Pemikiran Baru dan Kebangkitan Rakyat

Oleh A. Amri

Awal abad ke -21 mungkin akan diingati dalam lipatan sejarah sebagai zaman kebangkitan rakyat. Di Amerika Syarikat, buat pertama kalinya seorang Presiden berkulit hitam telah dipilih rakyat, walaupun telah beratus tahun negara itu mendabik dada sebagai negara yang kononnya memperjuangkan kebebasan dan kesaksamaan. Di negara sekular Turki pula, seorang Perdana Menteri pro-Islam dipilih rakyat bagi memerintah buat penggal ketiga berturut-turut, mencipta sejarah sebagai antara pemimpin yang paling lama memegang kuasa sebegitu lama sejak zaman Kamal Attaturk.

 

Dalam pada itu, negara-negara Arab tumbang satu-persatu kepada kuasa rakyat. Fenomena yang digelar sebagai ‘Arab Spring’ turut menggoncang jiwa para diktator lain di rantau itu. Asia tidak ketinggalan juga menyaksikan rakyat negara Jepun berubah sokongan setelah lebih 50 tahun diperintah oleh parti bertuankan perasuah. Thailand pula mendapat ‘wake up call’ apabila himpunan gelombang merah rakyat memaksa pemimpin yang korup lari meninggalkan negara tersebut.

 

Kesemua peristiwa di atas adalah cerminan tingkah laku sosial yang dipengaruhi oleh corak pemikiran alaf baru hasil ledakan teknologi maklumat. Generasi Y yang membesar dengan bertemankan google, emel, blog dan facebook berbanding congkak dan batu seremban, terdedah dengan maklumat tanpa sempadan. Melihat kepada tindak-tanduk masyarakat yang digerakkan oleh golongan muda ini, satu pola yang dapat dikenalpasti adalah kesedaran masyarakat terhadap kesan negatif penguasa yang korup serta kesan solidariti dan mobiliti rakyat.

 

Maka, antara pengajaran-pengajaran yang harus diambil oleh seseorang pemimpin hari ini adalah jangan mengabaikan pandangan orang bawahan, terutamanya pandangan golongan muda. Kedua, perjuangan untuk kepentingan peribadi akan berakhir dengan penghinaan. Ketiga, kuasa adalah amanah rakyat dan bukan hak atau keistimewaan. Pengajaran-pengajaran ini bukan hanya perlu diambil perhatian oleh pemimpin-pemimpin negeri atau negara, malah pemimpin-pemimpin organisasi di peringkat mana sekalipun.

 

Pemikiran ‘new school’ menuntut kepada kebersamaan, keadilan dan integriti sang penguasa. Berlalu sudah pemikiran ‘old school’ bahawa ‘orang tua lebih banyak makan garam’ atau ‘usah digigit tangan yang menyuap’. Organisasi alaf baru kini tidak akan pergi jauh tanpa ‘esprit de corp’ atau semangat berpasukan. Islam telah lama menekankan kebersamaan dalam organisasi melalui konsep syura dalam pentadbiran, agar kuasa tidak tertumpu kepada seorang penguasa sahaja. Pandangan majoriti perlu dihormati, pandangan minoriti perlu dikaji.

 

Keadilan pula adalah teras kepada keharmonian dalam organisasi. Hukum alam menyatakan bahawa dalam setiap tindakan, akan ada tindakan balas yang setara. Semakin kuat seseorang ditindas, semakin kuat pulalah tentangan yang akan diberikan, umpama spring yang dimampat akan melantun kembali dengan daya yang cukup kuat. Bahkan, inilah antara yang paling ditakuti oleh Sun Tzu dalam peperangan iaitu serangan terhadap musuh yang terkepung sehingga memaksanya mempertahankan diri bermati-matian.

Akhir sekali, integriti meruapakan teras kepada amanah. Ia adalah ciri yang diharapkan oleh setiap rakyat kepada pemimpin. Matinya kepercayaan rakyat apabila terkuburnya integriti pemimpin. Tidak kira sebesar manapun sesebuah organisasi, lambat-laun akan terkesan dengan ketiadaan kebersamaan, keadilan dan integriti. Silent protest boleh bertukar menjadi revolusi berdarah kerana fitrah manusia tidak akan selamanya dapat dibisukan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s