahawa negaranya akan menghadapi peperangan dalam tempoh terdekat, tetapi menurut Barak lagi ’ia dijalankan sebagai langkah berjaga-jaga hasil dari pengalaman dalam Perang Lubnan 2006’.

Namun begitu kenyataan lidah bercabang Ehud Barak turut menambah dengan memberikan amaran yang jelas kepada Hezbollah, Syria dan Iran yang negara haram Israel bersedia menghadapi sebarang kemungkinan dan memperhatikan dengan teliti sebarang pergerakan tentera di sempadan Lubnan & Syria. Malah Menteri Pengangkutan Israel, Benjamin Ben Eliezer turut memberikan amaran bahawa sebarang serangan ke atas Israel akan mengundang tindakbalas yang akan memusnahkan Iran secara keseluruhan.

Benjamin Ben Eliezer turut menyatakan bahawa latihan ’Nekudat Mifne’ ini bukan untuk mengancam jiran-jiran Israel, tetapi senario yang digunakan dalam latihan ini mungkin menjadi realiti di masa akan datang.

Pihak Hezbollah memandang serius kemungkinan terdapat rancangan di pihak Israel untuk menyerang Lubnan, Syria dan Iran. Malah pihak Hezbollah telah membuat analisa ke atas semua pergerakan tentara Israel melalui jaringan perisikannya dan telah meletakkan semua anggotanya dalam keadaan berjaga-jaga untuk menghadapi sebarang kemungkinan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s