Pengurusan Masa dari Perspektif Islam

Oleh: M. Fauzi

Islam adalah Ad-Deen… lengkap, menyeluruh dan wajib dijadikan panduan dalam kehidupan dari segenap aspek termasuklah pengurusan masa.

Ingatan Allah Ta’ala Buat Seluruh Manusia

Allah s.w.t telah mengingatkan manusia tentang kepentingan masa dan ketelitian dalam menguruskannya. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Asr (Masa) yang bermaksud :

               “Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat-menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat-menasihati supaya menatapi kesabaran.”

Image

Ayat di atas menggambarkan bahawa manusia yang tidak memanfaatkan masa dengan sebaik-baiknya untuk mentaati perintah Allah Ta’ala & Rasul-Nya  adalah dari golongan yang rugi. Golongan manusia  yang turut dianggap rugi adalah kelompok manusia yang membiarkan masa berlalu tanpa memanfaatkannya untuk saling menasihati dan membimbing manusia yang lain untuk mengamalkan Islam sebagai cara hidup (way of life). Golongan yang rugi juga adalah mereka yang gagal melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi Allah Ta’ala kerana lalai, kurang ilmu dan leka dengan nikmat kehidupan dunia yang sementara sifatnya.

Rugi di dunia kerana masa tetap berlalu dan tidak dapat diputarkan kembali…

Rugi di saat sakaratul maut di kerongkong kerana pintu taubat sudah tertutup untuk selama-lamanya…

Rugi di akhirat kerana hari pembalasan tetap akan ditempuh tanpa boleh berpatah balik lagi…

Justeru, bagaimanakah kaedah terbaik memanfaatkan waktu dengan sebaiknya dari sudut pandangan Islam?

Hadis Rasulullah Sebagai Ingatan

Rasulullah s.a.w telah menitipkan pesanannya buat para sahabat dan umat Islam zaman-berzaman melalui hadis yang diriwayatkan oleh At-Timidzi dan Muslim:

“Dari Amru bin Maimun r.a pada suatu hari Rasulullah s.a.w telah menyampaikan sabdanya yang bermaksud : Rebutlah peluang lima perkara sebelum datangnya lima perkara iaitu

 

  • Masa mudamu sebalum datangnya hari tua,
  • Masa sihatmu sebelum datangnya masa sakit,
  • Masa kayamu sebelum datangnya masa miskin,
  • Masa lapangmu sebelum datangnya masa sibuk,
  • Masa hidup sebelum datangnya malaikat mencabut nyawa.

Maksud tersirat hadis yang amat popular ini, mengingatkan umat Islam agar tidak mengamalkan budaya suka menangguh terutama dalam perkara-perkara yang bermanfaat untuk kehidupan di dunia dan akhirat.Image

Jangan bertangguh dalam melaksanakan hak, amanah dan tanggungjawab…

Jangan bertangguh dalam melaksanakan amal ibadat…

Jangan bertangguh dalam menyebarkan syiar Islam…

Jangan bertangguh dalam soal memperjuangkan dan mempertahankan kedaulatan Islam…

Jangan bertangguh dalam menegakkan hukum syarak…

Jangan bertangguh dalam menyempurnakan tugasan yang diamanahkan dalam pekerjaan…

Sabda Rasulullah s.a.w :

“Bekerjalah kamu di dunia seolah-olah kamu akan hidup seribu tahun, dan beramallah kamu untuk akhirat seolah-olah kamu akan mati esok hari” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Fiqh Awlawiyyat Bagi Pengurusan Masa Zaman Moden

 

Kehidupan di zaman moden ini memaksa manusia bertindak dengan pantas, seiring dengan cepatnya peredaran waktu. Umat Islam harus tidak ketinggalan dalam mengejar arus kemodenan ini, jika tidak mahu dilihat sebagai umat yang mundur.

Kualiti seseorang dalam dunia pekerjaan hari ini diukur dengan kemampuan seseorang untuk bertindak pantas, cekap dan mampu melaksanakan pelbagai peranan dan fungsi. Keadaan ini menjadikan manusia semakin sibuk. Di sebalik kesibukan ini, setiap hari manusia menghadapi dilemma, banyak perkara untuk dipilih, ada perkara yang harus dilepaskan atau ditangguhkan ke tepi buat sementara waktu. Apakah pendekatan yang disarankan oleh Islam untuk menghadapi situasi sebegini?

Jawapannya terdapat dalam pengurusan masa menurut konsep ‘Fiqh Awlawiyyat’. Apakah yang dimaksudkan dengan Fiqh Awlawiyyat? Ulama tersohor dunia Islam masakini, Prof. Dr. Yusuf Al-Qardhawi mentakrifkan Fiqh Awlawiyyat sebagai:

               ‘Menetapkan sesuatu pada martabatnya, tidak mengkemudian apa yang perlu didahulukan atau mendahulukan apa yang dikemudiankan, tidak mengecilkan perkara yang besar dan membesarkan perkara yang kecil’. (Terjemahan dari: diniahfalahiah.blogspot.com)

Bagaimanakah konsep Fiqh Awlawiyyat digunapakai? Dari sudut pengurusan masa, Fiqh Awlawiyyat menekankan konsep menetapkan keutamaan (prioritize) dalam membuat perancangan kerja. Berdasarkan Fiqh Awlawiyyat, setiap tugas boleh diukur keutamaannya berdasarkan tiga (3) perkara berikut:

  • Ad-Dharuriyyat – perkara-perkara asas yang mutlak dan penting (makanan, pakaian, tempat tinggal)
  • Al-Hajjiyyat – perkara-perkara yang penting dan tanpanya ia menimbulkan kesukaran dan menyukarkan sesuatu urusan.
  • At-Tahsiniyyat – perkara-perkara yang dianggap perkara yang mencantikkan (luxury) dan memberikan nilai tambah yang menyumbang kepada kepuasan.

Dalam pengurusan masa, seorang pekerja boleh menyusun tugasan hariannya mengikut keutamaan. Contohnya (things to do today) dengan mengasingkannya kepada tiga (3) kategori utama seperti di atas:

  • Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Ad-Dharuriyyat – ia adalah genting dan penting (crucial & urgent) serta perlu dilaksanakan dengan segera.
  • Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai Al-Hajjiyyat – ia adalah perkara yang penting dan perlukan perhatian (important & need attention).
  • Bagi perkara-perkara dan tindakan yang dianggap sebagai At-Tahsiniyyat – ia adalah perkara yang tidak utama dan tidak segera (less important & less urgent).

Penyusunan tugasan mengikut Fiqh Awlawiyyat dapat membantu anda menyusun tugasan dengan lebih mudah. Ad-Dharuriyyat menjurus kepada tugasan utama dan kritikal yang berkaitan dengan fungsi utama organisasi (core business), dasar dan tugasan yang berkaitan kelangsungan organisasi harus diberikan keutamaan untuk disempurnakan.

               Al-Hajjiyyat pula adalah tugasan yang melibatkan penambahbaikan berterusan, tindakan pembetulan hasil dari laporan auditan tugas mahupun soal-selidik kepuasan pelanggan dan penjadualan tugasan berkala. Al-Tahsiniyyat boleh dikategorikan sebagai tugasan dan perkara sampingan seperti keceriaan dan hiasan pejabat, kursus bagi peningkatan personaliti, keselesaan ruang bekerja dan seumpama dengannya.

 Image

               Dapat kita simpulkan bahawa, pengurusan masa melalui kaedah Islam amat menitikberatkan perkara-perkara yang utama dan mengenepikan perkara-perkara yang remeh-temeh. Penyaringan ini amat perlu kerana dengan peredaran masa yang pantas memerlukan manusia untuk menyesuaikan diri mengikut perubahan masa dan peredaran zaman. Sekiranya umat Islam hanya berlegar-legar bagi menyelesaikan perkara-perkara yang bersifat At-Tahsiniyyat, maka umat Islam akan ketinggalan malah bergerak semakin mundur kebelakang dan bukannya melangkah gagah ke hadapan.

One thought on “Pengurusan Masa dari Perspektif Islam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s