Kepimpinan Baharu PAS dan Hala Tuju Nasional

Oleh: A. Amri

Setelah Perhimpunan Agong UMNO melabuhkan tirai pada bulan Oktober lepas dan menyaksikan parti Melayu terbesar itu mengekalkan kepimpinan utamanya pada pemilihan kali ini, rakyat mengalih tumpuan pula kepada pemilihan parti Islam terbesar di Malaysia,  iaitu Parti Islam Se-Malaysia (PAS) pada 22-24 November ini. Apa yang menarik, pada kali ini PAS bersama rakan-rakan pakatannya merupakan pilihan 51% rakyat Malaysia pada pilianraya umum ke-13 yang lalu. Justeru, PAS sebagai parti paling ‘senior’ dalam kalangan rakan-rakan yang lain berada di bawah ‘spot light’ pemerhati dan peminat politik tanah air. Kepimpinan tertinggi parti mencerminkan bakal pemimpin negara jika trend mengundi pada pilihanraya empat tahun lagi kekal sebagaimana pada 2012.

Image

Sebagaimana pada pemilihan sebelum ini, isu kumpulan ulama dan kumpulan professional terus dicanang media arus perdana, malah pada kali ini seolah-olah momentum isu ini bertambah besar. Jika kempen UMNO diwarnai dengan beberapa blok kumpulan ‘warlords’ seperti DS Najib Razak,TS Muhyiddin Yassin, Tun Mahathir dan beberapa nama lama, PAS pula seolah-olah terpecah kepada blok ulama dan blok professional atau progresif. Kempen secara agresif di laman sosial turut dimanfaatkan oleh para ulama yang mula memanfaatkan kecanggihan teknologi.

Walaupun terdapat perbahasan bahawa perbezaan blok-blok yang bertanding adalah atas dasar perbezaan pemikiran, gaya kepimpinan atau latar belakang pendidikan, yang jelasnya jurang perbezaan ini semakin luas dan jika tidak ditangani dengan bijak oleh kepimpinan tertinggi, PAS bakal berhadapan persepsi negatif dari pengundi bukan Islam yang mahukan sebuah parti yang boleh mewakili mereka. PAS berada dalam persimpangan sama ada mahu menjadi parti ‘ultra-Islam’ atau parti yang lebih sederhana dengan berteraskan nilai-nilai Islam.

Bahkan, pemilihan kali ini turut dicemari tohmahan ada dalam kalangan pemimpin kanan parti yang berfahaman anti-ulama, liberal, malah cenderung kepada syiah. Para ulama PAS begitu agresif mempertahankan institusi ulama dalam PAS, menyemarak peranan ulama dalam parti dan pilihanraya, malah menuntut 2 jawatan tertinggi dipegang oleh ulama. Walaupun konsep Kepimpinan Ulama yang diasaskan parti itu hampir 30 tahun dahulu tidak tergugat sama sekali dengan kewujudan Majlis Syura Ulama yang menjadi ‘policy maker’ parti, namun para ulama dalam parti merasakan kedudukan institusi ulama kian terhakis. Apakah asas kepada kerisauan ini?

Jika diamati kepimpinan parti-parti pro-Islam lain di dunia, ternyata bukan golongan ulama yang memimpin parti. Di Turki, Mesir, Tunisia dan Palestin misalnya, kepimpinan utama parti dibarisi oleh jurutera, sasterawan dan ahli falsafah. Apa yang penting adalah sebuah parti yang dipimpin dengan bimbingan para ulama, tidak semestinya diurus oleh para ulama. Malah, apa yang lebih penting adalah bagaimana PAS harus menterjemahkan kedinamikan dan keadilan Islam dalam sebuah masyarakat majmuk seperti di Malaysia.

Pertandingan Satu Lawan Satu

Pertandingan satu lawan satu antara seorang ulama Kelantan dan aktivis nasional mungkin menjadi perhatian para pemerhati. Walaupun pada awalnya calon ‘favourite’ iaitu Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Husam Musa turut dicalonkan ke jawatan itu, namun akhirnya ramai pemerhati kecewa dengan penarikan diri calon-calon tersebut. Bagi Mat Sabu yang telah lebih 30 tahun bersama PAS di kala suka dan duka, inilah titik penentuan kerier politiknya. Kalah bererti beliau hilang jawatan utama dalam parti. Bagi Ustaz Nik Amar pula, kekalahan akan hanya memposisikan dirinya kembali sebagai pimpinan utama negeri Kelantan, tetapi kemenangan memungkinkan beliau terus mendaki puncak parti. Tidak sebagaimana pemilihan Timbalan Presiden pada 2009 dan 2011 dimana tiga calon bertanding dan pecahan undi mempengaruhi kemenangan calon, pada kali pertembungan benar-benar melambangkan dikotomi ulama dan bukan ulama.

nik-vs-sabuKemenangan Mat Sabu atau Ustaz Nik Amar akan sedikit sebanyak mempengaruhi corak kepimpinan parti. Desakan Dewan Ulama agar Presiden dan Timbalan Presiden terdiri daripada kalangan ulama, lebih ramai calon pilihanraya dari kalangan ulama dan penilaian semula tahalluf siyasi dengan rakan Pakatan Rakyat merupakan menifestasi kebangkitan suara ulama dalam PAS. Namun, kemanakah sebenarnya hala tuju kebangkitan ini? Adakah PAS sudah tidak sinonim dengan Islam atau ulama? Adakah PAS sudah mengorbankan dasar-dasar kepimpinan ulama sejak 30 tahun dahulu? Masih menjadi tanda tanya ramai pemerhati sama ada ulama-ulama dalam PAS berhasrat menjadikan Parti Islam SeMalaysia ini sebagai Parti Ulama SeMalaysia atau Parti Islam (untuk) Rakyat Malaysia?

Sebagai pemerhati politik, penulis menganggap semua hiruk-pikuk dalam parti ini mengenai ‘ketuanan ulama’ hanya menjadi bahan gelak kepada non-Muslim. Mereka tidak peduli siapa yang memimpin, mereka cuma mahukan keadilan dan sifat ‘rahmatul ‘alamin’ sebuah parti Islam. Bahkan kegilaan polemik ulama-bukan ulama ini mampu menjauhkan non-Muslim daripada PAS sebagaimana mereka menjauhi sifat perkauman ‘ultra-Malay’ dalam UMNO. Realiti politik pasca-pilihanraya 2008 telah menyaksikan perubahan besar dalam pemikiran rakyat Malaysia. PAS perlu mengadaptasi atau terpaksa berhadapan dengan risiko dipencilkan oleh pengundi. Maka, timbul persoalan, adakah keutamaan PAS ialah menamatkan penguasaan Barisan Nasional atau sekadar mengukuhkan identiti parti sebagai pejuang Islam?

Tidakkah PAS belajar daripada kegagalan bekas Perdana Menteri Turki, Necmettin Erbakan? Mengimbau kembali peristiwa kemenangan besar parti Erbakan, Refah dalam pilihanraya Turki pada tahun 1995, beliau berjaya menubuhkan kerajaan campuran dan dilantik menjadi Perdana Menteri. Namun, sifat tergesa-gesa beliau dalam mengIslamisasi kembali Turki dan merobohkan fahaman sekular peninggalan Attaturk telah menyebabkan rampasan kuasa oleh pihak tentera. Sejak kejatuhan parti Refah, parti-parti pimpinan Erbakan selepas itu seolah-olah hidup sega mati tak mahu. Erbakan sendiri tahu pendiriannya mempertahankan imej parti Islam dan pertembungan secara terang-terangan terhadap tentera telah memberi kesan buruk kepada matlamat memartabatkan Islam dalam bernegara.

Image

Sebaliknya, anak murid Erbakan iaitu Erdogan yang tidak memakai jenama Islam dan melaung-laungkan jargon-jargon bertema Islam, menang selesa dan mencipta sejarah memerintah Turki dengan keadilan Islam selama 3 penggal berturut-turut. Parti Keadilan dan Pembangunan pimpinan Erdogan berjaya membaca suasana politik Turki dengan tepat dan mendapat sokongan semua golongan rakyat. Erdogan membawa roh dan nilai-nilai perjuangan Islam tanpa meletakkan label Islam pada parti. Walupun Turki tidak sama dengan suasana politik Malaysia, namun tidak dinafikan perubahan pemikiran golongan anak muda dalam arena politik adalah ke arah satu polar, iaitu keadilan dan pembangunan.

Hala tuju untuk parti atau rakyat

Akhirnya, penulis ingin melontarkan satu persoalan, adakah PAS masih tercari-cari hala tuju partinya atau mahu memfokus kepada agenda yang lebih besar iaitu masa depan negara? PAS perlu sedar bahawa sebahagian besar rakyat Malaysia yang terdiri daripada Muslim dan bukan Muslim meletakkan harapan kepada PAS untuk menjadi sebuah parti yang berintegriti dan progresif menjelang pilihanraya ke-14. Mereka mahu PAS menumpukan usaha membangunkan negara berdasarkan keupayaan para perwakilannya dalam dewan rakyat. Mereka tidak peduli sama ada Malaysia menjadi negara Islam atau tidak, tetapi mereka mahukan keadilan yang ada pada Islam.

Politik umpama perang. Maka, pemilihan pemimpin parti seumpama pemilihan panglima perang. Keupayaan dan kemampuan adalah kriteria utama di samping sifat amanah dan keimanan yang teguh. Ulama adalah peniup semangat dan pembuat dasar, namun panglima peranglah yang berada di barisan hadapan dan merencana strategi. Jika realiti ini tidak dapat diterima, jadi sajalah badan dakwah seperti ABIM dan IKRAM. Politik Islam mementingkan kemaslahatan atau keutamaan rakyat berasaskan keadilan Islam, bukan jenama atau imej parti.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s