Perang Burma – Siam Dan Kesannya Kepada Tanah Melayu

Oleh : Hj. Mohammad Fauzi B. Khalid

Beberapa bulan lalu, saya berkesempatan menonton siri filem The Legend of King Naresuan The Great. Filem yang diarahkan oleh sutradara Chatrichalerm Yukol ini adalah lanjutan dari filem The Legend of Suriyothai yang diterbitkan pada tahun 2003.

Filem The Legend of King Naresuan The Great ini mempunyai 6 siri filem ini dikatakan filem termahal dalam sejarah perfileman Thailand dengan menelan kos sebanyak 700 juta Bath.

Prince Naresuen

Filem ini mengisahkan perjuangan panjang Putera Naresuen yang berusaha membebaskan Thailand/ Siam dari penjajahan oleh Burma. Putera Naresuen dilahirkan pada tahun 1555 di Pthitsanulok menjadi Raja Siam dari tahun 1590 sehingga tahun 1605.

Semasa kecilnya, Putera Naresuen menjadi mangsa akibat peperangan antara Burma dan Siam. Peperangan ini merupakan peperangan yang ketiga dalam siri peperangan antara Burma dan Siam. Dalam peperangan kali ketiga ini, Raja Bayinnaung dari Dinasti Taungoo telah menyerang Siam dan berjaya mengepung Phitsanulok serta berjaya menundukkannya. Raja Bayinnaung kemudiannya telah melantik Maha Thammarachathirat sebagai wakil suruhannya di Siam.

Maha Thammarachathirat bapa kepada Putera Naresuen ini telah menyerahkannya kepada Raja Bayinnaung dan dijadikan tebusan di istana Burma selama enam tahun. Sepanjang tempoh berkenaan Putera Naresuen telah diberikan layanan yang baik sesuai dengan tarafnya sebagai putera raja oleh Raja Bayinnaung sendiri. Putera Naresuen ataupun dikenali sebagai Phra Naret (Putera Hitam) telah diberikan peluang mempelajari pelbagai ilmu termasuk seni mempertahankan diri dan strategi peperangan orang Burma.

Kemudian Putera Naresuen dipulangkan semula ke Siam sebagai tukaran dengan kakaknya, Puteri Suphankanlaya yang dijadikan sebagai isteri kedua Raja Bayinnaung pada tahun 1571. Maha Thammarachathirat kemudiannya melantik Putera Naresuen sebagai Uparaja (Wizurai) Phitsanoluk pada ketika beliau berusia 16 tahun.

Selepas itu Putera Naresuen mula mengumpul kekuatan dan mengembangkan pengaruhnya bagi menggerakkan usaha membebaskan Siam dari Burma. Usaha itu bertambah terserlah selepas kematian Raja Bayinnaung dan kerajaan Burma diterajui oleh puteranya Nanda Bayin.

Bayinnaung

Posting saya kali ini bukan sekadar ingin menarik perhatian tentang filem siri filem The Legend of King Naresuan The Great dan sejarah Putera Naresuen yang cuba ditonjolkan di dalam filem ini..

Saya ingin menarik perhatian tentang salah dari siri peperangan yang panjang di negara Asia Tenggara melibatkan Burma dan Siam (Thailand) yang berpanjangan selama 308 tahun. Sebagaimana yang diterangkan sebelum ini , Perang Burma – Siam yang berlaku di zaman Putera Naresuen ini adalah perang Burma – Siam yang ketiga. Perang Burma – Siam ini bermula pada tahun 1547 dan berlaku sebanyak 19 kali.

Peperangan kali akhir berlaku pada tahun 1849 sehinggga 1855. Sepanjang siri perang Burma – Siam ini , Buma telah berjaya mengepung Ayuthya sebanyak enam (6) kali dan dua dari kepungan berkenaan berjaya menjadikan Siam sebagai sebahagian dari jajahan Burma. Pada masa yang sama juga Siam pernah menyerang dan menjarah wilayah Burma sebanyak dua (2) kali.

Siri peperangan Burma – Siam ini bukan sekadar memberikan kesan kepada rakyat kedua buah negara malah ia memberi kesan kepada jiran dan tetangga. Peperangan ini menyaksikan penglibatan banyak pihak dari luar Burma dan Siam seperti penglibatan tentera dari Pulau Luzon, Filipina dalam perang Burma – Siam yang pertama, tentera upahan Portugis, pihak Inggeris dan tentera berkuda dari Manipur  – India.

Selain daripada itu, ia turut memberikan kesan kepada wilayah-wilayah yang berjiran dengan kedua-dua negara. Antara wilayah yang paling teruk menerima kesan adalah Luang Prabang (Laos) dan Chieng Mai (sekarang dalam wilayah Thailand). Selain daripada itu, ia memberikan kesan kepada kerajaan Melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu iaitu Patani Darussalam, Kedah (Perlis & Pulau Pinang), Kelantan dan Terengganu.

Sebagai contoh ketika berlakunya Perang Burma – Siam yang ke 18 pada bulan Jun 1809 sehingga Januari 1812, Kedah telah menjadi mangsa kerana tersepit antara tekanan kedua belah pihak iaitu Burma dan Siam.

Dalam peperangan berkenaan, Burma telah bertindak menyerang Phuket yang mempunyai kedudukan yang strategik dari segi pengumpulan sumber dan juga dapat dijadikan pangkalan untuk menyekat bekalan bantuan kepada Siam dari Semenanjung Tanah Melayu mahupun India. Phuket telah dijajah oleh Burma pada Januari tahun 1810. Panglima perang Burma, Atwinwun telah menulis surat dan mengugut  Sultan Ahmad Tajuddin Halim Syah (1804-1843), pemerintah Kedah agar tunduk kepada Burma dan menghantar bunga emas kepada Raja Bodawpaya di Istana Ava.

Bunga Emas

Ketika itu Kedah berada dibawah pengaruh Raja Senggora (Gabenor Songkhla) dan Raja Legor (Gabenor Nakhorn Sri Tammarat) yang berada dibawah Jajahan Siam. Pada masa yang sama Kedah turut diarahkan oleh Siam untuk menghantar tentera bagi membantu Raja Senggora (Gabenor Songkhla) yang sedang berhadapan dengan penentangan oleh pahlawan Melayu Patani yang berjuang membebaskan wilayah mereka dari cengkaman Siam.

Sultan Ahmad Tajuddin

Sultan Ahmad Tajuddin menyedari bahawa tekanan Siam lebih membawa mudarat kepada negerinya berbanding tekanan dari Burma. Arahan dari Panglima Atwinwun kemudian dijawab dengan penghantaran seribu orang pahlawan Melayu dan seratus perahu perang ke Phuket dan berjaya mengusir tentera Burma ke wilayah Pak Chan pada bulan Mac. Panglima Atwinwun cuba kembali tiga bulan selepas itu untuk menakluk Phuket dan menyerang Kedah tetapi sebahagiaan besar dari tenteranya telah terkorban kerana karam dipukul ribut. Hanya 3.000 orang daripadanya berjaya mendarat di Takua Thung and Takua Pa dan menduduki sebahagian Pulau Phuket.

Penderitaan Kedah mahupun Patani yang tersepit, kesan dari Perang Burma – Siam ini bukanlah yang pertama mahupun terakhir. Siam menggunakan alasan perang ini untuk menjarah kerajaan-kerajaan Melayu di utara Semenanjung Tanah Melayu terutamanya Patani, Kedah, Kelantan dan Terengganu. Akhinya pada 10 Mac 1909, Siam secara rasminya menyerahkan Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu dan pulau-pulau sekitarnya kepada Inggeris melalui Perjanjian Bangkok 1909. Perjanjian jahat ini membawa kesan apabila secara rasminya orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu dibahagi dua, satu dibawah jajahan Inggeris dan kemudian berjaya mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957 dan sebahagian lagi kekal dibawah jajahan Siam / Thailand sehinggalah ke hari ini.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s