Mahasiswa Dahulu dan Sekarang: Realis atau Idealis?

Oleh: A. Amri

“Mahasiswa kini lesu”. Kata-kata tersebut dilafazkan sebagai keluhan terhadap fenomena kelesuan mahasiswa sejak berakhirnya ‘zaman kegemilangan’ gerakan mahasiswa pada tahun 60-an dan 70-an suatu ketika dahulu. Benarkah mahasiswa masih lesu?

Menurut Dr. Wan Abdul Rahman Wan Muda, pensyarah Universiti Sains Malaysia, sejak tahun 1976, bibit-bibit kelumpuhan budaya universiti yang sebelum itu mempunyai solidariti idealisme dalam aktiviti-aktiviti mahasiswa mula terhakis. Pasca zaman 1970-an, mahasiswa tidak lagi menjadi juru bicara masyarakat. Suara mahasiswa yang pernah menjadi ‘check and balance’ kepada pemerintah dan pembangkang sudah kian sepi.

Muhammad Faizal Abdul Aziz, Exco Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) dalam komennya mengenai fenomena ini mengatakan bahawa, “hilangnya minat mahasiswa untuk menghayati dan menganalisa keadaan politik, ekonomi dan sosial tempatan mahupun antarabangsa, serta tidak ada lagi slogan ‘Mahasiswa Jurubicara Masyarakat’ kerana kebanyakan mereka sudah tidak peduli dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka.”

Jika benar apa yang diperkatakan oleh beliau, maka kita boleh simpulkan bahawa mahasiswa hari ini sudah kurang kesedaran dan mengambil sikap tidak peduli kepada suasana persekitaran. Sebenarnya ini bukan punca kelesuan mahasiswa tetapi ia adalah kesan daripada punca yang lebih berakar umbi. Maka, apakah punca utama kelesuan mahasiswa?

Ramai yang mengataka bahawa budaya takut untuk mengkritik telah menghantui mahasiswa sejak zaman AUKU diperketatkan pada 1975. Berapa ramai yang tahu apa yang terkandung dalam AUKU? Apa yang terkandung dalam AUKU hingga menambat mahasiswa selama lebih 30 tahun? AUKU sebenarnya tidak bersalah. Ia hanyalah akta bagi memastikan sesebuah institusi pengajian tinggi berjalan dengan lancar. Setiap institusi perlukan peraturan. Namun, apakah yang menggerunkan mahasiswa apabila teringatkan AUKU?

Sebenarnya hanya beberapa bahagian dan seksyen dalam AUKU yang menjadi perbahasan mahasiswa sejak sekian lama. Tidak keterlaluan jika dikatakan hanya bab keterlibatan dalam ‘politik’ terus-menerus menjadi isu utama yang membelenggu aktivitisme mahasiswa. Jika inilah isu utamanya, sebenarnya larangan terlibat dalam parti politik telah wujud sebelum pindaan 1975 lagi.

Alasan ini adalah bagi saya satu bentuk ‘escapisme’ bagi membenarkan kelesuan gerakan mahasiswa. Padahal saban tahun mahasiswa di kampus-kampus seperti Universiti Malaya, Universiti Islam Antarabangsa dan Universiti Kebangsaan Malaysia menganjurkan himpunan bantahan. Gema takbir memenuhi ruang himpunan setiap kali pilihanraya kampus. Mahasiswa tidak pernah dikunci mulut dan digari tangan mereka. Tetapi mereka memilih untuk bergerak secara konfrontasi.

Tinjauan saya di kampus-kampus, mahasiswa cenderung mengkritik dan bermusuh dengan pihak universiti. Bila disusuri kembali buku-buku dakwah, betapa indahnya Islam dalam menyebarkan syiarnya. Nabi Muhammad, Imam Hasan al-Banna dan banyak lagi tokoh gerakan dakwah tidak hanya memilih cara konfrontasi, sebaliknya bijak memanfaatkan ruang dan peluang untuk mengembangkan Islam.

Berbalik kepada persoalan asas, mengapa gerakan mahasisiwa lesu selepas peristiwa demonstrasi Baling tahun 1974? Jawapan saya adalah kerana pada ketika itu, idealisme mahasiswa berteraskan kebenaran dan keadilan sebagai tunjang perjuangan. Mereka menjuarai isu rakyat. Sebaliknya, mahasiswa kini sekadar menjadi pembakar isu, kritis tanpa alternatif dan tidak berjiwa besar. Tidak keterlaluan jika saya katakan mahasiswa terlalu idealis tetapi tidak realistik.

Dalam masa yang sama, pihak universiti dan kerajaan juga harus peka terhadap kehendak mahasiswa. Secara umum, mahasiswa mahu suara mereka didengar, isu-isu yang dibawa ditangani secara telus dan peranan mereka diiktiraf. Di sini saya bersetuju dengan saranan Timbalan Menteri Kementerian Pengajian Tinggi, Dato’ Saifuddin Abdullah bahawa suatu model governan baru diperkenal oleh pihak universiti dan kerajaan dimana mahasiswa diberi penghakupayaan (empowerment). Suatu platform harus diwujudkan untuk membolehkan idealisme, intelektualisme dan aktivitisme mahasiswa disalurkan secara lebih berkesan dan bermakna.

Budaya Ilmu

Jika mahasiswa mahu dipandang serius, idealisme mereka perlu bertunjangkan idea yang tulin dan tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak berkepentingan. Setiap idea harus berdasar pengetahuan dan hujah yang berpijak di bumi yang nyata serta fakta yang konkrit. Untuk menjadi suara rakyat, gagasan mahasiswa tidak wajar sekadar menjadi pengimbang pihak kerajaan, tetapi juga pihak pembangkang. Mereka hendaklah menjadi suara ketiga yang lebih neutral.

Mahasiswa wajar menjadikan budaya ilmu sebagai pencetus kepada perjuangan. Budaya ilmu bukan sekadar membanyakkan bacaan dan hafalan. Lebih daripada itu, ia menekankan aspek berfikir secara rasional dan menganalisa secara mendalam. Budaya ilmu juga bermakna mencintai ilmu dan ilmuwan, menulis, menyelidik serta mengembangkan ilmu. Malangnya budaya ini belum mekar dalam warga kampus sebagaimana kata Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dato’ Ir. Dr. Zaini Ujang:

“Aspek yang menjurus kepada pembinaan minda kelas pertama dan pembudayaan ilmu seperti wacana, diskusi, ’kegilaan membaca dan menulis’ dan persekitaran yang mesra intelektualisme tidak lagi menjadi trend dan aset penting. Bahkan personaliti sedemikian tidak lagi menyerlah di kampus malah nampaknya semakin pupus melawan arus masa.”

Justeru, sebagai persediaan mahasiswa menjadi rakan pembangunan (kepada universiti dan kerajaan), mereka perlu mula membaca karya-karya besar yang ditulis oleh tokoh-tokoh berjiwa besar. Semarakkan budaya berfikir dan binalah kuasa mahasiswa (student power) dengan hikmah serta kebijaksanaan. Mahasiswa alaf 21 bakal memacu negara berdasar idealisme yang murni dan keintelektualisme yang asli.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s