Di Mana Islamnya Melayu?

Oleh: A. Amri, Felo Penyelidik Pusat Pemikiran Dr Burhanuddin Al-Helmi

Di Malaysia, bahkan di arkipalego Melayu, bangsa Melayu amat sinonim dengan Islam. Walaupun penemuan arkeologi mendapati origin orang Melayu adalah beragama Hindu di kepulauan-kepulauan Melayu dengan tertegaknya kerajaan seperti Langkasuka, Majapahit dan Srivijaya, namun penemuan ini dipandang sepi kerana kemuncak pencapaian orang Melayu adalah pada zaman Kesultanan Melayu Melaka yang agama rasminya adalah Islam.

Hal ini tidak hairan kerana kerajaan-kerajaan Islam di Asia Tenggara pada kurun ke-14 telah menjadi kuasa besar dunia dan orang Melayu adalah pendokong kepada empayar tersebut. Seorang penulis dan pedagang berbangsa Portugis, Duarte Barbosa, pernah menyatakan, “Sesiapa yang menguasai Melaka, dia dapat menguasai perdagangan dunia.”

Walaupun kejayaan Kesultanan Melayu pada kurun ke-14 itu turut disumbang oleh kedudukan strategiknya di antara jalan perdagangan Timur dan Barat, namun faktor Islam adalah sebenarnya faktor yang menjadikan bangsa Melayu menjadi mulia. Ajaran Islam yang mengajar umatnya berakhlak mulia sesama manusia dan amanah dalam urusan hidupnya memacu orang Melayu menjadi bangsa bertaraf dunia ketika itu. Maka, dunia mengenali Melayu sebagai orang Islam dan bangsa Melayu lebih berbangga dikenali sebagai orang Islam.

Pasca kejatuhan Kesultanan Melayu Melaka, orang Melayu masih memegang erat saki-baki ajaran Islam dalam kehidupan mereka. Ini digambarkan dengan pepatah Melayu, ‘Biar mati anak, jangan mati adat’. Adat pada zaman itu (awal abad ke-20) ditafsirkan sebagai budaya Melayu berteraskan agama Islam, kerana ajaran-ajaran Islam telah tersemat rapi dalam jiwa dan tingkah laku orang Melayu. Malah, tafsiran orang Melayu dalam Perlembagaan Malaysia yang digubal pada awal abad ke-20 lalu adalah beragama Islam dan mengamalkan budaya serta adat istiadat Melayu. Bahkan, John L. Esposito dalam artikelnya, ‘Islam’s Southeast Asia Shift, A Success that Could Lead Renewal in The Muslim World’, menyatakan bahawa kebangkitan Islam amat berpotensi di Asia Tenggara kerana karakteristik kaum Melayu rantau ini. Persoalannya, adakah pendapat ini masih terpakai kepada Melayu abad ke-21?

Realiti Melayu dan Islam

Orang Melayu berpegang kepada frasa ‘Melayu itu Islam dan Islam itu Melayu’. Benar pada zaman itu, tetapi adakah realiti pada zaman ini boleh dikatakan begitu lagi? Ibaratnya jika dikatakan Arab itu Islam dan Islam itu Arab, namun realitinya bangsa Arab sudah hilang jati dirinya sebagai orang Islam. Tingkah laku mereka jauh dari apa yang Islam terapkan. Kehilangan tanah suci Baitulmaqdis kepada Zionis berpunca dari ketaksuban kepada bangsa, berbanding ketaksuban kepada ketuanan Islam. Realitinya zaman telah berubah dan turut mengubah cara hidup orang Melayu itu sendiri, iaitu semakin jauh dari ajaran Islam.

Perubahan sikap ini sejajar dengan proses globalisasi yang mempertembungkan budaya Timur dan Barat. Maka, tatacara hidup dan pemikiran Islam berasimilasi dengan budaya hidup dan pemikiran berteraskan isme-isme anutan masyarakat Barat. Adakah anak-anak muda generasi kini lebih sopan, berbudi bahasa, menyantuni jiran dan menghormati ibu bapa sebagaimana awal abad ke-20 dahulu? YDP Majlis Syura Ulama Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Syaripudin Ab Kadir, menyatakan bahawa sebahagian besar mereka (orang Melayu) tidak mengamalkan kehidupan Islam yang sebenarnya. Menurut beliau, “Jika dilihat, kejahilan terhadap agama ini salah satu puncanya disebabkan kegiatan dakwah yang tidak berkesan sehingga menyebabkan orang Melayu kini tidak mengamalkan Islam secara syumul.”

Bukti penyelewengan orang Melayu dari ajaran Islam dapat dilihat dari statistik Badan Pencegah Rasuah, dimana sebanyak 1225 daripada 1941 kes rasuah yang dicatatkan sepanjang 2005 hingga 2008 melibatkan orang Melayu. Dari segi masalah sosial, orang Melayu juga menjadi juara dalam kes anak luar nikah berbanding Cina atau India. Manakala Jabatan Pendaftaran Negara mendaftarkan 74,723 orang anak luar nikah yang terdiri daripada kaum Melayu sepanjang 2005 hingga 2009. Dari segi akidah pula, kita tidak lupa dengan dakwaan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria bahawa sehingga tahun 2008 sahaja lebih 100,000 orang Islam di Malaysia telah murtad. Menurut beliau lagi, orang Melayu membelanjakan RM1 bilion setahun untuk minum arak dan RM3 bilion lagi untuk berjudi.

Dengan segala statistik dan realiti di hadapan kita ini, adakah masih relevan dikatakan Melayu adalah Islam? Atau Islam akan kuat apabila orang Melayu kuat? Jelas daripada senario hari ini, bangsa Melayu bukannya pembolehubah tak bersandar yang menentukan kedudukan Islam, tetapi lebih tepat Melayu adalah pembolehubah bersandar yang ditentukan oleh pegangan dan penghayatan Islam. Maka, kesimpulannya adalah jika bangsa Melayu hendak kembali gemilang sebagaimana di zaman Kesultanan Melayu Melaka dahulu, ia harus kembali kepada ajaran Islam yang sebenar.

Melayu berdaulat apabila pegangan Islamnya kuat. Untuk memenuhi tuntutan itu, pemimpin Melayu juga hendaklah terdiri daripada mereka yang komited dengan Islam. Bukan sekadar Islam pada kulit, tetapi Islam pada pemikiran, sikap dan tingkah laku, iaitu Islam yang bersifat praktikal. Pemimpin Islam perlu ada sifat qawiyy dan amin, iaitu kompetensi dan amanah dalam pentadbiran. Sejarah telah memberi pengajaran apabila ajaran Islam dikesampingkan dan kemewahan melekakan pemerintah, ummah menjadi lemah.

Hari ini secara idealnya Malaysia diiktiraf sebagai negara yang progresif denganImage perbankan Islam, jabatan dakwah Islam, penganjuran tilawah al-Quran, dan universiti Islam. Namun, realitinya masyarakat Islam di Malaysia masih jauh pemahaman dan penghayatan Islamnya sehingga terjadinya kes rasuah, rompak, zina, judi dan minum arak yang berleluasa dalam kalangan orang Melayu Islam. Melayu akan hilang Islamnya jika ia terus dibuai kemegahan sejarah silam, namun Islam akan mengangkat mana-mana bangsa yang memartabatkan ajaran-ajarannya. Tidak mustahil jika bangsa Cina, Jepun atau Korea akan sinonim dengan Islam apda masa hadapan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s