Oleh: A. Amri

Di antara masalah yang sering dihadapi oleh sesebuah organisasi adalah masalah komunikasi antara pihak pengurusan dan subordinat. Punca-punca berlaku masalah komunikasi tersebut mungkin kerana gaya kepimpinan atau kurang kemahiran berkomunikasi. Gaya kepimpinan yang lemah, autoritarian dan ortodoks boleh menghalang proses komunikasi yang lebih terbuka. Manakala kelemahan kemahiran interpersonal juga merupakan satu ‘penyakit’ yang menjadi pembunuh senyap kepada kedinamikan organisasi.

Menurut Mahmood Nazar dan Sabitha dalam buku ‘Hubungan Manusia dalam Organisasi’, pakar-pakar pembangunan organisasi menyarankan beberapa langkah bagi meningkatkan komunikasi yang lebih terbuka antara majikan dan pekerja. Di antaranya  adalah:

1. Banyakkan interaksi antara pihak pengurusan dan kakitangan bawahan. Kurangkan mengguna memo apabila memberi arahan kepada kakitangan.

2. Sesekali bertanya khabar,  berbual-bual dengan kakitangan atau ambil tahu hal kakitangan  bagi mengurangkan tembok pemisah antara pihak pengurusan dan kakitangan.

3. Luangkan masa sekurang-kurangnya sekali dalam sebulan untuk berbincang dengan kakitangan berkaitan masalah di pejabat, prestasi kakitangan atau penambahbaikan yang boleh dilakukan. Beri ruang kepada kakitangan meluahkan permasalahan, kritikan atau pendapat tanpa memarahi mereka.

4. Komen prestasi kakitanagn dalam suasana yang peribadi seperti di dalam bilik pengurus. Bersikap terbuka dan profesional serta beri peluang kakitangan memberi penjelasan berkaitan prestasinya.

5. Beri ganjaran dalam bentuk pujian atau pengiktirafan di atas kerja-kerja yang berjaya dilaksanakan dengan baik dan cekap.

Kesemua langkah di atas dapat menghasilkan suasana pejabat yang kondusif dan profesional kerana wujud komunikasi yang terbuka antara pihak pengurusan dan kakitangan. Sebagaimana yang diketahui, ‘office politic’ atau politik pejabat boleh membunuh mood bekerja seseorang pekerja dan akhirnya  sumber manusia yang baik akan disia-siakan hanya kerana suasana komunikasi yang terbatas menguasai organisasi.

About these ads