Organisasi Berprestasi Tinggi

Oleh: A. Amri

high performance
Pendahuluan
Sejak pertengahan abad ke-20, fokus dalam kajian keorganisasian telah mula berganjak daripada aspek proses, kepada aspek manusia. Pembangunan modal insan adalah tema yang sering diperkatakan oleh sarjana-sarjana pengurusan seperti Peter Drucker, yang dikenali sebagai pengasas pengurusan moden, sebagai kunci kepada kejayaan organisasi di abad ke-21. Justeru, seawal tahun 1959, muncul konsep seperti ‘knowledge worker’ dan di awal abad ke-21, konsep ini digantikan pula dengan konsep ‘innovation-worker’.

Kesedaran terhadap peri pentingnya sumber manusia sebagai aset dalam sesebuah organisasi dilahirkan oleh ramai pengkaji sains keorganisasian seperti Deming (1986), Zakaria (2002) dan Syed Othman Alhabshi (2003). Berpandukan kajian-kajian terhadap organisasi yang berjaya di seluruh dunia, majoritinya bersetuju bahawa pekerja yang berbakat membuahkan prestasi individu dan organisasi yang lebih baik. Justeru, kerajaan meletakkan prioriti terhadap pembangunan modal insan. Dalam satu ucapan bekas Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan, di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-7 pada 2007, beliau menyatakan bahawa sistem pengurusan modal insan berteraskan prinsip merit dan prestasi perlu dilaksanakan bagi merealisasikan budaya kerja berprestasi tinggi dalam perkhidmatan awam.

Penekanan kepada pekerja dan budaya kerja berprestasi tinggi semakin mendapat perhatian majikan. Pekerja yang holistik menjadi ‘senjata’ baharu bagi mendepani dunia globalisasi yang sarat dengan persaingan. Namun, adakah pekerja berprestasi tinggi perlu dicari atau dibentuk? Bagaimanakah sesebuah organisasi membentuk sepasukan pekerja yang mempunyai ciri-ciri dambaan semua organisasi? Persoalan-persoalan inilah yang bermain di kepala setiap CEO yang mengimpikan sebuah organisasi yang berprestasi tinggi.

Cabaran dalam Membina Organisasi Berprestasi Tinggi
1. Pengurusan bakat
Pekerja berprestasi tinggi perlu dibentuk bermula dari hari pertama mereka diambil bekerja. Calon-calon yang berpotensi khususnya dari aspek sikap diberi keutamaan. Ini kerana seseorang yang mempunyai sikap yang betul terhadap kerja adalah 13 kali ganda lebih mampu berjaya berbanding mereka yang hanya mempunyai pengetahuan dan kemahiran tentang kerjanya. Pekerja yang dikenalpasti calon berpotensi digilap melalui program mentor-mentee.
Ciri-ciri kompetensi yang perlu diterapkan dalam setiap pekerja bagi melahirkan pekerja berprestasi tinggi sebagaimana hasil kajian terhadap lebih 20,000 pekerja di seluruh dunia adalah:
a. Kebolehan membuat keutamaan
b. Kebolehan bekerja dalam pasukan
c. Kepekaan tentang organisasi
d. Kemahiran menyelesai masalah
e. Kesedaran diri
f. Proaktif
g. Kemahiran mempengaruhi
h. Kemahiran membuat keputusan
i. Keghairahan untuk belajar
j. Berpengatahuan menggunakan teknologi moden
Namun, membangunkan pekerja berprestasi tinggi tidak berhenti setakat itu, malah cabaran yang lebih besar mungkin cara untuk mengekalkan tahap prestasi yang telah dicapai.

2. Mengekalkan prestasi tinggi
Lebih mudah untuk mendapatkan sesuatu berbanding untuk mengekalkannya dalam genggaman. Perkara yang sama juga boleh dikatakan dengan prestasi. Setelah seseorang mencapai prestasi yang tertinggi, ia hanya mempunyai dua pilihan, sama ada mengekalkannya atau menurun. Maka untuk memastikan seseorang pekerja berprestai tinggi terus mengekalkan kecemerlangan, mereka perlu diberi tugasan atau cabaran baharu dalam tugas.

Menurut kajian, seseorang pekerja yang melakukan rutin yang sama akan hanya mampu bertahan selama 3 tahun sebelum berfikir untuk mencari pekerjaan baharu. Justeru, pihak majikan perlu memastikan pekerja yang berprestasi tinggi sentiasa diberikan sasaran-sasaran baharu untuk dicapai. Ia seolah-olah quick-win yang berupaya memberi motivasi. Majikan juga wajar memberi maklum balas secara berkala tentang pencapaian pekerja yang berprestasi tinggi. Interaksi yang bersifat personal berupaya merungkai isu-isu antara pekerja dan majikan.

Selain itu, majikan boleh mewujudkan program-program pembangunan khas kepada mereka untuk meraikan semangat persaingan mereka. Randstad Singapore, sebuah syarikat yang tersenarai dalam Global Fortune 500 Company mengamalkan tiga inisiatif bagi mewujudkan organisasi berprestasi tinggi iaitu mewujudkan kelab pekerja berprestasi tinggi, memberikan masa bekerja yang fleksibel dan berinteraksi dengan pekerja secara individual. Jelas, fokus syarikat global berkenaan adalah pekerjanya. Pekerja yang puas adalah pekerja yang produktif.

3. Budaya Kerja Berprestasi Tinggi
Budaya organisasi atau budaya korporat banyak mempengaruhi sikap dalam sesebuah organsiasi. Kelakuan pekerja dibentuk oleh sikap yang diraikan dalam organisasi dimana mereka bekerja. Oleh itu organisasi yang menekankan budaya kerja berprestasi tinggi akan turut mendapati bahawa ahli-ahlinya akan berusaha ke arah berprestasi tinggi.

Strategi dalam membina sebuah budaya organisasi berprestasi tinggi perlu memberi fokus terhadap misi organisasi, pekerja, persekitaran, dan kepimpinan.

Success - Business Concept

Road-map Membina Organisasi Berprestasi Tinggi

Berikut disenaraikan beberapa panduan bagi memastikan usaha membina organisasi berprestasi tinggi dapat direalisasi:

1. Sediakan strategi yang jelas. Strategi yang jelas boleh dinilai dan dipantau keberkesanannya. Kemudian, ia juga perlu dikomunikasikan ke semua peringkat agar semua pekerja akan bekerja ke arah satu matlamat yang sama. Pekerja dari semua peringkat juga perlu diberi peluang memberi maklumbalas ke atas pelaksanaan dan keberkesanan strategi.

2. Proses kerja ditambahbaik dari semasa ke semasa. Penambahbaikan berterusan dapat memastikan produk akhir menepati kehendak, dan dalam masa yang sama mengurangkan masa serta kos.

3. Pencapaian hendaklah disemak semula setiap 6 bulan untuk mengenalpasti sama ada sasaran tercapai atau tersasar.

4. Wujudkan persaingan yang sihat dalam kalangan pekerja. Berikan ganjaran yang sewajarnya ke atas setiap kejayaan pekerja. Kelab pekerja berprestasi tinggi adalah salah satu inisiatif bagi mewujudkan persaingan dan mengekalkan prestasi pekerja.

5. Berani membuat perubahan dan keluar dari kotak pemikiran lama. Galakkan pengembangan idea dan inovasi melalui pembelajaran berterusan. Salah satu kaedah yang terbukti berkesan menggalakkan inovasi baharu adalah mengambil risiko, belajar dari kesilapan, dan perkongsian idea.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s