Oleh: M. Fauzi

Sejarah Industri Ketenteraan Iran

Industri pertahanan di Republik Islam Iran bukanlah satu usaha yang baru. Pada awalnya, ia bermula sejak tahun 1934 dengan pembinaan kilang senjata api ringan di Gorkhane dan ia terus berkembang dengan pembinaan kilang raifal dan mesingan pada tahun 1937.

Perkembangan industri pertahanan Iran memasuki peringkat kedua perkembangannya  apabila Shah Iran yang terakhir, Mohammad Shah Reza Pahlavi menubuhkan Iran Electronic Industries (IEI) pada tahun 1973 bagi menggemblingkan usaha memperbaiki dan menyelenggara senjata yang diimport dari luar negara.

Pada zaman pemerintahan Shah Pahlavi, Iran adalah antara pembeli utama senjata di dunia ketika itu. Sebagai contoh Shah Pahlavi membelanjakan sejumlah 8 bilion Dollar Amerika antara 1971-1975 bagi pembelian senjata-senjata yang diimport dari Amerika Syarikat sahaja. Selain dari Amerika Syarikat, pembekal utama senjata Iran yang lain adalah Britain, Jerman, Itali serta tidak ketinggalan negara haram Israel.

Walaupun perbelanjaan ini dilihat keterlaluan, namun sebaliknya Iran menerima faedah yang besar  kerana dibekalkan dengan senjata-senjata yang tercanggih di zaman itu seperti jet pejuang canggih F14 Tomcat, kapal pemusnah kelas Kidd, peluru berpandu anti kereta kebal TOW, helikopter penyerang Cobra, helikopter pengangkut Chinook dan pelbagai jenis senjata lain.

Kebanyakan senjata ini hanya dimiliki oleh Amerika Syarikat dan negara haram Israel serta Iran sahaja yang diberikan kebenaran memiliki senjata seumpamanya. Dilaporkan bahawa sekutu-sekutu rapat Amerika Syarikat di Asia (Jepun, Korea Selatan & Taiwan) dan Eropah (NATO) hanya menerima kebenaran memiliki senjata-senjata seumpama ini pada tahun 1987-1990, iaitu kira-kira 15 tahun kemudian.

Pada zaman pemerintahan Shah Pahlavi juga, Iran telah memperolehi kebenaran mengeluarkan raifal G3 secara berlesen dari Jerman. Era pemerintahan Shah Reza Pahlavi juga menyaksikan usaha Iran menubuhkan Syarikat Industri Pertahanan Iran.

Iran bekerjasama rapat dengan Israel pada tahun 1977 dengan penumpuan dalam pembuatan peluru berpandu. Malah Shah Reza Pahlavi dilaporkan meminta agar Iran turut dilibatkan dalam program usahasama pengeluaran peluru berpandu Amerika Syarikat tetapi telah ditolak.

Negara-negara Kristian Barat turut tidak ketinggalan membekalkan pelbagai jenis senjata terkini kepada Iran pada era ini. Malah dalam beberapa kes, pembekalan senjata ke Iran adalah lebih didahulukan sebelum senjata-senjata ini dijadikan inventori rasmi negara-negara pengeluar.

Sebagai contoh jet pejuang F-14 Tomcat dihantar ke Iran sebelum dijadikan pesawat piawai oleh Amerika Syarikat dan kereta-kebal Chieftain dibina khas untuk Angkatan Tentera Iran oleh United Kingdom dan diberi nama Shir Iran MK1.

iran Chieftain-MkIII-latrun-2

Selepas tercetus Revolusi Islam Iran pada tahun 1979, Iran dikenakan sekatan perdagangan dan juga penjualan senjata oleh negara-negara Kristian Barat. Usaha ini bertujuan melumpuhkan keupayaan Angkatan Tentera Republik Islam Iran, sekaligus menumbangkan Republik Islam Iran dan menggagalkan agenda Revolusi Islam-nya.

Serentak dengan tercetusnya konspirasi Perang Iran-Iraq, memaksa Iran untuk beralih kepada Soviet Union, Korea Utara, Brazil dan China sebagai sumber bekalan senjatanya. Pada masa ini, Republik Islam Iran mengambil langkah pertama mengilangkan sendiri senjata ringan berteknologi Soviet Union seperti pelancar roket RPG-7 dan peluru berpandu anti-pesawat SAM 7 dengan kaedah olah-kejuruteraan (reverse engineering).

iran rpg7

Tahun demi tahun berlalu, perkembangan industri pertahanan Republik Islam Iran berkembang pesat. Pada awalnya, Republik Islam Iran mendapat bantuan teknikal dari Russia (bekas Soviet Union), Korea Utara dan China. Kini Republik Islam Iran telah mampu mengeluarkan produknya sendiri secara bebas hasil dari pemindahan teknologi dan bantuan teknikal yang diperkemas dan dipertingkatkan keupayaannya hasil dari R & D (Research & Development).

Industri Pertahanan Iran

Umumnya industri pertahanan Republik Islam Iran diletakkan di bawah penyelarasan dan penyeliaan oleh Kementerian Pertahanan & Logistik Angkatan Tentera. Terdapat sembilan (9) firma yang ditubuhkan dengan pengkhususan yang tersendiri.

Pengkhususan ini perlu bagi mengelakkan pertindihan kepakaran dan pengeluaran yang merugikan kerana persaingan sesama sendiri. Pada masa yang sama pengkhususan sebegini memudahkan Republik Islam Iran menyalurkan dana. Malah penumpuan dapat diberikan kepada bidang-bidang yang kritikal selaras dengan pemodenan peralatan ketenteraan yang terkini.

Malah sejak 1992, mereka telah mengorak langkah lebih jauh dengan mengeluarkan pelbagai jenis peralatan persenjataan merangkumi kereta kebal, kereta perisai pelbagai versi, pelbagai jenis peluru berpandu, kapal selam, kapal perang, pesawat pejuang dan pelbagai jenis helikopter. Secara umumnya industri pertahanan Republik Islam Iran mempunyai tiga (3) kategori dalam pengeluaran peralatan persenjataan:

Kategori 1 - Menyelenggara dan membaiki senjata-senjata canggih yang diperolehi dari Amerika Syarikat & NATO ketika era Shah Pahlavi. Semua alat ganti bagi sistem-sistem persenjataan ini dibina semula bagi membolehkan aset-aset tersebut digunapakai secara efektif dan mampu bertahan sehingga kini.

Malah terdapat beberapa jenis-jenis senjata seperti helikopter tempur Cobra, helikopter Chinook dan peluru berpandu anti-kereta kebal TOW dibina semula dan dikeluarkan secara  besar-besaran sehingga kini.

Contoh peralatan persenjataan dalam kategori 1:

Persenjataan Tentera Udara

  • Pesawat pejuang Azarakh – dibina semula berasal pesawat pejuang F5E (U.S)
  • Helikopter Panha 2091 – berasal dari helikopter tempur AH1 Cobra (U.S)
  • Helikopter pengangkut Chinook (U.S)
  • Penyelenggaraan pesawat pejuang F14 Tomcat & F4 Phantom (U.S) serta pesawat pejuang Mirage & Jaguar (Peranchis).

Persenjataan Tentera Laut

  • Kapal tempur kelas Sina – berasal dari kapal tempur kelas Kaman (Peranchis)
  • Kapal frigat kelas Moudge – berasal dari kapal frigat kelas Vosper (U.K)
  • Peluru berpandu Fajr Darya – berasal dari peluru berpandu Sea Killer

Persenjataan Tentera Darat

  • Peluru berpandu anti kereta kebal Toophan – berasal dari sistem TOW (U.S)
  • Meriam anti-pesawat Samavat – berasal dari meriam anti-pesawat Oerlikon
  • Peluru berpandu anti kapal terbang Hawk MIM 23 (U.S)
  • Kereta kebal ringan – FV101 Scorpion (British)

Kategori 2 - Membeli senjata-senjata terkini dari sumber-sumber seperti Rusia, Korea Utara dan China. Pada masa yang sama perjanjian pemindahan kepakaran bagi pengeluaran persenjataan (transfer of technology) dimeterai dan dilaksanakan.

Senjata-senjata ini dikeluarkan sepenuhnya oleh Republik Islam Iran untuk kegunaan sendiri tetapi tidak boleh dieksport. Sebagai contoh antara tahun 1993-2000, Republik Islam Iran membeli sejumlah 235 buah kereta kebal T72 dari Rusia beserta pakej pemindahan teknologi. Kini mereka mampu mengeluarkan sepenuhnya kereta kebal T72 yang telah dipermodenkan dengan menggunakan teknologi tempatan.

Contoh peralatan persenjataan dalam Kategori 2:

Persenjataan Tentera Udara

  • Pesawat Pengangkut IR AN 140 (Rusia)
  • Peluru berpandu anti pesawat Misagh 1 & 2 – QW 1 & 2 Vanguard (China)

Persenjataan Tentera Laut

  • Peluru berpandu anti kapal Silkworm – C801 & C802 (China)

Persenjataan Tentera Darat

  • Kereta kebal T72Z Safir – Kereta Kebal T72 (Rusia)
  • Peluru berpandu anti kereta kebal Raad – Sistem AT4 Sagger (Rusia)
  • Meriam berunut Raad 1 – Sistem WZ 501/502 (China)

Kategori 3 - Merekabentuk dan membina senjata baru dengan rekabentuk dan pengeluaran 100% oleh industri ketenteraan Republik Islam Iran. Antaranya adalah kereta kebal Zulfiqar & Mobarez, pesawat tempur Saegheh dan pelbagai variasi peluru berpandu seperti Zelzal, Shahab dan lain-lain. Kebanyakan senjata berteknologi tinggi ini mendapat bantuan kepakaran dari China, Korea Utara, Pakistan dan Rusia.

Contoh peralatan persenjataan dalam kategori 3:

Persenjataan Tentera Udara

  • Pesawat pejuang Saegheh 80
  • Pesawat latihan asas Dorna
  • Pesawat latihan lanjutan IT2-2 Tazarv
  • Pesawat tanpa pemandu Ababil/Mohajer
  • Meriam anti pesawat Fajr 27
  • Bom elektro-optik 2000 Ib Qased

Persenjataan Tentera Laut

  • Peluru berpandu anti–kapal dengan jarak 50 km – Tondar
  • Peluru berpandu anti-kapal lancaran kapal selam – Thaqeb
  • Peluru berpandu anti-kapal jarak jauh – Raad
  • Kapal serang laju berpeluru-berpandu Kelas Sina, Paykan dan Joshan
  • Kapal selam Kelas Qaem

iranian sub

Persenjataan Tentera Darat

  • Kereta kebal ringan – Tosan
  • Kereta kebal utama – Zulfiqar
  • Kereta perisai berunut – Cobra BMT 2
  • Kereta perisai bertayar – Raksh
  • Peluru berpandu anti kereta kebal – Toophan 2
  • Kenderaan pacuan 4 roda serbaguna – Sepher/Safir/Tondar
About these ads