Apakah Definisi Perancangan?

Oleh: Hj. Fauzi

Sebagaimana yang telah dicatatkan sebelum ini, berdasarkan Kamus Dewan Bahasa, ‘merancang’ ditakrifkan sebagai ‘proses merencanakan atau mempersiapkan’. Takrifan yang ringkas ini walaupun mampu dihuraikan namun skop huraiannya mungkin agak terhad.

Merujuk kepada beberapa buah buku pengurusan, takrif perancangan mempunyai skop yang lebih luas. Umpamanya Harold Koontz dan Heiz Weihmict dalam buku mereka ‘Management’ mentakrifkan perancangan sebagai satu proses pengurusan yang melibatkan pemilihan misi, penetapan objektif dan perangkaan pelan tindakan untuk mencapainya. Pada masa yang sama, perancangan melibatkan  proses pembuatan keputusan iaitu membuat pilihan ke atas pelan tindakan.

Manakala James A.F Stoner  dan Charles Wankel dalam buku mereka yang turut mempunyai tajuk yang sama iaitu ‘Management’ mentakrifkan perancangan sebagai satu garis panduan yang dirangka oleh pihak atasan sesebuah organisasi bagi mencapai maksud asal penubuhannya. Pada masa yang sama, perancangan membantu pihak pengurusan organisasi menentukan arah tujuan organisasi, memutuskan isu-isu yang berkaitan dengan persoalan mengenai – apa, bila dan bagaimanakah pelan perancangan akan dilaksanakan dan siapa yang akan melakukannya. Stoner dan Wankel juga melontarkan pandangan bahawa ’perancangan tanpa pelaksanaan adalah satu perbuatan yang sia-sia.’

Dengan merujuk kepada buku ’Pengantar Pengurusan’ yang ditulis oleh Jaafar Muhammad,  Mohd Hizam Hanafiah dan Zafir Mohd Makbul mereka memetik pandangan dua orang tokoh dari barat yang memberikan pandangan tentang definisi perancangan seperti berikut:

  1. Daft (1997) – Perancangan merupakan satu proses penetapan objektif dan menentukan apakah yang mesti dilakukan untuk mencapai objektif tersebut.
  1. Robbins & Coulter (1999) – Perancangan merupakan satu proses yang melibatkan pentakrifan objektif dan matlamat organisasi, mewujudkan strategi keseluruhan untuk mencapai matlamat-matlamat ini dan membangunkan rancangan yang menyeluruh untuk menyelaras dan mengintegrasikan semua aktiviti dalam organisasi.

 

Dalam buku Pengurusan Terkini yang ditulis oleh Wan Azmi Ramli, beliau memetik beberapa lagi tokoh sarjana pengurusan dari barat dalam memperkayakan lagi takrif ’pengurusan’ sebagaimana yang dicatatkan secara verbatim seperti butiran berikut:

 

  1. Gary Dessler – Kaedah-kaedah yang terperinci yang diatur terlebih dahulu sebelum membuat sesuatu.
  1. Andrew F. Sikula – Aktiviti-aktiviti fizikal dan mental yang dibuat sebelum berlakunya sesuatu.

 

 

  1. David Ewing – Suatu usaha untuk mewujudkan sesuatu yang belum wujud.

 

  1. Micheal Scoot – Suatu proses analitikal yang merangkumi penilaian masa depan, pembentukkan beberapa alternatif tindakan untuk mencapai matlamat dan pemilihan suatu tindakan di antara beberapa alternatif.

 

  1. Harold Koontz – Penentuan tentang apa yang hendak dibuat, bagaimana melaksanakannya dan siapa yang akan menjadi pelaksana.

Malah Wan Azmi Ramli sendiri memberikan pandangannya dengan mentakrifkan perancangan sebagai satu penentuan arah tujuan yang bakal dilakukan oleh sesebuah organisasi. Ini memerlukan penentuan tentang siapa yang akan membuatnya, bila masanya dan bagaimana caranya untuk melaksanakannya.

Selain dari Wan Azmi Ramli, salah seorang sarjana pengurusan di Malaysia iaitu Azman Che Omar melalui bukunya Pengurusan Di Malaysia Dari Perspektif Islam mendefinisikan perancangan sebagai satu proses menentukan objektif yang dikehendaki oleh pihak pengurusan atasan organisasi. Dengan adanya perancangan, pihak pengurusan atasan sesebuah organisasi akan dapat merangka srategi-strategi tindakan yang sesuai dan terbaik dengan mengambil kira faktor-faktor dalaman organisasi dan persekitaran luaran yang akan mempengaruhi kehidupan sesebuah organisasi untuk mencapai objektif tersebut.

Menurut Azman Che Omar lagi, perancangan melibatkan rangkaian aktiviti yang menyeluruh dalam mencapai pelbagai matlamat yang telah ditentukan. Jawapan kepada persoalan di bawah akan dapat melicinkan lagi proses perancangan dan pelaksanaan pelan tindakan;

  1. Apa yang diperlukan?
  2. Siapa yang bertanggungjawab?
  3. Bila akan dibuat?
  4. Mengapa tindakan tersebut diambil?

Takrifan-takrifan yang disenaraikan di atas dapat memberikan lebih penjelasan tentang definisi perancangan dari sudut pandangan sarjana barat mahupun cendekiawan tempatan dalam bidang pengurusan.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s