CORAT-CORET PEMERINTAHAN BANI UMAIYYAH, PENERUS KESINAMBUNGAN SISTEM KHALIFAH KERAJAAN ISLAM

Oleh: Hj Fauzi.

Umumnya apabila membicarakan tentang pemerintahan Bani Umaiyyah, umum akan melihat pemerintahan Bani Umaiyyah ini didirikan atas tangan yang berdarah serta melanggar tatacara dalam sistem perlantikan khalifah yang telah diamalkan sejak kewafatan Rasulullah s.a.w.

Namun begitu benarkah Muawiyah Bin Abu Sufyan dan mereka yang menyebelahinya mempunyai perilaku yang begitu buruk gambarannya sebagaimana yang dicatatkan oleh segelintir ahli sejarah?

Image

Dr. Yusuf Al Isy’, seorang pakar sejarah Islam telah menulis sebuah buku bertajuk Dinasti Umawiyah dan telah diterjemahkan ke dalam bahasa Indonesia. Di dalam buku ini diterangkan bahawa segelintir pengkaji sejarah yang menjadikan buku ‘Maqtal Utsman’ (Pembunuhan Utsman) yang ditulis oleh Abu Mikhnaf Luth Bin Yahya dan buku ‘Ar-Riddah wa Ad-Daar’ yang ditulis oleh Muhammad Bin Umar Al-Waqidy sebagai rujukan apabila menghuraikan rentetan kejadian yang berlaku sebelum pembunuhan Saiyidina Utsman r.a. hinggalah naiknya Muawiyah Bin Abu Sufyan ke tampuk pemerintahan negara Islam sebagai seorang khalifah.

Karya Abu Mikhnaf Luth Bin Yahya, seorang Syiah ini ditulis pada 157H manakala buku yang ditulis oleh Muhammad Bin Umar Al-Waqidy pula ditulis pada tahun 207H, satu tempoh yang lama selepas berlakunya peristiwa pembunuhan Saiyyidina Utsman r.a. Oleh sebab yang demikian tulisan mereka bukanlah layak dijadikan sumber rujukan.

Dr. Yusuf Al Isy’ menerangkan maklumat yang sahih dan terpenting haruslah dirujuk kepada riwayat oleh Abu Said Maula Abu Usaid As-Sa’idy Al-Anshari dan Ahnaf Bin Qais (meninggal dunia tahun 70H dan riwayatnya dicatat oleh An-Nasai’). Mereka berdua adalah segelintir dari penduduk Madinah yang melalui dan menyaksikan sendiri peristiwa-peristiwa yang berlaku sepanjang krisis tersebut.

Tidak cukup dengan tohmahan ke atas Muawiyah Bin Abu Sufyan r.a., lebih malang lagi apabila segelintir ahli sejarah yang menulis tentang sejarah kerajaan Bani Umaiyyah cenderung untuk menggambarkan bahawa ketika era pemerintah Bani Umaiyyah diwarnai dengan huru-hara dan peperangan sesama umat Islam kecuali semasa pemerintahan Khalifah Umar Bin Abdul Aziz sahaja.

Malah Bani Umaiyyah digambarkan menyalahgunakan tentera untuk menindas rakyat yang menentang pemerintahannya. Namun begitu berdasarkan fakta bahawa penguasaan pemerintahan Bani Umaiyyah yang bermula dari tahun 35H hingga ke tahun 132H dan mengambil masa hampir 98 tahun, keadaan umat Islam tidaklah sebegitu buruk dan kucar-kacir sepanjang tempoh berkenaan.

Tarikuddin Hassan di dalam bukunya Kerajaan Pemerintahan Bani Umaiyyah menjelaskan bahawa kerajaan Bani Umaiyyah bermula dari tahun 41H dan mempunyai seramai 14 orang khalifah. Kekacauan yang berlaku semasa era pemerintahan Bani Umaiyyah mempunyai tempoh waktu tertentu dan tidak berpanjangan.

Kekacauan pertama berlaku bermula dengan pembunuhan ke atas Khalifah Ar-Rasyidin Saiyyidina Utsman r.a. pada tahun 35H.  Umat Islam berselisih faham dan berlaku konflik berdarah. Pemerintahan Khalifah Saiyidina Ali r.a. ditentang oleh Muawiyah Bin Abu Suffian r.a. dan konflik ini berterusan selama 5 tahun. Selepas mangkatnya Khalifah Saiyyidina Ali r.a. pada 17 Ramadan 40H, penggantinya iaitu Saiyyidina Hassan r.a. mengambil keputusan untuk menyerahkan pucuk pemerintahan Islam kepada Muawiyah r.a. Penyerahan kuasa itu berlaku pada tahun 41H dan tahun itu dikenali sebagai Tahun Perpaduan (Am Al-Jama’ah). Malah sesetengah ahli sejarah menandakan bahawa permulaan pengasasan kerajaan Bani Umaiyyah bermula dari tahun 41H ini. Bermula dari Tahun Am Al-Jam’aah inilah umat Islam hidup dalam keadaan aman dan damai selama 20 tahun..

Kekacauan kedua berlaku pada tahun 61H semasa pemerintahan Khalifah Yazid Bin Muawiyah yang mendapat tentangan daripada Saiyyidina Hussein r.a. dan Abdullah Bin Zubair r.a. Kekacauan ini berlaku selama 12 tahun dan berakhir pada 73H setelah kematian Abdullah Bin Zubair r.a..

Dalam era kekacauan kedua inilah berlaku peristiwa hitam yang menjadi parut yang meninggalkan kesan yang amat dalam kepada umat Islam. Peristiwa hitam ini ditandakan dengan peristiwa pembunuhan ke atas Saiyyida Hussien r.a. dan ahli keluarganya di padangKarbala pada bulan Muharram tahun 61H. Saiyyidina Hussien r.a. dan ahli keluarganya diserang oleh pasukan tentera yang diketuai oleh Gabenor Kufah iaitu Ubaidillah Bin Ziyad dan panglimanya iaitu Umar Bin Saad.

Kebanyakan umat Islam menuding jari kepada Khalifah Yazid Bin Mu’awiyah yang dituduh terlibat secara langsung atas pembunuhan Saiyyidina Hussien r.a. Namun sebenarnya tiada arahan langsung mahupun larangan dari Khalifah Yazid kepada Gabenor Kufah untuk bertindak keras kepada rombongan keluarga Saiyyidina Hussien r.a. Menurut Tarikuddin Hassan lagi, tindakan zalim ke atas Saiyyidina Hussein r.a. dan keluarganya dilakukan secara peribadi oleh Gabenor Kufah berkenaan.

Malah Khalifah Yazid amat sugul dengan kejadian berkenaan dan mengarahkan agar kepala Saiyyidina Hussien r.a. dikebumikan dengan penuh penghormatan dan keluarga Ahlil-Bait yang malang itu diberikan ganti-rugi dan dihantar pulang ke Madinah.

Cuma tiada tindakan lanjut dari Khalifah Yazid Bin Muawiyah ke atas Gabenor Kufah iaitu Ubaidillah Bin Ziyad dan panglimanya iaitu Umar Bin Saad sama ada dalam bentuk hukuman, pemecatan mahupun amaran keras selepas kejadian tersebut telah mengundang polemik dan persoalan. Keadaan ini diambil kesempatan oleh musuh-musuh kerajaan Bani Umaiyyah untuk memfitnah Khalifah Yazid terlibat secara tidak langsung dan Khalifah Yazid turut dituduh  merestui tindakan zalim Gabenor Kufah dan panglimanya.

Kekacauan keempat berlaku pada tahun 81H ketika pemerintahan Khalifah Abdul Malik Bin Marwan. Kekacauan yang dicetuskan oleh Ibnul Asy’at. Menurut sejarah Ibnul Asy’at atau lebih dikenali sebagai Abdul Rahman Bin Al Asy’ath tidaklah menentang Khalifah Abdul Malik Bin Marwan secara langsung. Ibnul Asy’at ini sebenarnya adalah salah seorang dari panglima yang ditugaskan untuk menentang Raja Ratbil yang berkuasa di Kabul, Afghanistan. Panglima Abdul Rahman Bin Al Asy’ath ini berada di bawah kawalan langsung Panglima Besar Al Hajjaj Yusuf Al Thaqafi yang bertindak mengawal wilayah Islam dari Iraq hinggalah ke sempadan India di Timur dan wilayah-wilayah yang baru dibuka hingga ke sempadan Sungai Sihun di sempadan sebelah utara Turkistan. Al Hajjaj Yusuf Al Thaqafi ini terkenal dengan kekerasan dan tindakannya yang zalim terhadap para penentang-penentang kerajaan Bani Umaiyyah.

Berlaku perselisihan faham antara kedua panglima perang ini kerana Ibnul Asy’ats tidak berpuas hati dengan kezaliman Al-Hajjaj ke atas penduduk kota Kufah. Dengan ketumbukan tentera yang diketuainya, Ibnul Al Asy’at yang diberikan tugas ke Kota Kabul telah berpatah balik ke Iraq dan berjaya menghampiri Kota Bashrah. Berlaku pertempuran antara tentera Al-Hajjaj dan tentera pimpinan Ibnul Asy’at di Dair Al Jama Jin dan Ibnul Asy’at berjaya ditewaskan. Pemberontakan  ini  berjaya ditamatkan dalam tempoh 3 tahun.

Setelah hidup dalam keadaan aman damai selama 39 tahun, berlakulah kekacauan keempat dan terakhir dalam sejarah pemerintah Bani Umaiyyah. Penentangan yang dimulakan oleh Zaid Bin Ali Zainal Abidin ini muncul pada tahun 122H semasa zaman pemerintahan Khalifah Hisyam Bin Abdul Malik.

Selepas kematian Zaid Bin Ali Zainal Abidin perjuangan menentang Bani Umaiyyah diteruskan oleh pewarisnya dan kemudian diserahkan kepada Muhammad Bin Ali Bin Abdullah Bin Abbas. Perjuangan yang kemudian dikenali sebagai Gerakan Bani Abbasiyyah ini berlangsung secara berterusan hinggalah kerajaan Bani Umayyah berjaya ditumbangkan pada tahun 132H.

Berdasarkan fakta di atas, jelas menyangkal bahawa hampir sepanjang pemerintahan Bani Umaiyyah diwarnai dengan konflik berdarah sesama umat Islam. Jika dicampurkan tempoh kekacauan berkenaan keseluruhannya mengambil masa 32 tahun dan bukan secara berturutan. Malah dalam tempoh 66 tahun kedamaian membolehkan umat Islam mengukuhkan pembinaan tamadun dari pelbagai segi dan pencapaian perkembangan ilmu yang pesat.

Sebagaimana yang pernah dinyatakan sebelum ini, segelintir pengkaji sejarah menggambarkan bahawa para khalifah semasa pemerintahan Bani Umaiyyah cenderung menyalahgunakan kekuatan tentera. Dr. Yusuf Al ‘Isy turut membenarkan kenyataan ini dengan menyatakan bahawa ‘pemerintahan khalifah Umaiyyah selalu bekerja untuk mempertahankan kedudukannya, berusaha mencapainya dan menggunakan kekuatan untuk dapat mempertahankannya’ (m.s. 418). Namun bagitu Dr. Yusuf Al ‘Isy turut menyatakan bahawa para khalifah Bani Umayyah terpaksa bertindak sedemikian kerana mengambil pengajaran akan perkara-perkara berikut:

  1. Tiga Khalifah Ar-Rasyidin telah meninggal dunia kerana dibunuh.
  2. Pembunuhan ke atas Khalifah Utsman r.a. kerana rakyat berpandangan bahawa mereka berhak menghakimi dan menjatuhkan hukuman kepada para pemerintah.
  3. Khalifah Saiyyidina Ali r.a. gagal melaksanakan pemerintahannya dengan berkesan kerana campurtangan terlalu ramai orang dalam menentukan hala tuju negara, malah ada sesetengah individu yang lebih berpengaruh dari Khalifah Saiyyidina Ali r.a. dalam membuat keputusan.
  4. Penglibatan orang ramai dalam proses membuat keputusan dalam pemerintahan negara, walaupun bagus dan sesuai dilaksanakan semasa para sahabat r.a. masih hidup, tetapi tidak sesuai dengan peredaran zaman dan tempat.

Malah tindakan Khalifah Muawiyah Bin Abu Sufyan memperkenalkan sistem penggantian berdasarkan sistem warisan dilihat bertujuan untuk mencegah berlakunya perselisihan dan perpecahan antara kaum muslimin. Malah sistem ini dilaksanakan kerana keinginan kuatnya (khalifah) ke atas kekalan dan ketahanan  negara. Bani Umaiyyah dianggap sebagai pemerintah kaum muslimin, khalifah dan  raja. Khalifah Bani Umaiyyah tetap menjadi imam solat, tetapi mereka bukanlah seorang mujtahid atau ulama agama.

Bersambung…

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s