Falsafah Universiti: Antara Prinsip dan Praktis

ImageOleh: A. Amri

 

 

 

 

 

Banyak cakap-cakap kebelakangan ini mengenai visi dan misi organisasi. Organisasi yang mempunyai misi dan visi yang jelas umpama peluru berpandu. Ia diprogramkan untuk menumpukan seluruh tenaga bagi menuju satu matlamat yang spesifik. Manakala organisasi yang tiada matlamat yang jelas umpama kapal layar yang tiada arah tuju, bergantung kepada sang angin membawa ia ke mana sahaja.

               Ada organisasi yang memakan masa berbulan-bulan dan membelanjakan wang mencecah lima angka hanya untuk merangka hala tuju organisasi. Namun, di akhir bengkel dan perbincangan, dokumen setebal tesis PhD itu akan berkubur di atas meja atau rak, mengumpul debu dan sawang. Sesekali apabila timbul idea baru, itulah kiblat yang akan menjadi tumpuan seluruh organisasi. Akibatnya, sumber tidak tahu hendak dihalakan ke mana, tenaga tidak pasti hendak ditujukan ke mana. Benarlah kata bijak pandai, ramai manusia mencari sesuatu yang ia tidak pasti.

               Organisasi yang seperti ini boleh dianalogikan dengan sebuah kapal ‘cruise’ mewah, berlegar-legar di lautan tanpa arah tuju. Belayar semata-mata untuk memenuhi nafsu orang yang hendak berseronok dan bersantai. Apa guna misi dan visi jika tidak ada roh dan kesungguhan untuk mencapainya. Buangkan saja visi dan misi itu ke bakul sampah!

                Kaedah terbaik untuk mencapai impian adalah dengan bekerja merealisasikannya. Perjuangan memenuhi visi dan misi hanya dapat digerakkan apabila perjuangan itu sendiri berdiri atas falsafah yang kukuh, bukan angan-angan yang tidak realistik. Perjuangan adalah burning desire dalam jiwa setiap ahli dalam organisasi. Setiap ahli bersungguh untuk capai satu matlamat. Apabila asas perjuangan ini tidak kukuh, maka ahli-ahli dalam organisasi akan mencari peluang memenuhi agenda peribadi.

Falsafah Universiti: Antara Prinsip dan Praktis

               Universiti sebagai tapak menggerakkan proses pendidikan untuk membina sebuah peradaban, perlu konsisten dalam memenuhi falsafah penubuhannya. Visi dan misi perlu selari dengan matlamat yang ingin digapai dalam falsafah tersebut, dan bukan berubah setiap tiga atau lima tahun. Walaupun dunia berubah dan setiap organisasi perlu berubah, tetapi perubahan hanya dalam pendekatan, bukan asas penubuhan. Sebagai contoh, penulis mengambil falsafah Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang antaranya berbunyi:

“…bertanggungjawab untuk mendidik pelajar-pelajarnya malah seluruh anggota masyarakat Universiti sendiri, memiliki ciri-ciri beriman sejati, berkeperihatinan atas kesucian ilmu dan pengetahuan, kebijaksanaan dan berkeikhlasan intelek, berperikemanusiaan dan bertatalaku mulia…”

               ImageFalsafah yang disusun padat dengan nilai insan dan keinsanan ini menekankan aspek-aspek yang menjadi tonggak dalam menggerakkan universiti. Pertama, ia menggunakan perkataan ‘mendidik’ dan bukan ‘mengajar’. Maka, makna tersirat di sini adalah keperluan seluruh warga kerjanya menunjukkan contoh ikutan kepada pelajar-pelajar serta anggota masyarakat, dan bukannya sekadar mengarah membuat sesuatu atau memberitahu tentang ilmu baru. Nabi Muhammad s.a.w. sendiri berdakwah melalui contoh tauladan dan bukan ‘cakap tak serupa bikin’.

               Kedua, falsafah tersebut menggariskan lima ciri-ciri insani yang perlu ditanam dan dibangunkan dalam setiap individu dalam universiti iaitu beriman dengan sebenar-benar keimanan, prihatin dan memelihara kesucian ilmu daripada dilacurkan, bijaksana dan ikhlas dalam menggunakan daya fikir, menghadapi cabaran dan permasalahan dengan sifat kemanusiaan, dan akhir sekali berakhlak dalam setiap tingkah laku. Justeru, inilah asas kita untuk bergerak kehadapan. Namun, walaupun prinsipnya jelas, tetapi praktisnya bagaimana? Adakah prinsip dan ciri-ciri ini benar-benar menjadi pegangan dan panduan pengurusan?

Empat Elemen Menjana Organisasi Cemerlang

               Dalam buku ‘Membentuk Suasana Kerja Positif: Aspek Hubungan Manusia dan Persekitaran Sosial’ (2005), ia menggariskan empat elemen utama bagi menjana produktiviti dan organisasi yang cemerlang iaitu kepimpinan, perkongsian maklumat, latihan pembangunan yang berterusan, dan budaya kerja. Menurut kajian buku tersebut, pemimpin adalah elemen utama yang mampu menggerakkan seluruh organisasi ke arah kecemerlangan. Tanpa pemimpin yang mempunyai misi dan visi yang jelas, sukar bagi sesebuah organisasi untuk mencapai kecemerlangan.

               Berkaitan perkongsian maklumat pula, organisasi yang mahu mencapai tahap produktiviti yang tinggi perlu faham bahawa pekerja juga inginkan maklumat dari segi prestasi, perancangan dan pencapaian, bahkan masalah-masalah yang dihadapi oleh organisasi. Maklumat seumpama ini mendorong pekerja untuk bekerja dengan lebih gigih atas asas shared-effort untuk menjayakan organisasi. Dalam kata lain, pekerja ingin menjadi sebahagian daripada kajayaan organisasi.

               Aspek pembangunan sumber manusia tidak wajar dipandang sebelah mata. Oleh itu, latihan yang berterusan perlu untuk meningkatkan kemahiran dan motivasi bagi memastikan organisasi terus kekal kompetitif. Kajian pada 2002 mendapati bahawa kemahiran yang ada pada seseorang pekerja akan ketinggalan zaman dalam masa tiga tahun, dan menjadi jumud setelah lima tahun!

                Elemen terakhir bagi menjana produktiviti dan kecemerlangan organisasi adalah budaya kerja atau di sesetengah tempat disebut budaya korporat. Budaya kerja akan mencorakkan tingkah laku dalam sesebuah organisasi sama ada positif atau negatif, dan ia bermula dari atas iaitu kepimpinan. Dalam buku ‘Mengurus Perubahan dalam Organisasi’ (2008), ia mengatakan bahawa pemimpin berperanan menyediakan model yang boleh dicontohi. Pekerja akan menghargai dan bersedia untuk bertindak selaras dengan kesungguhan yang dipamerkan oleh pemimpin. Budaya kerja atau korporat yang menggalakkan pembelajaran, ganjaran kepada idea baru dan meransang inovasi akan menjurus pekerja untuk lebih bersedia menerima perubahan budaya.

Rumusan

               Semua pihak harus kembali kepada asas (back to basic) untuk maju ke hadapan. Berpeganglah kepada prinsip ‘Mereka yang gagal untuk merancang, sebenarnya merancang untuk gagal’. Justeru, rancanglah agar universiti kita bisa cemerlang.

One thought on “Falsafah Universiti: Antara Prinsip dan Praktis

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s