Gelora Asia Barat Siri 9: Keupayaan Republik Islam Iran

Oleh: M. Fauzi

khomeini dalam timesRepublik Islam Iran pasca revolusi Islam Iran pada tahun 1979 telah menghadapi pelbagai jenis tohmahan ,tekanan dan sekatan yang dipelopori oleh Imperialis Amerika Syarikat dengan sokongan negara-negara Kristian Barat yang nyata fobia dengan imej Islam yang ditonjolkan oleh Republik Islam Iran. Imej Islam ini bukan sekadar slogan untuk menarik sokongan rakyat Iran dan perhatian umat Islam seluruh dunia, tetapi ia diterjemahkan dengan tindakan Republik Islam Iran ’mengeksport’ semangat dan ideologi revolusi Islam-nya keseluruh dunia Islam.

Lebih malang lagi tekanan dan sekatan ini turut disokong oleh kebanyakan negara-negara Arab di Asia Barat. Rata-ratanya melihat Republik Islam Iran bukan sebahagian dari dunia Islam, tetapi melihat Iran dengan pandangan assabiyah dan semangat Pan-Arabisme. Kebanyakan pemimpin Arab melihat Republik Islam Iran sebagai satu kelompok bangsa Parsi yang cuba mengancam pengaruh, kekuasaan, kekayaan dan ia dilihat menggugat sempadan wilayah Arab sehingga mendorong negara-negara Arab memberikan sokongan luar biasa dalam pelbagai bentuk seperti bantuan kewangan, pembiayaan peralatan ketenteraan dan maklumat perisikan kepada Presiden Saddam Hussein dari Iraq yang berperang dengan Republik Islam Iran selama hampir lapan tahun.

Sejak Revolusi Islam Iran berjaya menumbangkan kezaliman rejim Syah Pahlevi, para pemimpin Revolusi Islam Iran menghadapi pelbagai cubaan untuk menghancurkan Republik Islam Iran dengan pengkhianatan beberapa tokoh Iran yang bersekongkol dan didalangi oleh Amerika. Ini  disusuli dengan tekanan dan sekatan oleh Amerika Syarikat dan negara-negara Kristian Barat serentak dengan Perang Iran-Iraq yang dicatur oleh Amerika Syarikat, Israel dan negara-negara Kristian Barat. Bahkan ia disokong oleh negara-negara Arab.

Puluhan tahun telah berlalu dan hakikatnya kini Republik Islam Iran masih kekal dan kukuh selaras dengan keazaman dan keluhuran para pemimpinnya. Malah ia didokong oleh sokongan rakyat Iran keseluruhannya. Hingga kini, prinsip dan ideologi Republik Islam Iran masih tidak berubah, malah budaya revolusinya masih kuat bertapak di sanubari rakyat Iran. Pengurusan ekonominya tetap stabil dan berjalan lancar walaupun menerima sekatan dan tekanan dalam pelbagai bentuk dengan sandaran kekuatan ekonominya kepada industri minyak dan gas.

Dari segi kekuatan tentera, Republik Islam Iran adalah antara yang terkuat di Asia Barat dan menjadi ancaman kepada kewujudan negara haram Israel. Perkara ini semakin nyata dan jelas, iaitu selepas era kejatuhan Presiden Saddam Hussein dan lumpuhnya angkatan tentera Iraq, pengaruh dan segi sandaran kekuatan ketenteraan Republik Islam Iran merupakan imbangan bagi mengekang kerakusan negara haram Israel di Asia Barat.

Dalam Siri Akhir ini akan mengupas tiga faktor yang menjadi tunjang kepada kekuatan Republik Islam Iran. Yang pertama adalah sistem politik dan kaedah pentadbiran negara yang mantap. Kedua, adalah kekuatan angkatan tentera Republik Islam Iran. Akhirnya yang ketiga adalah keupayaan berdikari oleh  industri pertahanan Republik Islam Iran.

Faktor Pertama – Sistem Politik Dan Pemerintahan Republik Islam Iran

Sistem politik Republik Islam Iran adalah satu sistem yang bersifat kompleks, sistematik dan mempunyai sistem ’check and balance’ yang jelas. Dalam struktur pemerintahan Republik Islam Iran, secara umumnya Pemimpin Agung (Supreme Leader) dilihat berada di puncak piramid dalam sistem pemerintahan Republik Islam Iran, walaupun pada hakikat sebenarnya, ia tidak berlaku sebegitu. Di Iran,  Pemimpin Agung bertanggungjawab untuk memelihara dasar utama Republik Islam Iran dan mengawasi kelicinan pelaksanaannya. Pemimpin Agung turut bertindak sebagai pemerintah tertinggi angkatan tentera serta berkuasa menentukan corak perisikan ketenteraan dan operasi ketenteraan. Malah sebagai pemimpin tertinggi dalam angkatan tentera, beliau berkuasa mengeluarkan pengisytiharan perang.

Beliau juga bertindak mengetuai pengawalan ke atas sistem kehakiman, siaran radio dan televisyen milik kerajaan dan bertindak sebagai komander tertinggi angkatan bersenjata yang terdiri dari pasukan polis dan pasukan tentera. Pemimpin Agung lebih berkuasa dan lebih tinggi dari Presiden Iran jika dilihat dari sudut  hierarki. Selain itu,  Pemimpin Agung bertanggungjawab melantik enam (6) dari dua belas (12) ahli Majlis Pengawal Kuasa.

Antara Peranan Pemimpin Agung adalah :

1. Membuat pengishtiharan mengenai pelaksanaan dasar-dasar utama Republik Islam Iran selepas mendapat nasihat dan pandangan dari Majlis Pakar.

2. Mengawal dan mengawasi pelaksanaan dasar-dasar utama ini agar ia dilaksanakan dengan berkesan.

3. Mengeluarkan dekri bagi melaksanakan referendum terutama yang melibatkan dasar-dasar negara.

4. Menandatangani dekri yang membolehkan pilihanraya umum bagi memilih Presiden Republik Islam Iran.

5. Bertindak sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Republik Islam Iran.

6. Berkuasa mengeluarkan pengisytiharan perang, menandatangani perjanjian damai dan bertanggungjawab terhadap sebarang arahan utama bagi sebarang mobilisasi (pergerakan) ketumbukan tentera.

7. Berkuasa memecat Presiden  dengan bersandarkan kepada kepentingan dan keselamatan negara. Tindakan ini hanya boleh dilakukan apabila Mahkamah Agung Iran memutuskan bahawa Presiden telah didapati melanggar Perlembagaan Iran atau Parlimen Iran berjaya memenangi undi tidak percaya kepada Presiden Iran berdasarkan Artikel 89 Perlembagaan Republik Islam Iran.

Disebalik kuasa begitu besar yang dimiliki oleh Pemimpin Agung dalam menentukan arah tuju Republik Islam  Iran, segala keputusan, tindakan malah prestasi dan keupayaan Pemimpin Agung ini dipantau dan dikawal ketat oleh Majlis Ulama.  Majlis Ulama bertanggungjawab mengawal dan  memantau prestasi kerja Pemimpin Agung dalam perlaksanaan dan pengawalan ke atas badan kehakiman. Majlis Ulama berkuasa memilih dan memecat Pemimpin Agung berdasarkan kelayakan dan prestasi kerja yang dipamerkan oleh Pemimpin Agung.

Struktur yang kompleks dalam pemerintahan Republik Islam Iran dapat diterangkan dan diterjemahkan melalui Perlembagaan Republik Islam Iran. Perlembagaan Republik Islam Iran dirangka dan dilaksanakan selepas Revolusi Islam Iran pada bulan Disember 1979 dan terdapat pindaan yang dilaksanakan pada tahun 1989. Berikut diterangkan secara ringkas badan-badan yang terlibat dalam dalam penetapan, pelaksanaan dan pemantauan bagi pelaksanaan dalam Republik Islam Iran :

Presiden Republik Islam Iran

Perlembagaan Republik Islam Iran menyatakan bahawa Presiden adalah orang yang kedua berkuasa selepas Pemimpin Agung. Presiden dilantik melalui pilihanraya umum yang diadakan empat (4 tahun) sekali. Warga Iran yang berumur 15 tahun dan ke atas adalah layak mengundi. Sebelum pertandingan, setiap calon Presiden, haruslah diperakukan oleh Majlis Pengawal Kuasa.

Presiden Iran hanya boleh bertanding dan berkhidmat paling maksimum adalah selama dua (2) penggal sahaja iaitu lapan tahun walaupun mempunyai prestasi yang baik, cemerlang dalam mentadbir negara dan mempunyai populariti yang tinggi. Ini bagi mengelakkan berlaku penyelewengan dan kemungkinan, Presiden akan bertindak secara diktator untuk terus mempertahankan kuasanya. Presiden bertanggungjawab melaksanakan perkara-perkara  yang termaktub di dalam perlembagaan Republik Islam Iran dan melaksanakan semua kuasa eksekutif kecuali kuasa yang tertakluk sepenuhnya dibawah Pemimpin Agung.

Presiden juga bertanggungjawab melantik dan mengawasi tugas-tugas yang dilaksanakan oleh Jemaah Menteri dan menyelaras pelaksanaan keputusan keputusan kerajaan. Seramai sepuluh (10) orang Timbalan Presiden dilantik untuk bertugas dibawah Presiden dan terdapat 21 orang menteri yang mengetuai kementerian berbeza  dan bertanggungjawab melaksanakan dasar-dasar Republik Islam Iran di seluruh wilayah. Walaupun Presiden  bertanggungjawab melantik menteri bagi perisikan dan keselamatan serta menteri pertahanan, namun pelantikan bagi kedua-kedua jawatan yang sensitif ini haruslah mendapat persetujuan dari Pemimpin Agung.

Parlimen Republik Islam Iran

iran mengundi

Parlimen Republik Islam Iran dikenali Majlis Syura Islam mengandungi 290 ahli parlimen yang dipilih dalam pilihanraya umum yang diadakan pada setiap empat (4) tahun. Semua rakyat Iran dari pelbagai golongan boleh bertanding bagi merebut kerusi Parlimen secara terbuka tanpa bergantung kepada mana-mana parti. Semua calon-calon yang bertanding bagi merebut jawatan sebagai ahli parlimen haruslah mendapat kebenaran dari Majlis Pengawal Kuasa. Kaedah ini penting bagi mengelakkan perpecahan dalaman yang boleh menimbulkan huru-hara akibat dari pertentangan parti-parti politik yang bertanding di negara-negara demokrasi yang masih kurang matang.

Parlimen atau lebih dikenali sebagai ’Majlis’ ini bertanggungjawab merangka draf perundangan, menyemak dan membetulkan draf bagi sebarang perjanjian peringkat antarabangsa serta bertindak membahas, menyemak dan memperaku atau mengesahkan belanjawan negara.

Majlis Pengawal Kuasa

Majlis Pengawal Kuasa terdiri daripada 12 orang juri yang antara lain mengandungi 6 orang ulama yang dilantik oleh Pemimpin Agung dan baki 6 orang lagi dilantik oleh Parlimen. Lantikan oleh Parlimen ini biasanya terdiri daripada juri yang dicalonkan oleh Ketua Hakim dan dipersetujui oleh Parlimen. Majlis ini bertanggungjawab menjaga keutuhan Perlembagaan Republik Islam Iran dan berkuasa menolak sebarang draf undang-undang dari Parlimen yang bertentangan dengan Perlembagaan Republik Islam Iran. Majlis Pengawal Kuasa juga berkuasa untuk membuat pengesahan yang merupakan sebahagian dari syarat dan kebenaran untuk membolehkan bakal-bakal calon untuk melayakkan diri bertanding dalam pilihanraya Republik Islam Iran bagi merebut jawatan Presiden dan kerusi-kerusi Parlimen.

Majlis Pengawal Kuasa juga mempunyai kuasa untuk melantik ketua dan ahli-ahli Majlis Ulama. Perlantikan ini dibuat dengan menggunakan gabungan kaedah peperiksaan berdasarkan modul tertentu dan prosedur-prosedur pemilihan dengan kriteria khas.

Majlis Pakar

Majlis Pakar mempunyai kuasa untuk bertindak sebagai perantara antara Parlimen dan Majlis Pengawal Kuasa. Majlis Pakar turut bertindak sebagai penasihat kepada Pemimpin Agung terutama apabila melibatkan keputusan penting yang berkaitan dengan dasar, perlembagaan dan hubungan antarabangsa.

Badan Kehakiman

Pemimpin Agung mempunyai kuasa untuk melantik Ketua Hakim. Ketua Hakim Republik Islam Iran mempunyai kuasa melantik Ketua Mahkamah Agung dan Ketua Pendakwaraya. Terdapat pelbagai jenis mahkamah seperti mahkamah awam yang bertindak mengendalikan kes sivil dan jenayah serta mahkamah revolusi yang mengendalikan kes-kes yang bersifat ancaman kepada keselamatan negara. Keputusan-keputusan mahkamah revolusi adalah bersifat muktamad dan tidak boleh dicabar atau diubah secara perundangan.

Terdapat mahkamah khas yang dikhususkan bagi para ulama yang bertanggungjawab mengendalikan kes-kes yang melibatkan para ulama. Mahkamah ini bertanggungjawab terus kepada Pemimpin Agung. Keputusannya adalah muktamad dan tidak boleh dicabar atau diubah secara perundangan.

Majlis Ulama

Majlis Ulama biasanya akan bersidang sekurang-kurangnya dua (2) kali setahun dan setiap persidangannya akan mengambil masa dua (2) hari. Keahlian Majlis Ulama adalah terdiri daripada 86 orang ulama kanan yang dipilih dalam tempoh 8 tahun sekali. Pemilihan dan perlantikan bagi keahlian Majlis Ulama ini ditentukan oleh Majlis Pengawal Kuasa melalui kaedah peperiksaan dengan modul dan formula tertentu.

Tanggungjawab utama Majlis Ulama ini bertanggungjawab memilih atau memecat Pemimpin Agung. Oleh yang demikian semua perkara dan butiran mesyuarat Majlis Ulama ini diklafikasikan sebagai amat sulit.

Jika struktur pemerintahan Republik Islam Iran ini diterjemahkan dalam bentuk gambarajah, kita akan dapat melihat dengan lebih jelas betapa kompleks dan tersusunnya corak pentadbiran Republik Islam Iran. Corak pentadbiran Republik Islam Iran ini mempunyai sistem ‘semak dan imbang (check & balance)’ paling sistematik di dunia. Malah jika dikaji dengan lebih mendalam, ia adalah lebih demokratik dari negara Barat yang kononnya mengamalkan, memperjuangkan dan menjuarai prinsip demokrasi.

Struktur pemerintahan Republik Islam Iran adalah struktur politik yang paling hampir dengan konsep dan struktur pemerintahan bercorak Islam. Jika diteliti dan diperincikan, tiada siapa atau pihak yang benar-benar mempunyai kuasa mutlak dalam Republik Islam Iran walaupun tokoh yang sentiasa dipertontonkan sebagai ‘public figure’ adalah Pemimpin Agung & Presiden.

parlimen iranMalah, dalam sistem pemerintahan Iran, presiden dan ahli-ahli Parlimen tidak mempunyai parti-parti atau kumpulan tertentu seperti negara-negara demokrasi acuan Barat. Semua individu yang bertanding memenangi kerusi masing-masing berdasarkan karisma individu itu sendiri, dan apakah komitmen yang dijanjikan kepada seluruh rakyat Iran sekiranya beliau dipilih. Oleh yang demikian, perpecahan dalaman negara disebabkan perbezaan ideologi kepartian dapat dielakkan dan pilihanraya dilaksanakan dengan aman, tenteram dan dibuat lebih dalam bentuk bai’ah yang diterjemahkan dalam bentuk kertas undi.

Oleh kerana itu, kecaman-kecaman antarabangsa samada ke atas negara Iran itu sendiri, mahupun ke atas pemimpin-pemimpinnya dilihat oleh kebanyakan warga Iran sebagai penghinaan ke atas maruah dan pilihan mereka. Malah pertentangan antara golongan ulama konservatif dan golongan pembaharuan yang diperbesar-besarkan oleh media Zionis dan Kristian Barat setiap kali musim pilihanraya Parlimen dan Presiden, menambahkan lagi keazaman rakyat Republik Islam Iran untuk mempertahankan sistem pemerintahan yang sedia ada dan memperlihatkan kepada dunia tentang keterbukaan, keseimbangan dan keteguhan sistem pemerintahan negara mereka.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s