Timur Tengah Yang Hangat Di Awal 2020

usa-vs-iran
Oleh : Haji Mohammad Fauzi Bin Khalid

Suasana sedang hangat dan panas di Timur Tengah.
Secara peribadi, saya mempunyai beberapa anggapan berkaitan dengan perkara ini.

Pertama.

Pembunuhan General Qasem Soleimani oleh President Trump, mungkin bukan sahaja didorong oleh faktor keselamatan semata-mata, tetapi usaha untuk mengalihkan tumpuan Kongres Amerika yang sedang dalam usaha untuk membicarakan (impeach) Presiden Trump atas tuduhan salah guna kuasa.

Sebarang serangan balas dendam dari Iran ke atas aset Amerika Syarikat di Timur Tengah akan dapat dijadikan alasan untuk mengalihkan tumpuan dari kes yang sedang dihadapinya.

Kedua.

Pembunuhan individu berprofil tinggi dari sesebuah negara ini sebenar boleh dilihat sebagai usaha provokasi untuk memancing emosi. Seluruh dunia sedang memerhati dengan teliti langkah-langkah lanjut oleh kedua buat negara.

Sekiranya Iran bertindak dengan gopoh dan emosi, maka tindakan hitam membunuh General Qasem Soleimani ini akan bertukar dari kecaman kepada sokongan kepada tindakan Presiden Trump. Jika Iran bertindak bijak dengan usaha untuk melobi sokongan dan simpati banyak negara, ada kemungkinan Amerika Syarikat akan berhadapan dengan masalah besar diperingkat hubungan diplomatik antarabangsa.

Ketiga

Amerika Syarikat hanya akan benar-benar melancarkan perang terbuka sekiranya mereka benar-benar bersedia. Bersedia dari jumlah sokongan dari sekutu, bersedia dengan perancangan perang hasil maklumat perisikan, bersedia dari segi logistik dan bersedia dengan segala tipu muslihat diluar jangkaan.

Setelah menerima pengalaman perit di Semenanjung Korea dan di Vietnam, Amerika Syarikat sangat berhati-hati untuk melibatkan diri dengan perang terbuka. Perang kali pertama di Iraq dilakukan selepas persiapan selama berbulan-bulan (sepanjang tempoh gencatan senjata), usaha mengumpulkan lebih 30 buah negara sebagai sekutunya dan perang berkenaan hanya ditamatkan pada Perang Teluk Kedua selepas lebih 10 tahun gencatan senjata.

Begitu juga dengan Afghanistan, perang hanya dimulakan selepas Afghanistan berjaya dipulaukan oleh kebanyakan negara dan dituduh pula sebagai salah satu punca serangan 11 September..

Dalam kes Iran ini, proses pemulauan telah dibuat bertahun-tahun sebelum ini. Selain dikenakan sekatan perdagangan atas isu bahawa Iran sedang memproses uranium bagi membangunkan senjata nuklear, Iran (dan sekutunya dilemahkan secara perlahan-lahan dalam perang saudara di Syria, Iraq dan Yaman.

Penglibatan Iran dalam perang saudara di Syria, Iraq dan Yaman melalui penglibatan langsung oleh General Qasem Soleimani ini, sedikit sebanyak telah melemahkan Iran dari segi pengaliran bantuan kewangan, tenaga manusia (merujuk penggunaan anggota tentera), bantuan persenjataan dan lain-lain.

Penutup.

Dengan perkembangan mutakhir ini, mungkin banyak perkara yang berlaku di luar jangkaan.

Bagi pihak yang sudah lama menunggu pertembungan bersenjata @ perang terbuka di antara Amerika Syarikat dan Iran – perang mungkin bagi anda, menarik untuk ditonton, tetapi perit lagi pedih bagi yang sedang melaluinya..

Leave a comment