Gelora Asia Barat Siri 7: Cadangan Imperialis Amerika Untuk Menyerang Iran

Oleh: M. Fauzi

Merujuk kepada petikan artikel yang dipetik dari yang menyatakan bahawa berdasarkan sumber dari agensi berita Rusia, Novosti melaporkan perisikan Rusia telah menerima maklumat bahawa Amerika Syarikat hampir menyempurnakan persiapannya untuk operasi ketenteraan ke atas Iran. Malah menurut Novosti, Kolonel General Leonis Ivashov, seorang staf kanan tentera Rusia menyatakan bahawa Pentagon sedang merancang untuk melaksanakan serangan udara besar-besaran ke atas infrastruktur ketenteraan Iran tidak lama lagi.

Saudara Ezli Meshut di dalam artikelnya menyatakan bahawa Amerika Syarikat telah menghantar dua armada kapal pengangkut iaitu USS Stennis dan USS Eisenhower ke Teluk Parsi dan ini merupakan tambahan kepada kekuatan 4 buah armada yang sudah bersedia kini iaitu USS Kitty Hawk, USS Ronald Reagen, USS Enterprise dan kapal pengangkut berkuasa nuklear, USS Nimitz. Malah terdapat ura-ura negara haram Israel berusaha mendapatkan kebenaran untuk melintasi ruang udara beberapa buah negara Teluk yang bersekutu dengan penjajah Amerika Syarikat dan membentuk laluan serangan udara yang selesa. Melihat kepada senario sebagaimana yang diterangkan sebelum ini, kemungkinan serangan ke atas Iran tidak dapat disangkal lagi.

Penjajah Amerika Syarikat dan negara haram Israel melalui agensi perisikan CIA & Mossad telah mengumpul maklumat dan membuat analisis dan kajian yang mendalam tentang kesan serangan Amerika Syarikat ke atas infrastruktur nuklear dan ketenteraan Iran. Secara umumnya berdasarkan senario yang telah diterangkan sebelum ini, sebarang serangan ke atas Iran berkemungkinan mengundang tindakbalas ketenteraan dari sekutu Iran yang utama iaitu Syria dan proksi-proksi Iran di Timur Tengah.

Tindakan Balas Sekutu Iran Ke Atas Israel

Syria pasti akan menggunakan alasan ini untuk menggerakkan tenteranya bagi merampas semula Bukit Golan yang merupakan kunci kepada maruahnya. Syria pastinya tidak bersendirian kerana Hezbollah pasti akan turut melancarkan serangan ke atas negara haram Israel bagi membalas dendam atas kematian komandernya , Hj Imad Moghniyeh. Malah Hezbollah bertekad untuk membebaskan anggota-anggotanya serta warga kerja diplomat Iran yang ditahan di kem-kem negara haram Israel.

Seperti sebelum ini pertembungan ketenteraan antara tentera pengganas Israel dan pejuang Hezbollah turut mendapat sokongan dari parti Amal dan sayap ketenteraannya. Serangan Hezbollah ini akan turut melegakan tekanan atas sekatan dan serangan yang dikenakan oleh negara haram Israel ke atas Semenanjung Gaza.

HAMAS pasti akan mengambil kesempatan ini untuk meningkatkan usahanya memecahkan kepungan ke atas Semenanjung Gaza dan melancarkan serangan roket ke atas Sderot dan wilayah-wilayah Israel yang bersempadan dengan Semenanjung Gaza. Dan usaha HAMAS ini seperti sebelum ini bukanlah satu operasi yang di gerakkan oleh pejuang-pejuang HAMAS sahaja , tetapi operasi ke atas negara haram Israel ini akan turut disertai oleh PFLP, serpihan-serpihan pejuang Fatah dan pasukan Jihad Islam.

Nasib Imperialis Amerika Syarikat Di Iraq

Jika Israel dijangka bergelut dengan dengan Syria, Hezbollah, Hamas dan fraksi-fraksi pejuang Palestin, penjajah Amerika Syarikat di Iraq turut mengalami igauan yang sama. Serangan ke atas Iran pasti mengundang tindakbalas ketenteraan yang lebih mengerikan dari Iran. Dengan sempadan Iran-Iraq sepanjang 1 400 km, Iran boleh memilih untuk menyerang tentera penjajah Amerika Syarikat dari mana-mana lokasi yang sukar dijangka. Malah kedudukan Zon Hijau yang merupakan pusat pemerintahan kerajaan boneka dan ibu pejabat penjajah Amerika Syarikat di Baghdad terletak hanya 90 minit perjalanan berkenderaan dari sempadan Iran-Iraq. Kira-kira 90% kawasan yang menempatkan tentera penjajah Amerika Syarikat dan negara-negara Barat adalah dalam lingkungan 200 km dari sempadan Iran. Tentera Iran dengan mudah menerbangkan roket-roket milik mereka dan meledakkan Kem Bushmaster berhampiran Najaf, Kem Anaconda di selatan Tikrit dan Zon Hijau di Baghdad turut menjadi sasaran mudah.

Namun begitu ancaman terbesar yang dihadapi oleh tentera penjajah Amerika Syarikat adalah musuh-musuhnya yang berada di keliling pinggangnya di Iraq. Kebanyakan penduduk Iraq yang menganut mazhab Syi’ah amat menghormati Ayatollah Ali Sistani yang menetap di Najaf, Iraq. Ayatollah Ali Sistani yang berasal dari wilayah Sistan, Iran mempunyai pengaruh yang besar di kalangan masyarakat Syi’ah di Iraq. Seorang lagi tokoh ulama Syi’ah yang berpengaruh adalah Ayatollah Moqtada Al Sadr yang lebih radikal. Kedua-dua Ayatollah Iraq ini mempunyai hubungan yang erat dengan Majlis Ayatollah yang berpusat di Kota Qom, Iran yang merupakan pusat bagi ulama mazhab Syi’ah di seluruh dunia.

Majlis Ayatollah ini pula mempunyai pengaruh yang besar dalam Majlis Pakar yang menjadi antara pihak paling berpengaruh dalam sebarang pembuatan keputusan yang penting dalam Republik Islam Iran. Majlis Pakar yang diketuai oleh Ayatollah Ali Akbar Hashemi Rafsanjani ini merupakan majlis syura yang mempengaruhi sebarang keputusan oleh Pemerintah Tertinggi Iran, Ayatollah Ali Khamenei dan dilaksanakan oleh Presiden Mahmoud Ahmadinejad.

Hubungan yang erat sebegini sudah cukup menggambarkan bahawa sebarang usaha untuk menyerangkan dan memusnahkan Iran pasti mengundang tindakan balas dari masyarakat Syi’ah di Iraq.

Penentangan Jaish Al Mahdi pimpinan Ayatollah Moqtada Al-Sadr terhadap kehadiran tentera penjajah Amerika Syarikat sebenarnya masih belum mendapat penglibatan sepenuhnya warga Syi’ah di Iraq. Warga Syi’ah di Iraq masih belum mengangkat senjata sepenuhnya kerana masih belum mendapat lampu hijau dari Ayatollah Ali Al-Sistani.

Sekiranya lampu hijau ini diperolehi, tentera Amerika Syarikat pasti lemas di asak oleh pejuang Syi’ah yang merupakan majoriti penduduk Iraq. Kesempatan ini pasti di ambil oleh pejuang Islam Sunnah dan pejuang Mujahidin Iraq yang lain untuk sama-sama mengganyang tentera Amerika Syarikat yang bertaburan di seluruh Iraq.

One thought on “Gelora Asia Barat Siri 7: Cadangan Imperialis Amerika Untuk Menyerang Iran

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s