Kepimpinan Melayu: Ke Mana Arah Tujumu?

Oleh: A. Amri

Sejarah peradaban dunia telah membuktikan bahawa apabila seorang pemimpin yang hebat memimpin, negara yang dipimpinnya pasti melakar sejarah tersendiri. Nama-nama seperti Julius Ceasar, Napolean, Hitler dan Khomeini adalah sebahagian daripada nama-nama yang mempunyai wawasan tersendiri dalam membangunkan negara mereka. Apa yang membuatkan mereka ini pemimpin yang berjaya mentransformasi negara dan rakyatnya ke arah kegemilangan?

Kajian-kajian yang telah dijalankan bagi merungkai rahsia kepimpinan tokoh-tokoh negarawan seperti di atas mendapati bahawa wawasan, kreativiti, kemahiran, kejujuran dan kematangan adalah antara ciri-ciri penting seorang pemimpin yang berjaya. Adakah ciri-ciri yang disebutkan ini dapat diperhatikan pada para pemimpin negara kita pada hari ini? Sejak Tun Dr. Mahathir mengundur dari jawatan Perdana Menteri Malaysia pada tahun 2003, kita masih belum melihat seorang pemimpin yang boleh mewarisi kepimpinan berkarisma beliau.

Adakah ini petanda kejatuhan Malaysia setelah melalui zaman-zaman gemilangnya pada akhir abad ke-20? Sebelum menjawab persoalan ini, kita perlu membedah siasat mengapa kelemahan dalam kepimpinan ini berlaku. Sebagai rujukan, semasa kejatuhan empayar Kesultanan Melayu Melaka pada tahun 1511, punca utama bukanlah kekuatan musuh tetapi kelemahan pentadbiran dan kepimpinan Melayu ketika itu.

Setelah mengalami zaman kegemilangan di bawah kecekapan pentadbiran Bendahara Tun Perak pada akhir abad ke-15, Sultan Mahmud Shah tidak lagi menitikberatkan unsur integriti. Ini mencetuskan krisis dalaman yang menjadi punca keretakan empayar Melayu Melaka. Masalah yang sama kembali menghantui kepimpinan Melayu apabila rasuah dan khianat menjadi racun yang melemahkan negara. Ia bermula dari akar-umbi hinggalah kepada kepimpinan tertinggi.

Selain itu, pemimpin-pemimpin Melayu telah ketandusan daya intelekual, kualiti akhlak dan kekuatan spiritual yang seharusnya ada pada seorang pemimpin Melayu-Islam. Profesor Dr. Siddiq Fadhil pernah menyatakan bahawa pemimpin adalah ’culture-builder’ yang boleh dijadikan khudwah hasanah atau contoh tauladan kepada rakyatnya.

Cabaran Kepimpinan Melayu

Setelah penjajahan lebih 400 tahun Tanah Melayu, kuasa imperialis mewariskan kepada orang Melayu dengan mentaliti kelas ketiga. Cengkaman penjajahan minda imperialis meresap sebati ke dalam jati diri orang Melayu sehingga kita keliru antara prioriti dan isu remeh-temah. Persoalan pokok seperti kerapuhan aqidah, penghakisan semangat patriotisme dan penularan budaya hedonisme dalam kalangan pelapis kepimpinan negara (remaja) dibayangi oleh isu-isu yang sengaja digembar-gemburkan oleh media massa.

Sesetengah isu pula dimanupulasi semahunya sehingga memberi gambaran betapa ceteknya pemikiran orang Melayu. Sedangkan, masyarakat Melayu kini lebih terbuka dan ’advance’ dari sudut pemikiran dan tidak mudah diperkotak-katikkan oleh laporan dan putar-belit media. Namun, apa yang dibimbangkan adalah persepsi kaum lain terhadap orang Melayu.

Tanggungjawab pemimpin Melayu kini adalah untuk mengemudi kembali bangsa jauh daripada penjajahan sikap dan minda penjajah. Pemimpin Melayu harus pandang ke hadapan dan fokus kepada isu-isu pokok. Pemimpin Melayu perlu memanfaatkan persamaan di samping menguruskan perbezaan sesama mereka.

Kebijaksanaan Imam Hasan al-Banna dalam menyelesaian pertikaian antara dua puak Islam yang bertelagah boleh dijadikan tauladan. Beliau mengajar bahawa isu pokok (yang lebih besar) adalah perpaduan sedangkan perkara yang diperbalahkan (bilangan rakaat solat sunat tarawih) hanyalah isu ranting.

Faktor utama bagi mencapai maksud ini adalah kesediaan membuat perubahan dalam diri iaitu minda dan sikap. Selain itu, enam langkah berikut juga menjadi pemangkin kepada kepimpinan berkualiti:

1. Memahami persekitaran. Pemimpin negara tidak dapat tidak perlu memahami dan berupaya menganalisis suasana semasa. Seterusnya, berdasarkan analisis tersebut, strategi yang bertepatan dijana dan dilaksanakan.

2. Daya saing dan pengantarabangsaan. Dalam dunia globalisasi hari ini, kita perlu bersaing. Seorang pemimpin yang hebat mampu mentransformasi rakyat jelatanya menjadi ‘world player’. Bahkan, bukan sekadar mampu bersaing tetapi menerajui persaingan.

3. Kreatif dan inovatif. Sudah tiba masanya, kita berhenti menjadi pengikut dan menggunakan hasil orang lain. Sebaliknya, negara perlu dipacu melalui budaya kreatif dan inovatif sebagaimana Jepun dan Korea Selatan.

4. Keprofesionalan (kualiti) dan akauntabiliti. Tiada siapa yang sukakan pemimpin yang retorik dan bercakap tidak serupa bikin. Seorang pemimpin yang boleh bekerja dan boleh dipercayai adalah harapan setiap rakyat.

5. Budaya berprestasi tinggi. Pemimpin yang berprestasi tinggi akan hasilkan rakyat yang berprestasi tinggi. Maka, menjadi satu tanggungjawab seorang pemimpin untuk memastikan dirinya mampu mencetus satu perubahan budaya dalam masyarakat jika ingin melihat negara berdiri sama tinggi dengan negara-negara maju.

6. Membangunkan pemimpin pelapis. Seorang pemimpin yang baik bukan sekadar membaiki diri, malah berupaya menambahbaik orang yang dipimpinnya. Namun, jarang sekali seorang pemimpin menghasilkan pemimpin pelapis yang lebih baik daripadanya. Inilah tahap kepimpinan yang terunggul.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s